Bagi Cik Nur’Ain Zainnudin, gerai Aspirasi Food Galore bukan sekadar perniagaan keluarga, bahkan ia merupakan jambatan untuk mempererat hubungan dengan ayahnya, Encik Zainnudin Sajat, yang dahulu renggang.

Malah, hubungan pasangan anak dan bapa itu hanya bertambah erat dengan pembukaan gerai Aspirasi Chicken Rice terbaru pada awal Oktober di Vidacity, bekas tapak Sekolah Rendah Loyang di Pasir Ris.

Dengan pembukaan gerai nasi ayam itu, Cik Nur’Ain, 32 tahun, kini menerajui perniagaan keluarganya itu sebagai pemilik niaga generasi kedua sambil mengenang pengorbanan ayahnya yang mengasaskan gerai tersebut lebih dua dekad lalu.

Selain gerai terbaru itu, terdapat dua lagi gerai di bawah naungan Aspirasi Food Galore – Aspirasi House of Cutlet dan Aspirasi Chicken Rice di Pusat Makanan Seah Im, berdekatan stesen MRT HarbourFront, yang sudah lama dikenali pelanggan setia dan orang ramai.

Menurut pasangan anak dan bapa itu, mereka membuka gerai di Vidacity kerana ia berdekatan dengan rumah mereka di Pasir Ris dan membolehkan Encik Zainnudin, 63 tahun, menyesuaikan diri dengan persaraan pada masa depan.

Dalam temu bual dengan Berita Harian (BH), Cik Nur’Ain berkata hubungannya dengan ayahnya dahulu renggang, terutama kerana Encik Zainnudin pernah dipenjarakan sebanyak empat kali antara 1977 dengan 2001 akibat kesalahan berkaitan dadah.

Selepas dibebaskan, beliau bertekad membuka lembaran baru dengan memulakan perniagaan sendiri demi memberi kehidupan lebih baik kepada keluarganya.

Pada 2002, beliau membuka gerai Aspirasi Chicken Rice pertama di Pusat Makanan Seah Im.

Namun, perhatiannya pada kerja menyebabkan waktu bersama keluarga terabai.

Ketika itu, Encik Zainnudin perlu melakukan semuanya sendiri – daripada membeli bahan di pasar, memasak nasi, menggoreng ayam, menyediakan sos hinggalah kepada melayan pelanggan.

Semakin perniagaannya berkembang, jarak hubungan antara Encik Zainnudin dengan anak tunggalnya itu juga semakin jauh.

“Dahulu, jika ada majlis jemputan kahwin atau acara keluarga, ayah saya tidak ikut kami… hanya ibu dan saya (hadir). Beliau terlalu sibuk di gerainya…” ujar Cik Nur’Ain, mengusik ayahnya.

Sambil menoleh ke arah anaknya, Encik Zainnudin berkata: “Pelajaran ayah memang tidak tinggi… jadi ayah terpaksa bertungkus lumus untuk menjayakan perniagaan demi membina masa depan yang baik untuk keluarga.”

Dari jauh menjadi dekat

Cik Nur’Ain, yang tidak mempunyai latar belakang dalam perniagaan, mengakui beliau tidak pernah merancang untuk mengikut jejak ayahnya itu.

Setelah menamatkan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Curtin, beliau bekerja selama setahun sebelum ibunya meminta beliau membantu ayahnya.

Keputusan itu yang mengubah arah hidupnya.

“Saya tidak sangka akan terlibat dalam perniagaan ini lebih dari 10 tahun. Hubungan saya dengan ayah kini jauh lebih baik. Kami lebih kerap berbual dan saling memahami.

“Tetapi bekerja dengan keluarga bukan mudah. Ada masa kami berselisih pendapat dan merajuk selama beberapa minggu,” ungkapnya sambil tertawa kecil.

Namun, populariti gerai baru di Pasir Ris itu telah membuka matanya terhadap kerja keras dan kegigihan ayahnya selama ini.

“Ia menyedarkan saya betapa besar pengorbanan ayah untuk keluarga kami.

“Saya pernah terfikir untuk berhenti dan mencari kerja lain, tetapi setiap cabaran berbaloi. Saya bersyukur hubungan saya dengan ayah semakin mesra sekarang,” tambahnya.

Cabaran dan transformasi

Mengulas mengenai menjalankan perniagaannya dahulu dan kini, Encik Zainnudin berkata beliau tidak perlu lagi membeli bahan mentah dari pasar kerana Cik Nur’Ain kini membantunya mendapatkan barang keperluan daripada pembekal.

“Sekarang senang sikit… Ain tolong saya uruskan invois pembekal dan lain-lain, jadi saya tidak perlu risau perlu melakukannya semuanya seorang diri,” jelas Encik Zainnudin.

Namun, apa yang mencabar bagi pasangan anak dan bapa itu ialah usaha mereka untuk menambah jumlah kakitangan di gerai mereka.

Menurut Encik Zainnudin, terdapat seramai 15 kakitangan merentasi ketiga-tiga gerai Aspirasi Food Galore dan dapur pusat yang terletak di Ubi Avenue 2.

Beliau biasanya mengendalikan Pusat Makanan Seah Im, sementara Cik Nur’Ain menguruskan kerja pentadbiran serta pembungkusan makanan di dapur pusat.

Berbeza dengan cabaran bapanya pada masa lalu, Cik Nur’Ain berkata Aspirasi Food Galore kini sudah dikenali ramai, menjadikannya kurang perlu untuk memasarkan jenama.

Beliau berkata: “Tetapi sekiranya ada kakitangan bercuti atau jatuh sakit, saya perlu ganti tempat mereka. Inilah hakikat menjalankan perniagaan.

“Ramai yang fikir menjalankan perniagaan sendiri glamor gitu... tetapi sebenarnya banyak usaha dan pengorbanan yang perlu dilakukan.

“Kami susah nak dapatkan pekerja. Saya tidak tahu mengapa… mungkin ramai yang tidak begitu meminati bidang makanan dan minuman (F&B).”

Teruskan legasi Aspirasi

Bagi Encik Zainnudin, bekerja di Aspirasi Food Galore jauh berbeza daripada bekerja di syarikat besar di mana pekerja menerima ganjaran besar selepas bersara. Namun, beliau tidak pernah menyesali perjalanan hidupnya itu.

“Walaupun tiada ganjaran besar, pengalaman dan kepuasan membina sesuatu untuk keluarga ialah sesuatu yang lebih bermakna bagi saya,” katanya sambil tersenyum.

Bagi Cik Nur’Ain pula, sambutan pelanggan terhadap Aspirasi ialah sesuatu yang amat bermakna.

Melalui wadah TikTok dan Instagram, beliau sering berhubung dengan pelanggan yang berkongsi mereka telah menjamu selera di gerai itu sejak kecil.

“Ia sangat menyentuh hati saya apabila mendengar kisah-kisah mereka. Ada yang bawa anak-anak mereka sekali... ia membuat saya sedar bahawa pekerjaan ini memang bermakna sekali,” kongsi Cik Nur’Ain.

Cik Nur’Ain turut menyedari banyak gerai yang dikenalinya sejak kecil kini telah tutup kerana anak-anak pemilik tidak berminat meneruskan perniagaan ibu bapa mereka.

Hal itu membuatkan beliau lebih bertekad untuk mengekalkan legasi bapanya.

“Ayah saya telah melakukan pengorbanan besar demi keluarga dan perniagaan ini.

“Kini, tanggungjawab saya ialah memastikan legasi ini kekal relevan dan diteruskan untuk generasi seterusnya,” katanya penuh tekad.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan