Singapura menyaksikan satu lonjakan ketara dalam pembukaan hotel mewah baru, satu perkembangan yang menurut para penganalisis mencerminkan strategi bandar raya itu untuk menarik pelawat yang cenderung untuk berbelanja lebih tinggi.
Peralihan tumpuan ini menandakan satu babak baru dalam landskap pelancongan negara ini.
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) melaporkan 16.5 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada 2024 – peningkatan 21 peratus tahun ke tahun – sekali gus mencatat paras tertinggi dalam hasil pelancongan, lapor The Straits Times (ST).
Menurut Cik Wong Liyan, Pensyarah Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan di Politeknik Nanyang (NYP), terdapat trend yang semakin jelas di mana pelancong kini lebih cenderung untuk membelanjakan wang mereka dalam kategori bernilai tinggi.
Ini termasuklah penginapan mewah dan pelbagai bentuk hiburan.
Trend ini disokong kuat oleh pemulihan kukuh dalam ketibaan pelancong dari pasaran yang lebih makmur, khususnya seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman.
Pelancong dari negara-negara ini biasanya mempunyai kuasa beli yang lebih tinggi, yang menyumbang secara signifikan kepada hasil pelancongan Singapura.
Peningkatan permintaan bagi hotel dan pilihan pelancongan mewah turut dipacu oleh penganjuran acara berprofil tinggi.
Ini merangkumi acara muzik dan sukan bertaraf dunia yang diadakan sepanjang tahun, serta sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice) yang aktif.
Encik Sashi Rajan dari JLL Hotels and Hospitality Group menjelaskan bahawa faktor ini mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai hab serantau yang utama.
Beliau juga menekankan bahawa daya tarikan Singapura sebagai pusat kewangan, perniagaan, dan pelancongan diperkukuh lagi oleh infrastruktur yang amat canggih serta statusnya yang diiktiraf sebagai ‘destinasi selamat’.
Kelebihan-kelebihan ini terus menarik pelancong korporat dan pelancong percutian.
Antara acara utama yang menarik aliran pelancong berpendapatan tinggi ke Singapura ialah Formula Satu (F1) Grand Prix Singapura, konsert artis ternama seperti Taylor Swift, Coldplay dan Jacky Cheung, serta acara sukan seperti Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM).
Antara hotel yang memanfaatkan trend ini ialah Hotel Raffles Sentosa, hotel lima bintang yang dibuka pada Mac lalu, menawarkan pengalaman berteraskan alam semula jadi, warisan dan kesejahteraan.
“Resort ini memenuhi keperluan pelancong antarabangsa serta pasaran domestik Singapura yang semakin makmur,” kata pengurus besarnya, Encik Cavaliere Giovanni Viterale.
Satu lagi hotel lima bintang ialah The Laurus, resort pertama Singapura di bawah jenama The Luxury Collection, yang dibuka di Resorts World Sentosa (RWS) pada Oktober lalu, menambah 183 suite kepada segmen penginapan mewah.
Jenama The Luxury Collection berada di bawah naungan Marriott International, yang turut memiliki jenama mewah lain seperti The Ritz-Carlton, St Regis dan JW Marriott.
The Laurus ditempatkan di segmen pasaran atasan dengan konsep kediaman, serta menumpukan pada tawaran makanan dan minuman yang dikendalikan cef bertaraf Michelin, Fabrizio Ferrari, bagi menarik pengunjung.
Pihak pengurusan berkata lebih banyak tawaran bertaraf tinggi akan diperkenalkan, termasuk spa mewah tempahan khas pada awal 2026, susulan permintaan menggalakkan daripada tetamu tempatan dan antarabangsa sejak pembukaannya.
Tidak ketinggalan, Marina Bay Sands (MBS) baru-baru ini melengkapkan perubahan bernilai AS$1.75 bilion ($2.3 bilion), memperkenalkan 1,850 bilik dan suite yang dinaik taraf serta tawaran premium yang diperluas.
Resort bersepadu itu juga merancang menambah menara keempat menjelang 2030.
Para penganalisis berpendapat bahawa gelombang pembukaan hotel mewah ini didorong oleh strategi pembezaan, dan bukannya petanda bahawa pasaran sudah terlalu sesak.
Angka menunjukkan bahawa hotel mewah kini merangkumi 22.7 peratus daripada keseluruhan bilik hotel di Singapura pada tahun 2025, satu angka yang hampir menyamai paras sebelum pandemik Covid-19.
Walaupun persaingan serantau semakin meningkat, Singapura terus kekal berdaya tahan sebagai destinasi pelancongan premium.
Kedudukan ini disokong oleh permintaan berterusan yang dijana oleh acara Mice dan status utamanya sebagai pintu masuk antarabangsa yang penting di Asia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg