Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah S’pura lulus hak GNC bagi pajakan kedai LAC Ron Sim, anugerah ganti rugi AS$18.9 juta dalam pertikaian francais

Oct 28, 2025 | 3:58 PM
Pada 2022, LAC menamatkan perjanjian francaisnya dengan GNC Holdings dan mengubah semua kedai GNC di Singapura menjadi cawangan LAC.
Pada 2022, LAC menamatkan perjanjian francaisnya dengan GNC Holdings dan mengubah semua kedai GNC di Singapura menjadi cawangan LAC. - Foto fail

Mahkamah Komersial Antarabangsa Singapura (SICC) mengekalkan sebahagian besar keputusan timbang tara yang memberikan hak kepada GNC Holdings ke atas pajakan runcit LAC Global dan menganugerahkan ganti rugi lebih AS$18.9 juta ($24.5 juta) kepada GNC, sekali gus menamatkan pertikaian francais selama tiga tahun yang sengit antara kedua-dua pihak.

Panel tiga hakim itu berkata dalam keputusannya pada 21 Oktober bahawa keputusan tersebut adalah berdasarkan penemuan bahawa pemegang francais, LAC, telah menamatkan perjanjiannya secara salah dengan peruncit suplemen kesihatan berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

LAC dan syarikat bersekutunya, ONI Global adalah sebahagian daripada V3 Group – syarikat pegangan gaya hidup mewah dan kesihatan milik Ron Sim, pengasas jenama kesihatan Osim. Terdapat 63 cawangan LAC di Singapura pada masa ini.

Seorang jurucakap LAC berkata ia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan SICC, lapor The Business Times.

Syarikat itu menyatakan bahawa di bawah keputusan tersebut, “sekiranya GNC bertanya, maka LAC perlu menyerahkan senarai lokasi kedai lama dan perjanjian pajakan dari masa ia sebelum ini menjadi pemegang francais GNC. Sekiranya GNC menunjukkan minat terhadap sesuatu lokasi, sebarang perubahan mestilah dengan persetujuan penuh tuan tanah masing-masing.”

Menurut penghakiman itu, hubungan antara GNC dan LAC – melalui ONI Global – renggang sekitar tahun 2020, apabila GNC memfailkan perlindungan muflis.

Selain Singapura, penerima francais itu mengendalikan kedai GNC di Filipina, Malaysia, dan Taiwan melalui syarikat-syarikat berkaitannya.

Hubungan menjadi tegang apabila GNC keluar daripada kemuflisan dengan pemilikan baru, yang menyebabkan pertikaian mengenai operasi francais di Malaysia dan Taiwan.

Dalam timbang tara sebelum ini, LAC membuktikan GNC melanggar kontrak dengan serius apabila menamatkan perjanjian francais sebelum tarikh luput.

Pertikaian mengenai perniagaan di Singapura itu diputuskan di hadapan tribunal tiga anggota di Pittsburgh, Pennsylvania.

Menurut tribunal itu, pihak pengurusan kanan LAC percaya hubungan mereka dengan GNC telah terjejas menjelang September 2021.

Secara khusus, mereka percaya bahawa Naib Pengerusi Eksekutif GNC, yang hanya dikenali sebagai Encik Wong dalam dokumen mahkamah, ingin mengusir mereka keluar daripada francais itu.

Pada masa itu, LAC memutuskan untuk menukar jenama semua 54 kedai GNC di Singapura secara senyap, dengan tujuan untuk terus bersaing dalam perniagaan suplemen.

LAC percaya pelanggaran yang dilakukan GNC begitu serius sehingga mereka akan dibebaskan secara sah daripada kewajipan selepas penamatan – termasuk mengembalikan kedai-kedai itu kepada GNC selepas berakhirnya perjanjian itu.

Pada 20 Mei 2022, LAC menamatkan perjanjian francais dan menukar jenama semua kedai GNC kepada cawangan LAC. Ini menyebabkan GNC memulakan timbang tara terhadap LAC, menuduh penamatan yang salah. 

Beberapa hari kemudian, LAC memfailkan timbang tara mereka sendiri untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka berhak menyimpan kedai-kedai tersebut.

Tribunal Pittsburgh mendapati keterangan Encik Wong “mengelak, tidak membantu dan tidak boleh dipercayai”, serta menerima bahawa beliau mungkin memang berhasrat menggantikan LAC di Singapura.

Namun, tribunal itu tidak menemui sebarang bukti GNC benar-benar telah mengambil langkah menamatkan francais Singapura pada Mei 2022.

Tiada dokumen yang menunjukkan GNC sedang menilai pengganti francais, tiada rekod semakan wajar, dan tiada persiapan untuk penamatan dibuat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg