Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelihara nilai warisan, teroka kaedah digital bagi bawa perniagaan ke alaf baru

Halijah Travels antara 42 bisnes warisan diiktiraf di bawah Skim Perniagaan Warisan SG
Oct 9, 2025 | 8:00 PM
Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid
Pengurus Besar firma ejen penjualan (GSA), Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid, berharap pengiktirafan di bawah Skim Perniagaan Warisan SG dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh kehadiran digital syarikat serta menarik minat generasi muda. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Dengan pintu dan jendela kayu rekaan lama, kedai yang terletak di Kandahar Street itu memancarkan budaya Melayu yang tidak lapuk dek zaman. 

Tatkala melangkah masuk ke ruang kedainya, pengunjung disambut dengan hiasan penuh nilai kebudayaan – batik yang dibingkai, lukisan dari Pulau Pinang serta karya seni halus berinspirasikan Timur Tengah.

Terletak di Kandahar Street, syarikat Halijah Travels, mengekalkan reka bentuk asal dengan pintu dan jendela kayu yang memancarkan pesona klasik Melayu.
Terletak di Kandahar Street, syarikat Halijah Travels, mengekalkan reka bentuk asal dengan pintu dan jendela kayu yang memancarkan pesona klasik Melayu. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Hiasan tersebut mencerminkan pendirian pengurus besar ejen pelancongan, Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid, bahawa warisan bukan sahaja harus dialami sesiapa yang menatapnya, malah dipelihara.

Ditubuhkan pada pertengahan 1980-an oleh arwah kakaknya, Hajah Halijah Abdul Hamid Almunawwarah, syarikat itu berkembang daripada khidmat membantu sheikh haji mengurus jemaah haji, kepada sebuah ejen penjualan (GSA) berlesen pada 1991, selaras dengan ketetapan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk pengendali haji.

Kini diterajui generasi kedua, perniagaan keluarga itu terus mengekalkan legasi pengasasnya yang menekankan nilai empati, keikhlasan dan khidmat kepada masyarakat, yang berakar umbi dalam keimanan dan warisan budaya.

Perniagaan Encik Haffidz merupakan antara 42 perniagaan warisan yang diiktiraf di bawah Skim Perniagaan Warisan SG dalam satu acara khas di Panggung Capitol pada 9 Oktober.

Anugerah tersebut disampaikan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo, yang juga Menteri Negara Kanan (Pendidikan), selaku tetamu kehormat.

Dilancarkan Lembaga Warisan Negara (NHB) pada 20 Mac, skim tersebut mengiktiraf dan menyokong perniagaan lama ini dengan meningkatkan keterlibatan mereka, menyediakan sokongan perundingan untuk memperkukuh daya tahan perniagaan, serta menggalakkan penghargaan dan sokongan masyarakat terhadap perniagaan warisan budaya Singapura.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Encik Haffidz, 64 tahun, berkata:

“Apabila kakak saya meninggal dunia, ayah bertanya sama ada saya dan abang saya mahu meneruskan atau menutup perniagaan ini?

“Beliau telah berusaha gigih membangunkannya sejak 1980-an hingga 1990-an, jadi kami berfikir ‘mengapa tidak mencuba’?

“Jika tidak berjaya, kami boleh kembali ke pekerjaan asal. Itulah perancangannya – tetapi alhamdulillah, kami masih bertahan hingga ke hari ini.”

Encik Haffidz Abdul Hamid (kanan) bersama abangnya, Encik Hussin Abdul Hamid, sama-sama meneruskan legasi perniagaan keluarga mereka sejak 1997.
Encik Haffidz Abdul Hamid (kanan) bersama abangnya, Encik Hussin Abdul Hamid, sama-sama meneruskan legasi perniagaan keluarga mereka sejak 1997. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Mengambil alih perniagaan pada 1997 bukan sesuatu yang mudah, namun mereka bertekad mengekalkan usaha Allahyarhamha Halijah.

Sebelum pemergiannya, Allahyarhamha dikenali ramai jemaah haji kerana pelbagai ideanya yang baru serta perhatian terhadap kemaslahatan mereka.

“Beliau mahu memudahkan urusan jemaah.

“Zaman dulu, orang bawa bahan masakan sendiri untuk memasak. Beliau berkata, ‘Mengapa perlu menyusahkan diri? Baik kita bawa tukang masak kita sendiri,” katanya.

Sebelum berpindah ke premisnya di Jalan Kandahar pada 2001, Halijah Travels beroperasi di Golden Landmark.

Kawasan Kampong Gelam dipilih sebagai lokasi baru kerana “nilai sejarahnya” – kawasan yang pernah menjadi titik perhimpunan jemaah dari Singapura, Malaysia dan Indonesia sebelum berangkat ke Makkah.

Di bawah kepimpinannya, Halijah Travels terus mengimbangi antara tradisi dengan kemodenan. 

Syarikat itu kini menggunakan media sosial dan wadah digital untuk mendekati generasi muda, di samping mengekalkan hubungan rapat dengan masyarakat umum.

Malah, pendekatannya turut merentasi pelanggan sedia ada, melibatkan juga mereka yang bukan pelanggan tetap.

Di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, agensi itu menganjurkan kelas umrah secara berkala yang turut terbuka kepada individu yang membuat persiapan sendiri atau ‘DIY’.

“Kami tidak menolak sesiapa. Walaupun mereka tidak pergi bersama kami, mereka boleh hadir ke kelas kami. Buku diberikan secara percuma, tiada bayaran dikenakan.

“Kami anggap ini satu ibadah, satu khidmat kepada masyarakat,” tambahnya.

Kini, agensi pelancongan itu mempunyai lapan kakitangan sepenuh masa dan sekitar 50 sukarelawan termasuk bekas pelanggan yang kini membantu sebagai ketua rombongan atau petugas perubatan.

Seramai lapan kakitangan sepenuh masa berkhidmat di firma ejen penjualan (GSA), Halijah Travels Pte Ltd, termasuk Pengurus Besarnya, Encik Haffidz Abdul Hamid (kanan) dan abangnya, Encik Hussin Abdul Hamid.
Seramai lapan kakitangan sepenuh masa berkhidmat di firma ejen penjualan (GSA), Halijah Travels Pte Ltd, termasuk Pengurus Besarnya, Encik Haffidz Abdul Hamid (kanan) dan abangnya, Encik Hussin Abdul Hamid. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sekitar 70 peratus perkhidmatan syarikat tertumpu kepada urusan haji dan umrah, manakala selebihnya melibatkan pakej pelancongan umum ke pelbagai destinasi.

“Memandangkan kami berurusan dengan ibadah – urusan keagamaan – kita tidak boleh terlalu berorientasikan keuntungan.

“Kita mesti ada empati. Paling penting, lakukan dalam kemampuan sendiri dan jangan berlebihan memberi janji. Kita perlu urus jangkaan pelanggan – terutama apabila banyak perkara berada di luar kawalan kita,” katanya.

Meniti usia 60-an tahun, Encik Haffidz, bapa dua anak berusia 18 dan 22 tahun, sedang mempersiapkan generasi seterusnya, termasuk anak saudaranya yang membantu semasa musim haji.

Beliau berharap nilai-nilai yang menjadi tunjang syarikat – keikhlasan dan kewibawaan – akan terus kekal selepas ini.

“Apa pun yang kita bina, kita harap ia tidak menyimpang sepenuhnya. Kita boleh modenkan cara kerja, tetapi jangan sekali-kali hilang keikhlasan kerana itulah asas perniagaan ini,” katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau berhasrat memanfaatkan pengiktirafan di bawah Skim Perniagaan Warisan SG untuk memperkukuh kehadiran digital dan capaian syarikatnya.

“Dengan sokongan NHB, kami berharap dapat memperbaiki strategi pemasaran dan menggunakan platform digital dengan lebih berkesan.

“Matlamat kami adalah mendekati generasi muda sambil terus berkhidmat kepada generasi lama, memastikan legasi ini kekal hidup untuk tahun-tahun mendatang,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg