Dengan rambutnya yang panjang semasa menuntut di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan gemar bergaul dengan ‘mat-mat motor’, Encik Shafie Shamsuddin tidak pernah terfikir dirinya akan menjadi seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada usia muda 35 tahun.
Beliau juga menganggap dirinya seorang pelajar lemah yang pernah gagal dalam pelajarannya sehingga terpaksa mengambil peperiksaan tahun pertama sekali lagi.
Namun, beliau mempunyai kerjaya cemerlang dalam syarikat Perancis, Carrefour Group, bermula daripada seorang pelatih pengurusan yang kemudian menjadi individu bukan Eropah pertama memegang jawatan CEO sejagat, termasuk Singapura dan Malaysia, dan presiden pengarah termuda dalam Carrefour Group.
Kini, beliau merupakan Pengarah Presiden dan CEO syarikat runcit terbesar di Indonesia, PT. Trans Retail Indonesia yang mempunyai hampir 100 pasar raya pelbagai jenama seperti TRANSmart dan Multimart di 28 bandar serata Indonesia.
PT. Trans Retail Indonesia dimiliki konglomerat CT Corp, milik hartawan ketujuh terkaya di Indonesia dalam senarai Forbes, Encik Chairul Tanjung yang memiliki harta dianggarkan bernilai AS$5.1 bilion ($6.67 bilion) dan mempunyai perniagaan termasuk Trans Corp, Bank Mega dan CT Global Resources.
Encik Shafie, 53 tahun, yang juga pemenang anugerah Jauhari Berita Harian (BH) pada 2010, akan berkongsi pengalaman luas beliau dalam kerjayanya menerajui beberapa syarikat di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Perancis dalam Siri Jauhari BH pada 22 Oktober ini.
Siri Jauhari keenam dan terakhir pada 2024 ini dianjurkan oleh BH dan jenama golongan muda BH, OMGxBH, bagi membolehkan para pemenang anugerah Jauhari berkongsi pengalaman mereka untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun.
Sebelum ini, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Aeon Group Malaysia; serta CEO dan Presiden Carrefour Indonesia.
Beliau menjadi individu bukan Perancis pertama yang menjadi Pengarah Eksekutif (Pengurusan Bakat Sejagat dan Pembangunan Organisasi) Carrefour Groupe di Perancis.
Berkongsi pengalamannya, Encik Shafie berpegang kepada falsafah keberkatan dalam kehidupannya.
“Lebih banyak kita berikan kepada orang tersayang seperti ibu bapa dan isteri, lebih banyak yang akan kita dapat dalam kehidupan,’‘ ujar beliau, yang juga pengerusi Kumpulan Siti Khadijah dari Malaysia yang menjual telekung, tudung dan pakaian Muslimah.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah melalui beberapa krisis dan berkongsi cara beliau mengatasi cabaran-cabaran itu.
Semasa dihantar ke Indonesia pada Julai 2009 sebagai Presiden Pengarah Carrefour Indonesia, pasar raya itu menghadapi banyak masalah tetapi ia berjaya dihuraikan bersama kumpulannya melalui rundingan dan mesyuarat dengan pelbagai pihak.
Ia berlaku dalam masa beliau juga terpaksa menghadapi krisis kewangan sejagat.
“Cabaran yang dihadapi pemimpin hari ini memerlukan kita meletakkan pengetahuan dalam konteks yang sesuai.
“Sering kali masalah itu dapat dihuraikan jika kita menunjukkan rasa ihsan, memberikan telinga untuk mendengar dan memahami masalah orang lain,’‘ katanya.
Pada 2016, semasa menjadi Presiden dan CEO PT Trans Retail (Carrefour Indonesia), beliau pernah diiktiraf sebagai CEO (Luar Negara) Terbaik dalam satu anugerah berprestij, Anugerah Perniagaan Singapura (SBA), anjuran akhbar The Business Times (BT) dan DHL.
Ingin bertemu dan mendengar lebih lanjut dari Encik Shafie, daftar sekarang di https://go.gov.sg/OMGxBH-6.
Sesi perkongsian itu akan diadakan di (working title) di Maktab Seni LaSalle dari jam 7.30 hingga 9.30 malam.
Tiada bayaran dikenakan. Jamuan malam dan ruang solat disediakan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg