Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesuruhjaya Kehakiman rangsang belia semai sifat ingin tahu, terima kegagalan

Faizal: Ada titik pengajaran pada setiap kegagalan
Oct 5, 2024 | 5:30 AM
Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim (barisan kedua, tiga dari kiri); Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh (barisan kedua, empat dari kiri); dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir (barisan kedua, lima dari kiri), bergambar bersama sekitar 50 belia yang hadir untuk sesi kelima Siri Jauhari di kafe (working title), Maktab Seni Lasalle pada 30 September.
Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim (barisan kedua, tiga dari kiri); Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh (barisan kedua, empat dari kiri); dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir (barisan kedua, lima dari kiri), bergambar bersama sekitar 50 belia yang hadir untuk sesi kelima Siri Jauhari di kafe (working title), Maktab Seni Lasalle pada 30 September. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Mempunyai perasaan ingin tahu dan ketabahan untuk menghadapi cabaran hidup merupakan nilai-nilai dipegang Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir untuk berjaya dalam kehidupan.

Walaupun memasuki sekolah kejiranan dan memperoleh keputusan peperiksaan GCE peringkat ‘O’ dan ‘A’ yang kurang memuaskan, Encik Faizal enggan membiarkan keputusan itu mematahkan semangatnya.

Malah, bekas pelajar Sekolah Menengah Bedok View dan Maktab Rendah Tampines itu, yang dibesarkan di flat tiga bilik di Bedok North, berjaya memasuki Fakulti Undang-Undang di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Ketabahannya membawa kepada kecemerlangan dalam pengajiannya sehingga berjaya mendapat Ijazah Kelas Pertama.

Pada Mei 2024, Encik Faizal, bermula berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Agung setelah dilantik oleh mantan Presiden Halimah Yacob.

Encik Faizal mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam perkhidmatan guaman dan pernah menjadi penolong pendaftar di Mahkamah Agung dan timbalan pendakwa raya di Pejabat Peguam Negara (AGC).

Beliau dilantik sebagai peguam kanan, atau senior counsel (SC), pada 2020, menjadi individu Melayu/Islam pertama memegang jawatan itu.

Encik Faizal, 44 tahun, berkata:

“Satu tabiat yang perlu anda pupuk untuk mencapai kejayaan adalah sentiasa mempunyai sifat ingin tahu dan sentiasa bertanya ‘mengapa’.

“Kadangkala terdapat kecenderungan semula jadi dalam kalangan kami untuk berfikir, ‘Oh, saya hanya perlu belajar daripada buku teks saya dan saya akan mendapat gred A’.

“Mungkin pada tahap tertentu, ada kebenaran dalam (pemikiran) itu, tetapi jika anda tidak mempunyai sifat ingin tahu, saya rasa anda tidak akan pergi jauh dalam mana-mana kerjaya.”

Beliau memberi nasihat sedemikian ketika membuka cerita tentang pengalaman hidupnya kepada sekitar 50 belia berusia 18 hingga 35 tahun yang hadir dalam sesi kelima Siri Jauhari pada 30 September.

Siri Jauhari, satu siri bulanan selama enam bulan, dianjurkan Berita Harian (BH) dan OMGxBH, serta disokong unit maklum balas pemerintah, Reach, bertujuan untuk menyediakan ruang kepada para pemenang Anugerah Jauhari BH berkongsi pengalaman kerjaya dan kehidupan mereka kepada golongan muda.

Sesi tersebut, diadakan di kafe (working title) di Maktab Seni Lasalle, turut dihadiri tetamu terhormat Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh; Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; dan Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim.

Cik Soh, yang juga pengarah di MSC Law Corporation, berkata sesi perkongsian oleh Encik Faizal berguna untuk belia mendapatkan cetusan inspirasi dalam mengemudi kehidupan mereka.

“Perkongsian Encik Faizal sangat menginspirasikan dan seperti mana ia menyentuh hati belia lain, ia sangat menyentuh hati saya.

“Saya harap perkongsian ini beri inspirasi kepada lebih ramai belia untuk tampil dan ambil tindakan demi memperbaiki diri sendiri.

“Saya juga harap belia mula fikirkan apa yang perlu mereka lakukan di luar sana untuk menjadi individu yang lebih baik, bukan hanya untuk diri mereka sendiri, tetapi juga untuk masyarakat,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut tentang mempunyai sifat ingin tahu, Encik Faizal, penerima Anugerah Jauhari BH 2020, berkata sifat itu dan kebolehan untuk berfikir di luar kotak membolehkan belia untuk menyumbang lebih banyak cadangan bernilai kepada mana-mana syarikat.

“Kebolehan akademik hanya boleh membawa anda hingga satu tahap, tetapi jika anda tidak ingin tahu tentang dunia, jika anda tidak sentiasa tingkatkan kemahiran, jika anda tidak sentiasa tanya ‘mengapa’ dan cari jawapan, lama-kelamaan anda akan terbantut,” jelasnya.

Selain mempunyai sifat ingin tahu, Encik Faizal berkata belia perlu menerima kegagalan sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Menurutnya, kegagalan diperlukan untuk mereka berkembang secara profesional dan menjadi versi diri mereka yang terbaik.

“Kegagalan adalah (sesuatu yang) semula jadi dalam hidup kita… Lebih cepat kita menghayatinya, lebih baik. Jika anda ingin jadi karyawan pada versi yang terbaik 10 atau 20 tahun akan datang, anda perlu merasakan kegagalan (dalam sesuatu) dahulu.

“Anda sentiasa perlu belajar daripadanya (kegagalan) kerana terdapat titik pembelajaran pada setiap kegagalan.

“Tetapi kalau terlalu memikirkannya, anda tidak boleh menjadi produktif dan berguna untuk syarikat dan diri sendiri,” kongsi Encik Faizal.

Beliau turut menyentuh tentang perjalanan akademik yang sesuai untuk seseorang individu.

Tambahnya, orang ramai tidak harus mempunyai pemikiran bahawa ia adalah buruk jika mereka memasuki sekolah kurang berprestij.

“Jika anda meletakkan saya kembali ke sekolah menengah, dan kemudian memaksa saya untuk pergi ke sekolah-sekolah yang terbaik, saya rasa saya tidak akan berada di sini hari ini kerana sekolah-sekolah itu tidak sesuai untuk saya.

“Saya rasa kita tidak sepatutnya mempunyai pemikiran untuk memasuki sekolah terbaik, sebaliknya kita harus tanya diri kita – sekolah manakah yang sesuai untuk saya?

“Saya rasa memasuki sekolah yang sesuai di mana anda boleh mengembangkan kekuatan anda adalah lebih penting,” terang Encik Faizal.

Menyentuh tentang sifat ketabahan pula, beliau menekankan peri penting untuk tidak berputus asa ketika menghadapi cabaran.

Encik Faizal mengakui bahawa beliau sendiri berasa ragu-ragu tentang kebolehannya ketika baru-baru menceburi bidang undang-undang.

“Sebelum ini, saya sedang berbincang dengan beberapa peserta, dan mereka berkata ia sangat sukar untuk bekerja di firma guaman.

“Saya memberitahu mereka itu sebenarnya perkara yang baik, kerana jika anda rasa ia sukar, itu bermakna anda memperoleh ilmu dan sedang belajar.

“Jika anda mula bekerja pada hari pertama dan anda rasa seperti anda tidak dicabar, anda mungkin tidak akan berkembang,” ujarnya.

Dalam sesi itu, belia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama berpeluang menyertai salah satu daripada empat kumpulan.

Kumpulan tersebut khusus untuk membincangkan topik berbeza – mobiliti sosial, pendidikan adil dan terangkum, keterangkuman sosial, serta pemerkasaan sosial.

Antara peserta yang hadir di sesi kelima Siri Jauhari ialah peguam junior di firma guaman Chung Ting Fai & Co, Tengku Nur Azura Tuan Azman, 28 tahun.

Tengku Nur Azura berkata:

“Ia adalah satu sesi yang sangat menarik kerana jawatan Encik Faizal sebagai Pesuruhjaya Kehakiman bukanlah jawatan biasa, dan mendengar latar belakang beliau dan bagaimana beliau berada di tahap kerjayanya sekarang sangat membuka mata saya.

“Nasihat diberinya juga menyentuh hati saya: Anda boleh membuat perubahan dalam masyarakat dengan membantu orang dalam kapasiti anda sendiri, anda hanya perlu mendekati mereka”.

Beliau juga berkongsi bahawa kumpulannya membincangkan sistem pendidikan di Singapura, terutamanya bagaimana sijil diploma dan ijazah tidak seharusnya menjadi matlamat utama, malah kemahiran yang diperoleh daripada pengajian tersebut adalah lebih penting.

Seorang lagi peserta, Encik Sharie Mirza Mohamed Zahid, 31 tahun, pelajar undang-undang di Universiti Undang-Undang di London, England, berkata beliau meraih pelbagai manfaat daripada sesi perkongsian itu.

“Saya suka bagaimana saya dapat tukar pandangan dan idea bersama belia lain ketika membincangkan topik secara kumpulan.

“Ini membolehkan kami dapat pandangan berbeza kerana kami (belia) semua daripada latar belakang berbeza. Ia sangat menginspirasikan untuk melihat belia lain ambil berat tentang masyarakat kami dan cari jalan untuk memperbaikinya.

“Nasihat Encik Faizal untuk mempunyai sifat ingin tahu meninggalkan kesan kepada saya. Dengan sifat ingin tahu, kita melatih pemikiran kritis, satu kemahiran penting yang saya rasa semua orang perlu ada.

“Dengan adanya sifat ingin tahu dan kesungguhan untuk menimba ilmu, kita dapat meluaskan pemahaman tentang dunia, dan menjadi lebih berdaya saing dari segi sekolah atau pekerjaan,” kata Encik Sharie Mirza.

“Kebolehan akademik hanya boleh membawa anda hingga satu tahap, tetapi jika anda tidak ingin tahu tentang dunia, jika anda tidak sentiasa tingkatkan kemahiran, jika anda tidak sentiasa tanya ‘mengapa’ dan cari jawapan, lama-kelamaan anda akan terbantut.
Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung dan penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2020.

Saya harap perkongsian ini beri inspirasi kepada lebih ramai belia untuk tampil dan ambil tindakan demi memperbaiki diri sendiri. Saya juga harap belia mula fikirkan apa yang perlu mereka lakukan di luar sana untuk menjadi orang yang lebih baik, bukan hanya untuk diri mereka sendiri, tetapi juga untuk masyarakat.
Anggota Parlimen GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh.

Ia adalah satu sesi yang sangat menarik kerana jawatan Encik Faizal sebagai Pesuruhjaya Kehakiman bukanlah jawatan biasa, dan mendengar latar belakang beliau dan bagaimana beliau berada di tahap kerjayanya sekarang sangat membuka mata saya.
Tengku Nur Azura Tuan Azman, peguam junior di firma guaman Chung Ting Fai & Co.

Nasihat Encik Faizal untuk mempunyai sifat ingin tahu meninggalkan kesan kepada saya. Dengan sifat ingin tahu, kita melatih pemikiran kritis, satu kemahiran penting yang saya rasa semua orang perlu ada.
Encik Sharie Mirza Mohamed Zahid, pelajar undang-undang di Universiti Undang-Undang di London, England.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg