Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mapletree Investments rancang perluas pelaburan dalam tiga sektor teras

Jul 9, 2025 | 3:12 PM
Mapletree
Sebahagian besar aset pusat data Mapletree dipegang oleh dana amanah pelaburan hartanah (Reit) yang tersenarai di Singapura, Mapletree Industrial Trust. - Foto fail

Mapletree Investments, syarikat hartanah milik Temasek, berkata ia akan meneroka peluang untuk memperluas dan mempelbagaikan pelaburan dalam tiga daripada empat sektor teras syarikat itu iaitu pusat data, logistik dan perumahan pelajar.

Bagi sektor pusat data, Mapletree menjangkakan lonjakan permintaan akan terus mendorong pertumbuhan dalam bidang tersebut. 

Syarikat itu khususnya akan meneroka peluang di Eropah, yang dijangka bakal menambah kapasiti pusat data baru sebanyak 937 megawatt (MW) pada 2025 – rekod tertinggi setakat ini.

Jumlah itu meningkat 43 peratus berbanding 2024, menurut laporan tahunan Mapletree bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac.

“Minat pelabur terhadap kelas aset ini dijangka kekal kukuh, dipacu oleh permintaan tinggi terhadap kuasa pengkomputeran dan penyimpanan data, kekurangan bekalan, pulangan kewangan yang menarik serta minat yang semakin meningkat terhadap kecerdasan buatan (AI),” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Encik Hiew Yoon Khong.

Di rantau Eropah, Mapletree memberi tumpuan kepada pasaran teras rantau itu yang kukuh serta pasaran pesat berkembang seperti Milan dan Madrid, yang dilihat berpotensi tinggi untuk memberikan pulangan pelaburan yang baik, tambah Encik Hiew.

Di rantau Asia-Pasifik pula, Mapletree akan memberi tumpuan kepada pasaran matang serta pasaran baru muncul yang berpotensi tinggi, seperti Jepun dan Korea.

Sebahagian besar aset pusat data Mapletree dipegang oleh dana amanah pelaburan hartanah (Reit) yang tersenarai di Singapura, Mapletree Industrial Trust, lapor The Business Times (BT).

Mapletree turut mengurus dua Reit tersenarai di Singapura dan sembilan dana ekuiti hartanah swasta.

Gergasi hartanah itu juga “secara amnya positif” terhadap prospek sektor logistik, dengan “pertumbuhan berterusan dalam permintaan ruang gudang dijangka di kebanyakan pasaran”, kata Encik Hiew.

Sektor ini merupakan kelas aset terbesar Mapletree, merangkumi 42 peratus atau sekitar $33.7 bilion daripada jumlah keseluruhan aset di bawah pengurusan (AUM) kumpulan itu, iaitu sebanyak $80.3 bilion setakat 31 Mac.

Di Amerika Syarikat, Mapletree menjangka akan memulakan kerja pembinaan bagi pembangunan logistiknya di tapak seluas 91,135 meter persegi di New Jersey pada separuh kedua 2025. 

Bagi sektor perumahan pelajar, Mapletree berkata ia sedang meneliti peluang memperluas kehadirannya di pasaran baru seperti Sepanyol.

Ia juga baru-baru ini mula meneroka peluang di Australia, di mana permintaan semakin meningkat dan terdapat kekurangan bekalan berstruktur dalam aset ini.

Mapletree sedang dalam proses menyiapkan pelancaran dana khusus perumahan pelajar bagi tahun kewangan semasa yang akan berakhir pada 31 Mac 2026.

Dana ini akan merangkumi aset perumahan pelajarnya di Britain dengan jumlah keseluruhan AUM sekurang-kurangnya £500 juta ($865 juta).

Bagi sektor pejabat, juga salah satu sektor teras Mapletree, Encik Hiew berkata syarikatnya mengambil pendekatan “berhati-hati” dalam jangka pendek hingga sederhana, memandangkan beberapa pasaran masih terjejas dengan aturan kerja dari rumah (WFH).

Namun begitu, Mapletree telah meneruskan pelaburan dalam pasaran pejabat di India dan Vietnam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg