DUBAI: Pasaran hartanah di Dubai – di mana nilai hartanah melonjak sebanyak 70 peratus sepanjang empat tahun lalu – mula menarik minat pelabur baru dari firma kewangan dan pelaburan Wall Street di Amerika Syarikat.
Syarikat pengurusan pelaburan Brookfield Corporation sedang menimbang rancangan membangunkan sebuah kejiranan pelbagai guna di kawasan Dubai Hills, yang akan menjadi pelaburan hartanah kediaman pertamanya di rantau tersebut, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.
Sebuah syarikat pengurusan hartanah milik Temasek Holdings dari Singapura juga sedang meninjau peluang pelaburan di bandar tersebut, menurut sumber tersebut.
Para pelabur tersebut akan menyertai syarikat terkemuka seperti Goldman Sachs Group dan pengurus aset berpangkalan di Asia, Hillhouse Investment, yang masing-masing sudah pun melabur berjuta-juta dolar dalam hartanah di Amiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Kesemua pelabur tersebut tertarik dengan kerancakan kegiatan yang sedang berlaku di seluruh Dubai, lapor The Straits Times.
Dalam tempoh dua tahun lalu, Dubai mencatat lapan transaksi penjualan bangunan pejabat – melebihi gabungan penjualan sepanjang 10 tahun sebelumnya.
Perkara sama juga berlaku bagi urus niaga hotel, dengan 15 transaksi jual-beli berlaku sepanjang 30 bulan lalu, menurut syarikat perunding hartanah Knight Frank.
“Tempoh dua tahun lalu adalah lebih sibuk bagi kami berbanding satu dekad sebelumnya dari segi pasaran modal.
“Terdapat permintaan semakin meningkat daripada pembeli luar negara yang datang mencari pulangan lebih baik dan cukai lebih rendah,” kata ketua pasaran modal dan agensi komersial di Knight Frank, Encik Andrew Love.
Situasi tersebut jauh berbeza daripada tahun-tahun selepas krisis kewangan dahulu, apabila imej ratusan kereta mewah yang ditinggalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai oleh para ekspatriat yang tidak mampu membayar hutang mereka, terpahat dalam ingatan para pelabur institusi di seluruh dunia.
Ia menjadi peringatan jelas tentang keadaan pasaran hartanah Dubai yang mudah melonjak dan merudum, dengan kebanyakan penduduknya masih terdiri daripada warga asing sehingga hari ini.
Kebangkitan Dubai bermula selepas pandemik apabila bandar itu dibuka semula lebih awal daripada bandar lain, menarik ramai pelancong dan pelabur kaya ke bandar itu.
Langkah kerajaan Dubai yang memperkenalkan dasar visa yang lebih longgar turut menyemarakkan lagi kebangkitan tersebut.
Selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine, ramai daripada golongan hartawan di Russia memindahkan sebahagian wang mereka ke Dubai, untuk melindungi aset mereka daripada sekatan dan kawalan modal lebih ketat di negara sendiri.
Tidak lama kemudian, mereka disertai ramai jutawan kripto baru dan pengurus dana lindung nilai yang tertarik ke Dubai, antara lain, disebabkan kadar cukai lebih rendah di bandar itu.
Secara keseluruhan, langkah tersebut telah melonjakkan nilai hartanah kediaman dan komersial di Dubai.
Pada suku pertama 2025, sebelum perang perdagangan oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menjejas sentimen pelabur dan menyumbang kepada kejatuhan harga minyak, Dubai mencatat jualan tertinggi bagi rumah mewah bernilai lebih AS$10 juta ($13 juta).
Mapletree Investments, syarikat pengurusan hartanah milik dana kekayaan negara Singapura, Temasek, berharap dapat melaburkan sekitar AS$2 bilion di rantau Teluk, selepas membuka sebuah pejabat di Abu Dhabi pada 2024.
Namun, satu masalah utama masih membelenggu pengurus aset luar negara, syarikat insurans dan syarikat dana pencen yang ingin melabur dalam hartanah Dubai – mencari aset yang boleh menjana pendapatan menarik dan boleh dibeli.
Sehingga hari ini, banyak bangunan di bandar tersebut dimiliki oleh keluarga kerajaan UAE atau entiti kerajaan, yang berhasrat mengekalkan pegangan terhadap aset-aset menguntungkan itu.
Keadaan tersebut memaksa banyak dana dan pelabur mempertimbang melabur dalam projek pembangunan baru. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg