Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

MAS kekal dasar dolar S’pura, turunkan ramalan inflasi 2024

Jan 29, 2024 | 04:27 PM



Penguasa Kewangan Singapura (MAS) tidak mengubah dasar kewangannya untuk melawan inflasi yang masih tinggi ketika ini.

Dasar tersebut juga bertujuan mengukuhkan kadar tukaran wajaran perdagangan dolar Singapura.

Walaupun inflasi teras, tidak termasuk kos pengangkutan dan penginapan swasta untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah tempatan dengan lebih baik, mencatat kenaikan yang mengejutkan pengamat, MAS menjangka inflasi keseluruhan akan reda pada kadar lebih pantas pada 2024.

Ia menurunkan anggaran inflasi keseluruhan 2024 bagi Singapura kepada 2.5 peratus hingga 3.5 peratus, lebih rendah daripada unjuran sebelumnya antara 3 hingga 4 peratus.

Namun, ia mengekalkan ramalan inflasi teras pada purata 2.5 hingga 3.5 peratus untuk 2024, lapor The Straits Times (ST).


MAS berkata ia akan mengekalkan kadar kenaikan ketika ini bagi jalur dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$Neer).

Kelebaran, atau titik tengah jalur dasar itu tidak berubah, menurut MAS.

“Tetapan dasar kewangan ketika ini kekal sesuai. Kenaikan berterusan jalur dasar ini akan terus mengurangkan inflasi import dan mengekang tekanan kos domestik, dan dengan itu, memastikan kemantapan harga jangka sederhana,” kata bank pusat itu dalam penyata dasar kewangan suku tahunannya yang pertama.

Dasar kewangan mengurangkan inflasi dengan menurunkan permintaan agar sejajar dengan penawaran.

Di kebanyakan negara, ini dicapai melalui kadar faedah lebih tinggi yang mampu mengurangkan perbelanjaan pengguna dan pelaburan.

MAS berkata dengan harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang turun sejak November dan bekalan COE lebih tinggi tahun ini berbanding 2023, inflasi keseluruhan 2024 diramal lebih rendah.

Kesemua 19 pakar ekonomi dalam tinjauan Bloomberg News menjangka MAS mengekalkan tetapan dasar keseluruhannya.


Keputusan MAS itu dijangka selepas data minggu lalu menunjukkan inflasi teras meningkat pada Disember 2023, selepas ia turun selama beberapa bulan.

Kadar kenaikan harga teras bagi 2023 juga lebih tinggi daripada purata harga teras 2022.

Inflasi teras mencapai 3.3 peratus pada Disember 2023, tinggi sedikit berbanding 3.2 peratus pada November 2023.

Pada keseluruhan 2023, ia mencecah 4.2 peratus secara purata, naik sedikit berbanding 4.1 peratus pada 2022.

Kadar inflasi pada 2023 terjejas oleh kenaikan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada 8 peratus, menurut MAS dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Kenyataan itu turut menyatakan kenaikan harga bagi perkhidmatan lain, contohnya, tambang bas dan kereta api pada akhir 2023, dan tarif elektrik dan gas pada suku pertama 2024.

MAS berkata: “Inflasi teras dijangka meningkat pada suku semasa, sebahagiannya disebabkan kesan sekali daripada kenaikan 1 peratusan mata dalam GST mulai Januari tahun ini, serta kenaikan cukai karbon.

“Harga air akan meningkat mulai suku kedua tahun ini di tengah-tengah kenaikan kos pengeluaran.”

Inflasi bagi komponen perkhidmatan tertentu, termasuk pengangkutan awam dan penjagaan kesihatan, juga boleh kekal tinggi, tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >