Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengekalkan dasar kewangannya, namun menurunkan anggaran Indeks Harga Pengguna (CPI), menandakan tekanan inflasi semakin berkurangan.
Bank pusat Singapura itu menyatakan pada 26 Julai, ia akan mengekalkan kadar kenaikan ketika ini bagi jalur dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal Dolar Singapura (S$Neer).
Tiada perubahan pada kelebaran atau titik tengah jalur dasar tersebut – ukuran yang menunjukkan setinggi mana dan sepantas mana kenaikan nilai mata wang Singapura yang diinginkan MAS, lapor The Straits Times (ST).
Ia juga menjangka ekonomi Singapura menjadi semakin rancak dan bertambah baik pada separuh kedua 2024.
Pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) mungkin hampir kepada julat 2 hingga 3 peratus untuk seluruh tahun 2024, tambah MAS.
MAS mengurangkan ramalan CPI semua barangan bagi 2024 atau inflasi keseluruhan kepada 2 hingga 3 peratus, berbanding ramalan inflasi 2.5 hingga 3.5 peratus sebelum ini.
Inflasi lebih rendah itu pada umumnya mencerminkan inflasi pengangkutan swasta yang lebih rendah daripada jangkaan sejak beberapa bulan lalu.
MAS mengekalkan ramalan bagi inflasi teras, tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan swasta untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih baik.
Inflasi teras kekal pada 2.5 hingga 3.5 peratus.
Pada Jun lalu, inflasi teras turun kepada 2.9 peratus yang mengejutkan pengamat.
Ia adalah penurunan pertama dalam tiga bulan dan mencecah paras terendah sejak Mac 2022.
Menurut MAS, inflasi teras dijangka turun dengan lebih ketara pada suku keempat 2024 dan terus susut kepada sekitar 2 peratus pada 2025.
Inflasi dijangka berkurangan walaupun harga kiriman perkapalan meningkat baru-baru ini.
Ini disebabkan harga pengeluar sejagat yang digunakan bagi barangan perkilangan, meningkat pada kadar sederhana setakat ini, kata MAS.
Harga minyak mentah sedunia turun daripada harga tertinggi yang dicatat pada April, manakala harga kebanyakan komoditi makanan serta barangan perantaraan dan akhir adalah stabil, katanya.
Seorang pakar ekonomi di Oxford Economics, Cik Sheana Yue, berkata kenyataan MAS itu menunjukkan ia agak optimistik kadar inflasi akan terus reda pada masa depan.
Beliau menjangkakan MAS akan mula melonggarkan dasar kewangannya pada Oktober ini.
Dalam kenyataannya, MAS turut memberi amaran mengenai risiko inflasi meningkat dan menurun.
“Kadar kenaikan kos tenaga kerja domestik mungkin meningkat semula jika permintaan agregat lebih kukuh daripada jangkaan, menyebabkan tekanan inflasi baru.
“Ketegangan geopolitik yang meningkat juga boleh menambah kos import.
“Bagaimanapun, jika kadar faedah sedunia kekal tinggi untuk tempoh lebih lama daripada jangkaan, permintaan luar boleh berkurangan dan melemahkan rentak pertumbuhan ekonomi Singapura,” katanya.
Ini pula akan mengakibatkan kos dan harga mereda dengan lebih pantas, tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg