Syarikat Singapura akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk disenaraikan di sini dan serentak di Amerika Syarikat, hasil kerjasama baru antara Bursa Singapura (SGX) dengan Nasdaq.
Satu kumpulan semakan yang ditubuhkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk memulihkan pasaran saham tempatan mengumumkan pada 19 November bahawa SGX dan Nasdaq akan bekerjasama untuk mewujudkan “jambatan penyenaraian berganda”.
Ini akan membolehkan syarikat mengakses modal pertumbuhan dan kecairan di Asia dan Amerika. Langkah itu juga dijangka memudahkan peluang pelaburan rentas sempadan yang lebih besar, lapor The Straits Times (ST).
Penyenaraian berganda membolehkan syarikat disenaraikan di dua bursa saham serentak dengan satu set dokumen tawaran. MAS berkata kerjasama itu akan memudahkan rangka kerja peraturan, menjadikannya lebih mudah bagi syarikat untuk disenaraikan di kedua-dua negara.
Ini bertujuan menarik syarikat dengan pertumbuhan bermutu di Asia dengan permodalan pasaran sebanyak $2 bilion ke atas, yang mempunyai cita-cita global dan hubungan yang kukuh dengan Asia.
Ia dijangka dilaksanakan sekitar pertengahan 2026.
MAS akan bekerjasama dengan SGX untuk menyediakan rangka kerja peraturan yang membolehkan penerbit menggunakan satu set dokumen tawaran untuk penyenaraian, mengurangkan kos dan peraturan.
Timbalan Pengerusi MAS, Encik Chee Hong Tat, berkata jambatan penyenaraian berganda itu akan lebih relevan bagi syarikat yang mempunyai operasi dan asas pelanggan di Asia dan ingin memanfaatkan pasaran modal Amerika.
“Bagi syarikat besar di Singapura dan Asia, mereka mungkin jadi ‘ikan kecil’ di kolam yang lebih besar, namun dengan penyenaraian berganda, mereka boleh lebih mudah menarik pelabur dan penganalisis di Asia, yang mana mereka mempunyai hubungan kuat,” kata Encik Chee, yang juga Menteri Pembangunan Negara dan pengerusi kumpulan semakan itu.
Pengerusi Enterprise Singapore (EnterpriseSG), Encik Lee Chuan Teck, yang juga anggota kumpulan semakan, berkata SGX dan Nasdaq saling melengkapi dengan asas pelabur mereka yang berbeza, dan adalah penting untuk memastikan keseragaman antara kedua-dua bursa tersebut.
Beliau menambah bahawa terdapat minat besar terhadap jambatan baru itu, termasuk daripada pengurus dana modal teroka, dan ia berpotensi menarik syarikat teknologi Asia dengan fokus global.
MAS juga mengumumkan ia akan memperuntukkan $2.85 bilion di bawah Program Pembangunan Pasaran Ekuiti (EQDP) bagi lapisan kedua pengurus aset, merangkumi Amova Asset Management, AR Capital, BlackRock, Eastspring Investments, Lion Global Investors, dan Manulife Investment Management.
Program EQDP itu merupakan inisiatif bernilai $5 bilion yang dilancarkan MAS untuk melabur dan merangsang kecergasan pasaran saham Singapura.
Pengurus dana menggunakan pelbagai strategi pelaburan, termasuk pulangan mutlak, berkualiti, pertumbuhan, nilai, dan perdagangan kuantitatif.
Kumpulan pengurus dana pertama diumumkan pada Julai, dengan Avanda Investment Management, Fullerton Fund Management, dan JP Morgan Asset Management diberikan $1.1 bilion secara keseluruhan.
Setakat ini, sejumlah $3.95 bilion telah disalurkan.
MAS menyatakan ia akan mengumumkan kumpulan pengurus dana ketiga pada suku kedua 2026, dan mungkin mengkaji kemungkinan meningkatkan dana EQDP dan melantik lebih banyak pengurus dana pada masa hadapan.
Tumpuan kini adalah untuk memanfaatkan dan menyalurkan sepenuhnya $5 bilion tersebut, yang setakat ini telah membawa kepada perkembangan positif dalam pasaran ekuiti, kata Encik Chee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg