Mulai tahun depan, syarikat akan dapat disenaraikan serentak di Bursa Singapura (SGX) dan Nasdaq dengan hanya menggunakan satu set dokumen penyenaraian, menerusi ‘jambatan penyenaraian dwi’ baru yang dicadangkan oleh kumpulan semakan ekuiti MAS (Penguasa Kewangan Singapura).
Menteri Pembangunan Negara dan pengerusi kumpulan semakan MAS, Encik Chee Hong Tat, berkata jambatan ini akan membolehkan penerbit dan pelabur mendapat akses serentak di kedua-dua pasaran.
Berbeza daripada aturan sedia ada, syarikat hanya perlu mengemukakan satu prospektus kepada kedua-dua bursa, menurut laporan The Business Times (BT).
Encik Chee, yang juga Timbalan Pengerusi MAS, mengumumkan perkara itu pada sidang media Rabu, 19 November ketika kumpulan tersebut melancarkan laporan akhir mereka selepas lebih setahun menjalankan kajian.
Terbuka kepada syarikat bernilai S$2 bilion ke atas, jambatan penyenaraian dwi ini dijangka dilancarkan pertengahan 2026, tertakluk kepada kelulusan.
Untuk melaksanakannya, papan Global Listings baru akan diwujudkan bagi melengkapi papan utama SGX dan Catalist.
Syarikat boleh memilih saham dalam dolar Amerika Syarikat (USD) atau dolar Singapura (SGD), dengan dagangan berlangsung di SGX dan Nasdaq dari 10.30 malam hingga 5 pagi waktu Singapura.
MAS akan bekerjasama dengan SGX bagi rangka kerja pengawalseliaan setara piawaian Amerika Syarikat, bagi mengurangkan kos pematuhan.
Chee turut mengumumkan program ‘Value Unlock’ oleh MAS dan SGX, yang merangkumi geran bernilai $30 juta, sokongan komunikasi strategik serta kerjasama industri untuk membantu syarikat tersenarai meningkatkan nilai pemegang saham.
Beliau juga memaklumkan bahawa S$2.85 bilion daripada Program Pembangunan Pasaran Ekuiti telah diperuntukkan kepada enam pengurus aset, menjadikan jumlah peruntukan setakat ini S$3.95 bilion.
Langkah peningkatan infrastruktur turut diumumkan, termasuk insentif untuk pembuat pasaran, penggunaan akaun jagaan broker, serta pengurangan saiz lot bagi sekuriti melebihi S$10 daripada 100 kepada 10 unit.
Dengan kumpulan semakan menamatkan tugasnya, tumpuan kini beralih kepada pelaksanaan.
Jawatankuasa Pelaksanaan Pasaran Ekuiti akan ditubuhkan pada suku pertama 2026 untuk memacu langkah seterusnya.
Kata Chee: “Jika ada idea dan usaha baru, proses ini berterusan dan jawatankuasa ini akan menelitinya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg