Topik diikuti
Pergi ke BHkuMAS raih untung bersih $20b ekoran hasil pelaburan kukuh
MAS raih untung bersih $20b ekoran hasil pelaburan kukuh
Ekonomi global kekal berdaya tahan terhadap kejutan berulang, pasaran kewangan tunjuk prestasi baik
MAS raih untung bersih $20b ekoran hasil pelaburan kukuh
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) melaporkan keuntungan bersih sebanyak $20 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, sedang keuntungan pelaburan berjaya mengatasi kesan negatif daripada dolar Singapura yang lebih kukuh.
Angka ini satu peningkatan berbanding keuntungan bersih $19.7 bilion bagi tahun kewangan sebelumnya (2025).
Pengarah Urusan bank pusat itu, Encik Chia Der Jiun, berkata semasa satu taklimat media pada 28 Julai bahawa MAS mencatatkan keuntungan pelaburan sebanyak $39.8 bilion, disokong oleh pasaran ekuiti dan bon global yang berdaya tahan.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, MAS mencatatkan keuntungan pelaburan sebanyak $31.4 bilion.
“Keuntungan pelaburan kukuh kerana ekonomi global kekal berdaya tahan terhadap kejutan berulang, dan pasaran kewangan menunjukkan prestasi yang baik,” kata Encik Chia.
Beliau berkata semua jenis aset, termasuk bon dan ekuiti, dalam pasaran maju dan pasaran baru muncul, turut mencatatkan pulangan baik.
Walaupun keuntungan pelaburan berbeza dari tahun ke tahun, peningkatan terkini adalah setanding dengan tahun sebelumnya dan melebihi purata sejarah 10 tahun bank pusat itu sebanyak $18.3 bilion.
Keuntungan pelaburan itu terjejas sedikit oleh kesan negatif penukaran mata wang bernilai $16.4 bilion, akibat dolar Singapura yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat dan yen Jepun. Dolar Singapura lebih kukuh itu membantu meredakan kesan inflasi import, tetapi pada masa yang sama, mengakibatkan kesan negatif penukaran mata wang, kata Encik Chia.
Kesan sebegini timbul apabila rizab asing rasmi (OFR) MAS, yang dipegang dalam mata wang asing, dilaporkan dalam dolar Singapura.
Encik Chia berkata kesan itu tidak menjejaskan keupayaan bank pusat tersebut untuk menjalankan dasar kewangan atau menyokong kestabilan kewangan, yang melibatkan penggunaan aset dan kecairan mata wang asing.
Kos itu mencerminkan jumlah operasi pasaran wang serta tahap kadar faedah, dan kedua-duanya menurun sepanjang tahun tersebut, katanya.
Pendapatan daripada Sekuriti Pengurusan Rizab Pemerintah (RMGS) pula telah membantu mengimbangi sebahagian daripada perbelanjaan tersebut, tambahnya.
RMGS ialah sejenis sekuriti tidak boleh diniagakan yang dikeluarkan oleh pemerintah kepada MAS. Ini memudahkan pemindahan lebihan OFR kepada pemerintah, untuk diuruskan dalam jangka panjang oleh dana kekayaan negara, GIC.
Dengan itu, dana tersebut boleh dilaburkan dalam aset jangka panjang yang memberikan pulangan lebih tinggi.
MAS menanggung kos $2.4 bilion daripada operasi pasaran wang untuk menguruskan kecairan sistem perbankan.
Ia akan menyumbang $1 bilion kepada dana wang bersepadu pemerintah, dan memulangkan lagi $2.5 bilion daripada keuntungan bersihnya kepada pemerintah.
Jumlah yang perlu dibayar kepada pemerintah mencerminkan pengimbangan kerugian yang terkumpul daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Keputusan kewangan MAS mencerminkan prestasi pasaran aset global selepas mengambil kira kos operasi pasaran wang dan kesan negatif penterjemahan mata wang akibat dolar Singapura yang lebih kukuh,” kata Encik Chia, sambil berkata kesan-kesan itu berbeza dari tahun ke tahun.
Sektor kewangan Singapura memasuki 2026 dengan kedudukan yang kukuh, walaupun tercetusnya konflik di Timur Tengah pada akhir Februari menyuntik ketidaktentuan baharu ke dalam pasaran global.
MAS berkata dalam laporan tahunan 2025/2026 yang dikeluarkan pada 28 Julai bahawa keadaan yang tidak menentu di Timur Tengah akan terus menimbulkan sedikit ketidaktentuan kepada prospek pertumbuhan Singapura.