Topik diikuti
Pergi ke BHkuMAS jalin kerjasama dengan penggiat industri kewangan rangka perlindungan ejen AI
MAS jalin kerjasama dengan penggiat industri kewangan rangka perlindungan ejen AI
MAS jalin kerjasama dengan penggiat industri kewangan rangka perlindungan ejen AI
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) bersama beberapa institusi kewangan dan syarikat teknologi kewangan (fintech) telah menerbitkan satu kertas putih industri mengenai pembangunan langkah perlindungan bagi ejen kecerdasan buatan (AI) dalam sektor kewangan.
Kertas yang diterbitkan pada 3 Julai itu mengusulkan satu rangka kerja yang dibangunkan industri bagi membolehkan ejen AI dalam sektor perkhidmatan kewangan melaksanakan peranan kewangan secara selamat, dipercayai dan terjamin.
Dikenali sebagai Perlindungan bagi Kewangan Agentik semasa Waktu Jalan (SAFR), ia menyediakan satu set penilaian tadbir urus berperingkat yang mengesahkan serta merekodkan tindakan yang dicadangkan oleh ejen AI sebelum tugasan tersebut dilaksanakan.
Langkah itu diambil di tengah-tengah peningkatan penggunaan ejen AI secara autonomi dalam perkhidmatan kewangan.
Berbeza daripada AI biasa, sistem ejen AI mampu memahami bahasa semula jadi, serta dapat membuat penilaian dan melaksanakan tugas secara bebas bagi pihak pengguna.
Ini bermakna perniagaan memerlukan ‘perlindungan masa nyata’ bagi memastikan tugas yang dijalankan ejen AI kekal dalam had kuasa, dasar dan sempadan risiko yang telah ditetapkan oleh institusi kewangan.
Kertas itu turut memuatkan kajian kes industri tentang bagaimana rangka kerja SAFR boleh digunakan merentasi pelbagai bidang kewangan.
Kajian kes tersebut melibatkan entiti seperti Ant Financial, OCBC, Visa dan Mastercard, serta merangkumi bidang perbankan korporat, pengurusan kekayaan dan insurans.
Penggiat industri telah menerapkan rangka kerja tersebut dalam urusan penglibatan pelanggan, serta operasi perbendaharaan dan pembayaran dibantu ejen.
Rangka kerja berkenaan dibangunkan di bawah inisiatif BuildFin.ai oleh MAS – satu program yang menyokong “pembangunan dan penggunaan penyelesaian AI secara bertanggungjawab dalam sektor kewangan”, jelas MAS pada 3 Julai.
MAS turut mengundang rakan kongsi industri yang berminat untuk menyertai kumpulan kerja BuildFin.ai bagi menyumbang idea serta membantu membentuk versi SAFR seterusnya.
Pada Mei, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBS, Cik Tan Su Shan, dalam satu wawancara berkata ejen pasukan dan ejen perusahaan – yang menyokong aliran kerja rumit berasaskan ejen AI – sedang diuji di pejabat bank berkenaan di Singapura, Hong Kong, dan beberapa lokasi lain.
Selain itu, DBS turut menggunakan pelbagai model dan ejen AI dalam fungsi perundangan dan pematuhan.
Antara tugasnya termasuk mengesan penipuan secara masa nyata bagi usaha antipenipuan, selain membantu merangka laporan bagi urus niaga yang mencurigakan.
Ia turut digunakan untuk merundingkan terma dan syarat am bersama pembekal pihak ketiga, di samping mengklasifikasikan pelanggan korporat ke dalam kategori risiko pengubahan wang haram.
Ketua pegawai data dan transformasi DBS, Encik Nimish Panchmatia, berkata bank tersebut telah berjaya meraih nilai pulangan sebanyak $1 bilion daripada inisiatif AI pada 2025.
