Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS teruskan pelan wakilkan aset secara digital dalam khidmat kewangan

Dijangka tambah baik penjanaan dana, dagangan sekunder
Nov 4, 2024 | 4:16 PM
Dengan meneruskan rancangannya untuk mewakilkan aset atau ‘tokenisation’ dalam perkhidmatan kewangan, Singapura dijangka menambah baik penjanaan dana, dagangan sekunder, perkhidmatan aset dan penyelesaian aset token.
Dengan meneruskan rancangannya untuk mewakilkan aset atau ‘tokenisation’ dalam perkhidmatan kewangan, Singapura dijangka menambah baik penjanaan dana, dagangan sekunder, perkhidmatan aset dan penyelesaian aset token. - Foto ST

Singapura meneruskan rancangannya untuk mewakilkan aset atau tokenisation dalam perkhidmatan kewangan agar sektor itu dapat dikomersialkan.

Apa yang akan dilakukan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) ialah menghubungkan set produk dan perkhidmatan yang lebih luas daripada peserta projek itu kepada pelbagai mata wang dan aset.

Ini dijangka menambah baik penjanaan dana, dagangan sekunder, perkhidmatan aset dan penyelesaian aset token, lapor The Straits Times.

Mewakilkan aset atau tokenisation ialah proses mewakilkan aset sebenar dan fizikal seperti bon dan ekuiti secara digital pada rantaian blok (blockchain).

Rancangan itu adalah sebahagian daripada ‘Project Guardian’ MAS yang dilancarkan pada Mei 2022. Ia meneroka tokenisation aset dalam pasaran modal.

Setakat ini, projek itu telah melibatkan lebih 40 institusi kewangan, persatuan perusahaan dan penggubal dasar antarabangsa merentasi tujuh bidang kuasa.

Peserta projek telah menjalankan lebih daripada 15 percubaan perusahaan dalam enam mata wang merentasi pelbagai produk kewangan untuk menambah baik pembayaran masa nyata.

Timbalan Pengarah Urusan MAS, Encik Leong Sing Chiong, berkata pada 4 November bahawa untuk tokenisation diterima secara meluas dalam industri, perlu ada kecairan yang lebih mendalam dalam pasaran primer dan sekunder.

Bagi menyokong pembentukan rangkaian komersial dan membolehkan transaksi aset bertoken berjalan dengan lancar di seluruh rangkaian, perlu ada prasarana digital yang memenuhi keperluan institusi kewangan terkawal, tambah beliau dalam ucaptamanya di Forum Insights 2024.

Encik Leong menyatakan bahawa piawaian perusahaan yang sama juga diperlukan, selain bentuk wang token yang boleh dipercayai dan terkawal, untuk pengkomersialan berlaku.

Untuk menyokong perusahaan itu, MAS akan mengembangkan kegiatan yang dijalankan melalui inisiatif Global Layer 1 (GL1).

GL1 telah dilancarkan pada 2023 untuk mereka bentuk prasarana digital terbuka bertaraf antarabangsa.

Sebagai contoh, GL1 akan menyelaraskan tadbir urus, kawalan pengurusan risiko dan konvensyen pengaturan penyelesaian untuk urus niaga rentas sempadan.

Ia juga akan membangunkan perincian untuk prasarana pasaran dan mencipta templat yang membantu dengan pematuhan.

Sejak pelancaran GL1, kumpulan teras bank global termasuk BNY, Citi, JP Morgan, Mitsubishi UFJ Financial Group dan Societe Generale-Forge telah menerajui usaha dalam bidang ini.

Dua peserta, Euroclear dan HSBC, akan menyertai GL1, yang juga akan menubuhkan kumpulan kerja prasarana pasaran baru yang terdiri daripada penyedia prasarana pasaran kewangan sejagat.

Untuk membuka jalan kepada penerimaan yang lebih luas terhadap aset bertoken oleh institusi kewangan, dua rangka kerja tokenisation pendapatan tetap dan dana telah diterbitkan pada 4 November.

Untuk menggalakkan keyakinan dalam penyelesaian aset bertoken dalam pasaran kewangan, MAS akan memudahkan akses institusi kewangan kepada aset penyelesaian biasa, termasuk mata wang digital bank pusat borong Singdollar untuk tujuan ujian pasaran.

Ini akan dijalankan melalui rangkaian ujian awal yang dipanggil SGD Testnet.

Rangkaian ujian itu akan disediakan kepada peserta projek sistem penyelesaian kasar masa nyata MAS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg