Syarikat pertukaran kripto OKX cawangan Singapura telah memperoleh lesen institusi pembayaran utama (MPI) daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS).
Ini selepas syarikat tempatan itu menerima kelulusan secara prinsip bagi lesen MPI tersebut daripada MAS pada Februari, menurut syarikat itu pada 2 September.
Lesen tersebut akan membolehkan OKX Singapura menawarkan khidmat token pembayaran digital dan pemindahan wang rentas sempadan, termasuk perdagangan semerta atau ‘spot trading’ mata wang kripto untuk pelanggan di Singapura.
Dalam pada itu, mantan pengarah urusan pasukan strategi dan ekonomi serantau Grab, Cik Gracie Lin, telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) OKX Singapura.
Cik Lin mempunyai pengalaman hampir dua dekad dalam sektor kewangan, awam dan teknologi.
Sebelum menyertai Grab, beliau pernah berkhidmat sebagai naib presiden pengurusan perniagaan di syarikat dana kekayaan negara, Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC), dan pernah menjadi timbalan pengarah jabatan pasaran wang MAS.
Beliau akan memberi tumpuan kepada pematuhan dan peningkatan produk pada mulanya, kata Cik Lin, lapor The Business Times (BT).
“Kami akan mempunyai lebih banyak token,” kata Cik Lin, 42 tahun, sambil menambah bahawa syarikat itu sedang mendapatkan kelulusan bank pusat itu untuk meluaskan senarai lebih 50 token yang kini disediakan untuk perdagangan di wadah syarikat itu.
OKX juga akan menawarkan khidmat pertukaran antara dolar Singapura dengan mata wang kripto melalui wadah tersebut.
Dengan kelulusan lesen MPI itu, OKX menyertai beberapa syarikat pertukaran kripto berlesen di sini termasuk Independent Reserve dan Coinhako.
Syarikat itu adalah antara pemain terbesar sektor kripto di seluruh dunia, setelah ia mengurangkan pemilikan saham Bitcoin oleh Binance – peneraju pasaran perdagangan Bitcoin, di luar Amerika Syarikat sepanjang 2023.
OKX mempunyai beberapa ratus kakitangan di Singapura yang memberi tumpuan kepada bidang seperti kejuruteraan produk, undang-undang, pematuhan dan sumber manusia, kata Cik Lin.
Di rantau Asia-Pasifik, OKX juga mempunyai lesen di Australia untuk menawarkan khidmat perdagangan derivatif melalui satu entiti tempatan.
Menurut Cik Lin, Singapura ialah hab aset digital bertaraf dunia dan pasaran penting bagi OKX.
“Lesen MPI ini adalah langkah penting dalam perjalanan kami, dan kami lebih komited berbanding sebelum ini untuk membolehkan akses kepada aset digital untuk pelanggan kami, di samping menyumbang kepada masyarakat dan ekosistem (kripto) ini,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg