Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan merintis pembangunan satu protokol bagi membuka laluan kepada ejen kecerdasan buatan (AI) untuk mengakses perkhidmatan kewangan secara selamat dan menjalankan urus niaga bagi pihak pelanggan.

Protokol Know Your Agent (KYA) atau Kenali Ejen Anda, yang dicadangkan itu akan membantu institusi kewangan mengenal pasti identiti, kuasa dan mandat sesebuah ejen sebelum menentukan jenis urus niaga yang boleh dilakukannya.

Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan MAS, Encik Chia Der Jiun, di Festival FinTech Singapura, pada 19 November.

“Kami masih berada di peringkat awal penggunaan ejen AI, namun penerimaannya berpotensi berkembang dengan pantas, dan kami perlu mula memikirkan kesan yang mungkin timbul terhadap institusi kewangan, model perniagaan, pasaran serta ekonomi secara meluas,” katanya.

Menurut Encik Chia, meskipun beberapa institusi kewangan sedang membina antara muka (interface) ejen dalam tawaran mereka, masih banyak pihak yang belum menetapkan syarat atau saluran khusus bagi membolehkan ejen mengakses perkhidmatan kewangan.

“Sesetengah pengguna memberikan butiran log masuk akaun kewangan mereka kepada ejen. Saya tidak menasihatkan pemberian akses sedemikian kepada ejen peribadi kerana tiada jaminan keselamatan yang mencukupi,” tambahnya.

Sehubungan itu, protokol KYA akan memudahkan pertukaran maklumat yang dipercayai antara ejen pelanggan dengan institusi kewangan.

“Ini memberikan institusi kewangan maklumat yang diperlukan untuk menentukan syarat dan skop yang dibenarkan kepada sesebuah ejen,” kata Encik Chia.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Pembangunan protokol ini menyusuli Kertas Putih bertajuk Safeguards for Agentic Finance at Runtime (Langkah Perlindungan bagi Kewangan Berasaskan Ejen Semasa Operasi), yang diterbitkan MAS awal tahun ini.

Kertas tersebut antaranya mengandungi panduan tentang cara ejen pelanggan boleh berurus niaga dengan selamat bersama institusi kewangan.

MAS juga akan mewujudkan persekitaran ujian bersama Institut Masa Depan Kewangan (FFI) bagi menggabungkan ejen AI dengan wang boleh diprogram (programmable money) serta mengaplikasikannya dalam dua kes penggunaan – iaitu pengurusan perbendaharaan korporat dan perkhidmatan pembayaran.

Dalam pengurusan perbendaharaan korporat, contohnya, bank boleh membenarkan ejen AI memantau kedudukan kecairan syarikat serta bayaran yang perlu dilunaskan, selain menentukan masa dan saluran pemindahan dana tersebut.

Meskipun pihak korporat menetapkan mandat, bank yang mengambil bahagian akan menetapkan kawalan dan menentukan syarat dalam menerima setiap arahan ejen berkenaan, kata Encik Chia.

“Kita tidak tahu sepantas mana urus niaga berasaskan ejen ini akan berkembang, namun terdapat kemungkinan bahawa masa depan kita merupakan gabungan antara ekonomi manusia dengan ekonomi ejen baharu,” katanya.

“Model serta amalan perniagaan perlu menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap kepantasan serta kaedah baharu urus niaga berasaskan ejen ini.”

Seiring dengan momentum penokenan aset (asset tokenisation) yang semakin mendapat sambutan, industri kini meninjau pengurusan cagaran sebagai satu daripada kes penggunaannya, kata Encik Chia.

“Cagaran menjadi teras kepada kontrak terbitan, pembiayaan bercagar dan pengurusan kecairan,” katanya, sambil menambah bahawa penokenan membolehkan pemindahan cagaran dilakukan dengan lebih pantas, murah dan cekap.

Kontrak terbitan merupakan satu kontrak kewangan yang nilainya bergantung pada prestasi sesuatu aset pendasar seperti saham, bon, komoditi atau kadar faedah.

Bagi mengembangkan ekosistem ini, MAS sedang mengemas kini Panduan Penokenan Produk Pasaran Modal bagi memberi penjelasan lanjut mengenai keperluan kawal selia serta pengurusan risiko.

Bank pusat itu juga telah menerbitkan Bil MAS bertoken bernilai $100 juta pada 6 November.

Terbitan berkenaan diselesaikan menggunakan mata wang digital bank pusat (CBDC) dolar Singapura, dengan penyertaan DBS, HSBC Singapura, OCBC, Standard Chartered dan UOB dalam lelongan terbitan tersebut.