Topik diikuti
Pergi ke BHkuDana $220j rangsang teknologi, inovasi sektor kewangan bagi tempoh 3 tahun
Skim Teknologi dan Inovasi Sektor Kewangan (FSTI) 4.0 yang diperbaharui akan turut bina keupayaan rebut peluang baru
Sektor kewangan Singapura bakal menerima dorongan baharu bagi usaha teknologi dan inovasi menerusi komitmen dana sebanyak $220 juta bagi tempoh tiga tahun di bawah Skim Teknologi dan Inovasi Sektor Kewangan (FSTI) 4.0 yang diperbaharui.
Ini diumumkan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 31 Ogos, dengan skim yang diperbaharui itu bertujuan memperkukuh ekosistem teknologi kewangan dan mempercepatkan penerapan inovasi dan teknologi dalam sektor kewangan Singapura.
Ditemui media, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), Encik Gan Kim Yong, berkata FSTI 4.0 berteraskan empat matlamat utama.
Ia termasuk memperkukuh dan memperluas keupayaan inovasi; mempercepat pembangunan dan pelaksanaan huraian teknologi kewangan daripada eksperimentasi kepada penggunaan komersial; membangunkan prasarana dan platform teknologi untuk mencipta dan memanfaatkan huraian baru; serta menyokong pembangunan dan penarikan bakat.
“Bersama, usaha ini akan membantu institusi kewangan, firma teknologi kewangan, dan pekerja berinovasi, memperluaskan dan membina keupayaan untuk merebut peluang baharu.
“Kami telah mendekati industri kewangan dan syarikat teknologi kewangan kita untuk mendapatkan maklum balas bagi mengenal pasti jurang dan keperluan, maka itu, kami melancarkan FSTI 4.0.
“Sedang kami melaksanakan skim baharu ini, kami akan terus mendekati industri untuk mendapatkan maklum balas dan terus memperhalusi serta mempertingkat skim itu untuk menyokong industri kita,” katanya.
Menurut Encik Gan, sejak FSTI diperkenalkan pada 2015, ia telah membantu membina sebuah ekosistem teknologi kewangan yang kukuh, dengan lebih 1,800 syarikat teknologi kewangan yang menggajikan hampir 10,000 karyawan kini beroperasi di Singapura.
Industri itu terus berkembang, dengan sektor teknologi kewangan sahaja menyaksikan pelaburan hampir $3 bilion pada 2025, tambah beliau.
FSTI 4.0 akan dilaksanakan melalui enam laluan, merangkumi inovasi institusi, penggunaan kecerdasan buatan (AI), prasarana dan platform serta pembangunan bakat.
Ini termasuk laluan baru berkenaan tenaga manusia, untuk menyokong syarikat teknologi kewangan dalam usaha membangunkan bakat muda dengan membiayai bersama elaun bagi inisiatif bekerja sambil belajar.
Di bawah usaha ini, satu laman web baru – fintechinternships.sg – yang dikendalikan Persatuan Teknologi Kewangan Singapura (SFA) akan menghubungkan syarikat dengan pelajar institut pengajian tinggi (IHL) bagi peluang bekerja sambil belajar merentas perniagaan, teknologi dan peranan lain.
MAS menyasar untuk menyokong sekurang-kurangnya 1,000 peluang bekerja sambil belajar dalam tempoh tiga tahun akan datang di bawah usaha ini.
Encik Gan menambah, usaha membangunkan bakat adalah amat penting dalam industri teknologi kewangan kerana ia merupakan sebuah industri baharu yang berkembang pesat dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi perintis (frontier technologies).
“Seperti anda boleh bayangkan, bakat dan keupayaan yang kita perlu bangunkan adalah amat penting bagi pertumbuhan sektor ini.
“Itu sebabnya kami mahu melabur dalam usaha membangunkan bakat, memberikan mereka kemahiran dan pengetahuan supaya mereka berada dalam kedudukan baik untuk merebut peluang apabila ia datang,” kata beliau.
Antara lain, laluan ‘AI Pathfinder’ pula akan menyokong usaha peluasan dan penggunaan huraian teknologi kewangan AI sedia ada yang tersenarai dalam PathFin.ai, iaitu sebuah inisiatif diterajui MAS untuk menyokong penggunaan AI dalam sektor kewangan.
Ini akan membolehkan institusi kewangan menggunakan huraian tersebut untuk memupuk kerjasama lebih besar antara mereka dengan penyedia huraian AI.
Encik Gan berkata FSTI 4.0 akan membantu merangsang inovasi dalam sektor kewangan dan teknologi kewangan tempatan, dan beliau berharap ia akan terus menjadikan sektor tersebut kekal berdaya saing.
“Sedang kita mencapai prestasi lebih baik, banyak daripada inovasi serta huraian ini juga akan memberi manfaat kepada industri kewangan di rantau ini.
“Sebenarnya, ini bukanlah satu permainan menang-kalah (zero-sum). Kita bersaing, tetapi saya percaya bahawa pembangunan industri ini akan membawa manfaat kepada semua negara dalam sektor kewangan,” ujar beliau.
Sejak diperkenalkan pada 2015, FSTI telah diperbaharui dua kali – daripada 2020 hingga 2023 dengan komitmen dana $250 juta, dan dari 2023 hingga 2026 dengan komitmen dana $150 juta.
