Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Masa depan kedai buku Haji Hashim satu tanda tanya

Aug 19, 2022 | 05:30 AM



SETELAH Haji Abdul Aziz Yusof mengambil alih kedai buku Haji Hashim dari arwah bapanya, harapannya agar dapat memenuhi hajat Allahyarham menyaksikan perniagaan tersebut bertahan sekurang-kurangnya 100 tahun.



Mujur, beliau berjaya menjadi saksi kepada detik itu tahun ini.



Namun, hala tuju perniagaan keluarga seabad lama itu terus menjadi tanda tanya.



Ini sedang tabiat membaca dalam kalangan masyarakat Melayu kian berubah - pembacaan buku elektronik diiringi dengan minat membaca buku Melayu dan agama yang semakin surut.



Malah, sebahagian daripada kedai yang terletak di tingkat satu Joo Chiat Complex itu kini dikongsi dengan penyewa lain untuk menampung kos sewa bulanan.







Berkongsi cabaran, Haji Aziz, 68 tahun, yang ditemui baru-baru ini berkata:



"Yang baca buku kurang, mungkin tak minat baca buku Melayu, atau mereka lebih gemar baca di Facebook atau buku elektronik. Nampak sangat tak ada yang datang bersahaja."



Hal ini, menurutnya, berbeza dengan zaman dulu di mana jumlah mereka yang mengunjungi kedai adalah lebih ramai.



Diasaskan pada 1922, kedai buku Haji Hashim telah menyaksikan perubahan pesat di Singapura lebih-lebih lagi sejak kemerdekaan negara ini pada 1965.



Perubahan zaman juga membawa persaingan dalam industri buku, namun Haji Aziz yakin bahawa kedainya tidak terjejas oleh kemunculan kedai buku lain.



"Dari segi sambutan, boleh lihat bahawa pelanggan yang beli buku kami sama ada mengikuti kelas-kelas agama di masjid, kanak-kanak sekolah apabila perlu membaca buku, ataupun buat banduan di pejara Changi. Ini kerana kami boleh membuat penyesuaian, contohnya buku kulit tebal kami boleh ubah menjadi kulit lembut," jelasnya yang menambah bahawa sasaran perniagaannya lebih khusus.



Kedai bukunya juga seolah-olah berdepan dengan kesukaran untuk bergerak mengikuti arus pemodenan seperti pendigitalan.



Menurut Haji Aziz, kedainya belum ada kehadiran yang kuat dalam talian dan beliau mengharapkan bantuan dari segi ini.



Biarpun begitu, beliau berkata perniagaannya dapat terus bertahan dan meluahkan kesyukuran masih terdapat sambutan daripada masyarakat, walaupun akui ia beza dengan masa lalu di mana orang ramai mengunjungi kedai buku secara fizikal.







Kedai buku Haji Hashim bermula di Arab Street dan membuka cawangan di Geylang Serai pada 1960. Kedai di Geylang Serai kemudiannya berpindah ke Joo Chiat Complex pada 1984 sementara cawangan di Onan Road ditutup.



Kini didaftar sebagai Haji Hashim Enterprise, perniagaan ini sejak dahulu sentiasa berada di dalam genggaman keluarga.



Sejak Haji Hashim Haji Abdullah meninggal dunia pada 1968, anaknya, Haji Yusof Haji Hashim meneruskan pengurusan kedai Geylang Serai dan juga cawangan di Onan Road sebelum berpindah ke Joo Chiat Complex. Menyusuli kematian Haji Yusof pada 2009, Haji Aziz mengambil alih, menjadikannya generasi ketiga.



Berita Harian (BH) difahamkan bahawa cawangan di Arab Street telah ditutup disebabkan kurangnya minat dalam keluarga untuk meneruskan perniagaan tersebut.



Kini, kedai Joo Chiat Complex juga berdepan dengan isu yang sama di mana tiada anggota keluarga yang buat masa ini bersedia meneruskan legasi keluarga Haji Hashim. Perbincangan dalam kalangan keluarga masih diteruskan.



Kini, yang mengurus kedai ialah Haji Aziz sendiri, dengan bantuan adik beradiknya, Haji Abdul Shukor dan Haji Abdul Halim untuk meneruskan tradisi.



Biarpun begitu, Haji Aziz, yang telah mendedikasikan hampir seumur hidupnya untuk mengurus perniagaan turun-temurun itu tetap kekal positif.



Manakan tidak, kedai buku Haji Hashim menempah tempat istimewa dalam hatinya kerana sejak di peringkat sekolah rendah lagi, beliau sudah membantu ayahnya dan belajar selok-belok perniagaan buku.



Beliau percaya dan menaruh harapan bahawa dalam "keluarga besar" Haji Hashim, akan ada seorang yang dapat menggantikan tempatnya.



Ketika ditanya sama ada beliau terbuka untuk mengizinkan orang luar mengambil alih kedainya, Haji Aziz tetap berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa beliau masih mahu ia jatuh ke tangan ahli keluarga - tidak kira adik-beradik, anak, anak sedara ataupun cucu.



Tidak dapat menahan sebak, Haji Aziz berkata: "Saya rasa bangga sebab bukan senang. Mereka yang tidak berkecimpung dalam perniagaan ini mungkin rasa senang tetapi mereka belum duduk dan rasa susah payah perjuangan itu - sendiri pesan buku, angkat buku, siapkan buku, hantar buku - jadi saya rasa bangga dapat teruskan perniagaan ini.



"Saya akan urus kedai ni selagi Allah beri kesihatan."




"Saya rasa bangga sebab bukan senang. Mereka yang tidak berkecimpung dalam perniagaan ini mungkin rasa senang tetapi mereka belum duduk dan rasa susah payah perjuangan itu - sendiri pesan buku, angkat buku, siapkan buku, hantar buku - jadi saya rasa bangga dapat teruskan perniagaan ini.



Saya akan urus kedai ni selagi Allah beri kesihatan."
- Haji Abdul Aziz Yusof, pengurus kedai buku Haji Hashim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >