Maybank Singapura (Maybank) meraikan kejayaan penting dalam perjalanannya sebagai hab pengurusan kekayaan Islam (IWM) Singapura semasa satu acara gala kemasyarakatan, A Night of Giving, di Hotel Grand Hyatt, Scotts Road, pada 10 Januari.
Dengan meluaskan rangkaian IWM, Maybank akan memenuhi keperluan pelabur yang semakin berkembang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara Maybank Singapura, Encik Alvin Lee.
Antara yang disaksikan pada malam itu adalah pelancaran takaful pertama Singapura, Invest future, dalam tempoh lebih sedekad, di bawah cabang insurans Maybank, Etiqa.
Seperti takaful yang menekankan kesejahteraan kolektif, Encik Lee berkata Maybank juga melihat peranannya “melangkaui penyedia perkhidmatan kewangan untuk meningkatkan masyarakat yang membantu, demi membina legasi kepercayaan dan kemakmuran yang dikongsi.”
Sebagai menguar-uarkan semangat memberi, Maybank juga telah menyumbang $65,000 kepada Darul Arqam Singapura (MCAS) bagi memperkasa individu dan keluarga berpendapatan rendah mencapai status bebas kewangan.
Acara tersebut meraikan Maybank sebagai bank pertama di Singapura yang menyediakan penyelesaian kewangan dengan nilai menyeluruh berasaskan lima tonggak IWM - penciptaan kekayaan, pengumpulan kekayaan, pemeliharaan kekayaan, pembersihan kekayaan dan pengagihan kekayaan, untuk semua peringkat kehidupan pelanggan.
Encik Lee menambah Maybank menjangkakan pertumbuhan dua angka dalam kewangan Islam, dengan adanya anjakan yang semakin meningkat ke arah alternatif dan didorong oleh tujuan pelaburan, termasuk tawaran kekayaan yang mampan dan Islamik.
Acara itu turut dihadiri Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) Encik Zainul Abidin Rasheed; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Encik Azfar Mohamad Mustafar dan Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo.
Dalam ucapannya, Encik Zhulkarnain berkata:
“Pada November 2023, Maybank Singapura menjadi bank pertama di Singapura yang menyediakan penyelesaian pengurusan kekayaan Islam menyeluruh dari hujung ke hujung.
“Ini termasuk perkhidmatan yang menyokong pelanggan sepanjang peringkat kehidupan mereka, daripada penciptaan dan pengumpulan kekayaan kepada pemeliharaan, pembersihan dan pengedaran.
“Ia memberi inspirasi untuk melihat bagaimana Maybank menyumbang kepada masyarakat yang lebih luas.
“Sokongan bank untuk individu dan keluarga berpendapatan rendah daripada keluarga yang tertindas di Singapura mencerminkan komitmen mendalam terhadap peningkatan masyarakat dan situasi bebas kewangan.
“Selain individu, terdapat juga pertubuhan tidak mengaut untung yang meraih manfaat.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg