Subuh
5:52
Syuruk
7:14
Zuhur
1:17
Asar
4:40
Maghrib
7:18
Isyak
8:31
Ekonomi & Kerja0

ANALISIS BERITA

Mencungkil bakat karyawan teknologi setempat

Nov 14, 2020 | 05:30 AM

 • Saranan lulusan bidang diberi lebih banyak peluang bukti bakat melalui program latihan, kenal suai kerja

 • Inisiatif 'Tech.Pass' dialu-alu kerana tawar banyak ruang bagi semua lapisan pekerjaan dalam ekosistem

SEJAK beliau berkecimpung dalam bidang keselamatan siber sekitar sedekad lalu, juruanalisis Fadli Sidek berkata beliau telah memerhatikan ramai warga Singapura yang berminat dalam bidang teknologi.

Ini termasuk golongan pelajar yang menceburi jurusan teknologi maklumat (IT), keselamatan siber serta bidang lain yang berhubung teknologi.

Namun, minat ini tidak semestinya berubah menjadi kerjaya.

Antara cabaran yang dihadapi lulusan baru untuk menembusi pasaran kerja dalam bidang teknologi adalah kekurangan pengalaman kerja - sesuatu yang mungkin tidak diperolehi lulusan baru, ujar Encik Fadli.

"Tanpa pengalaman, peluang bagi mereka menunjukkan bakat mereka amat terbatas dan sukar diperoleh," kata Encik Fadli, 37 tahun, yang kini bertugas di sebuah bank.

Menurutnya lagi, yang pada 2017 menubuhkan kumpulan minat Division Zero bagi penggiat keselamatan siber, pelajar bidang teknologi yang ditemuinya akhirnya terpaksa bertugas secara bebas atau melalui kontrak jangka pendek sebagai pembangun laman web, pemprogram aplikasi atau penggodam bertanggungjawab, dan bukan secara tetap di pertubuhan mapan.

"Bagi saya, ada ramai orang termasuk pelajar Melayu yang sedang belajar dalam jurusan teknologi atau telah melengkapkan pengajian masing-masing dalam jurusan itu, tetapi mereka kekurangan pengalaman dan kurang peluang untuk mendapat kerja dalam pertubuhan mapan... justeru, ada tanggapan bahawa ekosistem teknologi di Singapura ini tidak cukup bakat," kata Encik Fadli yang berasa lulusan bidang ini perlu diberikan lebih banyak peluang untuk menunjukkan bakat mereka melalui program latihan atau kenal suai kerja.

Perkara ini bukan sahaja boleh menyokong ekosistem teknologi yang sedang dibina di Singapura, malah boleh merancakkannya lagi, kata Encik Fadli.

Bersependapat, saintis data Khalishah Nadhirah Abu Bakar berkata beliau mendapati sebahagian besar syarikat di sini tidak akan menerima pekerja yang tidak mempunyai kertas kelayakan akademik mahupun pengalaman kerja.

"Namun ada banyak inisiatif yang dimulakan sendiri oleh para belia, dalam kejuruteraan sofwe dan analitik terutama dalam kalangan yang mempelajari sendiri kemahiran ini dan bukan menerusi sekolah," ujar Cik Khalishah, 26 tahun, berkongsi pengalamannya semasa baru-baru mencari kerja dalam bidang ini.

Keprihatinan mengenai berbezaan antara jangkaan industri teknologi dengan keupayaan pekerja yang ingin menceburi industri tersebut antara beberapa cabaran yang perlu ditangani Singapura dalam usaha membangun keupayaannya.

Di peringkat lebih besar, Singapura juga sedang berlumba dengan negara-negara lain untuk menarik minda terbaik ke sini.

Syarikat penyelidikan International Information System Security Certification Consortium menganggarkan ada jurang 2.6 juta pekerjaan dalam tenaga kerja bidang teknologi di Asia-Pasifik.

Namun, mujurlah, Singapura telah mengorak langkah berbilang peringkat untuk membina ekosistem teknologi yang diidamkan, sejak beberapa tahun lalu, termasuk menambah peluang pekerjaan dan latihan.

Ini termasuk peranan yang dimainkan oleh agensi awam, syarikat privet dan sektor akademik untuk menangani isu bekalan bakat yang kurang setimpal dengan permintaan yang kian pesat bertambah.

Baru-baru ini, Singapura memperhalusi undang-undang bagi melindungi data supaya lebih selaras dengan ekonomi digital yang berubah. Ini termasuk memperuntuk penalti lebih ketat bagi pertubuhan yang melanggar undang-undang; memastikan aduan mandatori apabila pencerobohan berlaku dan membolehkan penggunaan data tanpa kebenaran bagi lebih banyak sebab yang diluluskan terlebih dahulu.

Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura dalam laporan The Business Times baru-baru ini, pula berkata permintaan bagi pekerja dalam bidang keselamatan siber dikekalkan dan tidak berkurangan semasa pandemik Covid-19.

Data dari syarikat analitik Burning Glass Technologies menunjukkan terdapat sekitar 1,100 tawaran kerja berhubung keselamatan siber di Singapura tahun ini.

Menurut CSA, yang memimpin usaha nasional untuk mendekati sekurang-kurangnya 20,000 individu dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi Inisiatif Bakat Siber SG, kemahiran yang paling dalam permintaan adalah bagi bidang pengurusan risiko siber, forensik siber, penilaian dan ujian keselamatan, sertai kemahiran baru seperti keselamatan perawanan (cloud) dan Internet of Things (IoT).

Ia juga bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (iMDA) untuk membantu karyawan baru dan di pertengahan kerjaya untuk menambah kemahiran dalam bidang baru ini menerusi program latihan sambil bekerja.

Di bawah program SG Cyber Olympians pula, CSA bekerjasama dengan rakan kongsi tertentu untuk mengenal pasti bakat muda dan melatih mereka dalam kemahiran lanjut.

Sektor teknologi dijangka menjadi sumber pertumbuhan ekonomi besar Singapura.

Satu kajian yang dilaksanakan oleh Temasek, Google dan syarikat perundingan Bain & Company menunjukkan ekonomi Internet Singapura - atau perniagaan yang dijalankan di dalam talian - dijangka mencapai AS$22 bilion ($29.7 bilion) menjelang 2025.

Singapura kini juga menempatkan bilangan tertinggi ibu pejabat syarikat yang dinilai lebih $1 bilion dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, termasuk wadah e- dagang Lazada dan Sea, pemilik Shopee.

Namun pada masa yang sama, sebanyak 9,430 kes jenayah siber dilaporkan di sini pada 2019, 51.7 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun yang sama, bilangan pencerobohan data sedunia meningkat hampir empat ganda, menurut satu laporan CSA, perangkaan yang menunjukkan peri penting memperkukuh keselamatan siber.

JURANG MASIH ADA?

Meskipun pelbagai usaha sedang dilakukan untuk merancakkan sektor teknologi dan membina keupayaan setempat dalam bidang-bidang seperti keselamatan siber dan perlindungan data, jurang - terutama di peringkat tertinggi bidang ini - masih wujud, kata beberapa pemerhati yang dihubungi Berita Harian (BH).

Kelmarin, Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) mengumumkan pas kerja khas Tech.Pass untuk menarik karyawan dan pakar asing dalam bidang e-dagang, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber ke Singapura, dalam perlumbaan membentuk ekosistem teknologi potensi tinggi.

Jika berjaya, usaha EDB untuk menarik bakat asing ke Singapura boleh mencipta pekerjaan di Singapura dan menambah keupayaan negara ini dalam bidang itu, kata Naib Presiden (Asia Pasifik & Jepun) Forescout Technologies, Encik Abdul Wahab Mohamed Yusoff.

Menurut Encik Wahab, Singapura perlu bertindak pantas untuk membina keupayaan terutama dalam bidang seperti keselamatan siber dan AI yang sentiasa berubah pesat.

Pada masa ini, meskipun Singapura sedang berusaha gigih membina keupayaan dalam bidang ini, negara-negara yang boleh menjadi ukur tara dalam bidang ini adalah Amerika, Israel dan beberapa negara lain di Eropah, ujar beliau

"Kita perlu belajar dari mereka," kata Encik Wahab yang pernah menjadi naib presiden dan pengurus besar Asean di syarikat keselamatan siber Palo Alto Networks.

Forescout pula sebuah syarikat IoT yang bermula di San Jose, Amerika, dan kini disenaraikan di bursa saham Nasdaq.

"Kehadiran karyawan seperti itu di Singapura tidak mengancam kedudukan pekerja setempat kerana Singapura belum lagi mempunyai bilangan karyawan sedemikian yang setimpal di sini... lagipun ada banyak ruang bagi semua lapisan pekerjaan dalam ekosistem yang ingin dibina," kata Encik Wahab, yang juga pengasas bersama firma modal teroka Rekanext VC yang antaranya mencari peluang pelaburan dalam firma start-up bidang teknologi di negara-negara Asean.

Menurut Encik Wahab, permintaan bagi pekerjaan dalam bidang teknologi dijangka terus meningkat di Singapura dan serata dunia.

Encik Wahab memberi contoh perniagaan yang bergelut berdaya tahan semasa pandemik Covid-19 ini.

"Dalam keadaan terdesak itu, mereka perlu bergantung pada perniagaan di dalam talian atau beralih ke wadah itu untuk kekal beroperasi... dan mereka perlukan sekitaran (dalam talian) yang selamat untuk berbuat demikian," katanya lagi.


"Kita perlu belajar dari mereka... Kehadiran karyawan seperti itu di Singapura tidak mengancam kedudukan pekerja setempat kerana Singapura belum lagi mempunyai bilangan karyawan sedemikian yang setimpal di sini... lagipun ada banyak ruang bagi semua lapisan pekerjaan dalam ekosistem yang ingin dibina."
- Naib Presiden (Asia Pasifik & Jepun) Forescout Technologies, Encik Abdul Wahab Mohamed Yusoff, mengenai usaha negara ini yang juga boleh mencontohi negara-negara lain yang menjadi ukur tara dalam bidang teknologi.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map