Topik diikuti
Pergi ke BHkuMETI: S’pura ‘amat kecewa’ cadangan tarif AS yang gagal pertimbang struktur ekonomi
METI: S’pura ‘amat kecewa’ cadangan tarif AS yang gagal pertimbang struktur ekonomi
Singapura menyuarakan rasa kecewa terhadap cadangan tarif Amerika Syarikat, sambil menyatakan siasatan Wakil Perdagangan Amerika (USTR) gagal mengambil kira struktur unik ekonomi negara ini yang terbuka serta bergantung pada perdagangan.
“Singapura tidak bersetuju dengan hasil dapatan USTR dan kami amat kecewa dengan tindakan yang dicadangkan terhadap negara ini,” kata Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) dalam satu kenyataan pada 26 November.
Kenyataan itu menyusul selepas USTR pada 25 November mencadangkan tarif hingga 20 peratus ke atas Singapura serta 13 rakan dagang lain di bawah Seksyen 301, yang mendakwa negara-negara berkenaan mengeluarkan barangan melebihi kadar sepatutnya dalam keadaan pasaran biasa.
Tarif berkenaan mungkin berkuat kuasa pada awal 2027, namun USTR Encik Jamieson Greer, menawarkan pertimbangan untuk menurunkan kadar yang dicadangkan itu kepada 10 peratus sekiranya Singapura mencapai Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan Washington.
METI memaklumkan Singapura “akan terus mengadakan perbincangan secara membina bersama USTR, termasuk menggesa agensi itu mempertimbangkan semula cadangan tindakannya terhadap Singapura serta meneliti cara untuk mengurangkan tarif tersebut”.
USTR turut mengeluarkan laporan siasatan setebal 168 muka surat yang menyenaraikan serta memperincikan kebimbangan Amerika susulan siasatan yang dimulakan agensi berkenaan pada Mac.
Laporan siasatan USTR mengenai dasar perindustrian Singapura mendapati tindakan, dasar dan amalan khusus yang dikaitkan dengan lebihan kapasiti serta pengeluaran negara ini merangkumi pelan Perkilangan Singapura 2030 dan pelan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2030.
Ia turut melibatkan sokongan kewangan kepada sektor perkilangan serta syarikat dalam industri elektronik dan semikonduktor, kesihatan dan petrokimia.
Laporan itu turut membangkitkan soal “galakan atau kegagalan menangani pelaburan langsung asing daripada ekonomi bukan pasaran (NME), khususnya China, sehingga membolehkan lebihan kapasiti dan pengeluaran terus berkembang”.
Ia juga menyentuh “tindakan menggalakkan atau gagal membendung import daripada NME yang membolehkan syarikat China menyalurkan lebihan pengeluaran mereka”.
METI berkata: “Penemuan USTR itu tidak mengambil kira struktur ekonomi Singapura.
“Lebihan dagangan global Singapura adalah cerminan ekonomi kami yang berorientasikan pasaran luar, serta status kami sebagai hab perniagaan dan perdagangan yang dipercayai.”
Sebagai negara kecil dengan sumber terhad, keutamaan Singapura adalah memastikan pasaran beroperasi dengan cekap serta ekonominya kekal berdaya saing di peringkat global, menurut kenyataan itu.
“Dasar ekonomi Singapura tidak melindungi pasaran domestik kami mahupun memberi subsidi kepada sektor perkilangan untuk tujuan eksport. Perjanjian perdagangan bebas kami bertujuan mengurangkan halangan perdagangan dan pelaburan, serta mematuhi sepenuhnya peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” tambahnya.
Menurut METI, Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika -Singapura (USSFTA) adalah contoh bagaimana perdagangan dengan negara ini memberi manfaat kepada Amerika.
Di bawah USSFTA, Singapura tidak mengenakan sebarang tarif ke atas eksport Amerika ke Singapura, manakala Amerika menyatakan komitmen untuk tidak mengenakan tarif ke atas import dari Singapura.
Sejak USSFTA dimeterai, Amerika menikmati lebihan dagangan yang konsisten dengan Singapura selama lebih 20 tahun.
Namun, laporan USTR menyatakan:
“Walaupun Singapura mencatatkan defisit dagangan barangan dua hala yang ketara dengan Amerika hampir sepanjang dekad lalu, ia tidak mengatasi kesan negatif sektor perkilangan Singapura yang terlalu besar serta tahap penggunaan domestik yang agak rendah.”