Micron labur $30.5b di S’pura pacu cip Nand, didorong permintaan mendadak AI
Micron labur $30.5b di S’pura pacu cip Nand, didorong permintaan mendadak AI
Kemudahan baru dijangka wujudkan 1,600 pekerjaan dalam pelbagai bidang kejuruteraan, operasi
Syarikat gergasi cip Amerika Syarikat, Micron Technology, sedang membangunkan sebuah kilang bernilai AS$24 bilion ($30.5 bilion) di Singapura bagi meningkatkan pengeluaran semikonduktor.
Langkah ini adalah respons kepada permintaan mendadak kecerdasan buatan (AI) yang mencetuskan ketidakcukupan perkakasan untuk menyokong pusat data.
Kilang baru itu, yang terletak di dalam kompleks perkilangan sedia ada syarikat di Woodlands, bakal menawarkan tambahan ruang bilik bersih seluas 700,000 kaki persegi apabila mula beroperasi pada separuh kedua 2028.
Ia akan menghasilkan cip memori kilat Nand yang digunakan dalam peranti storan fizikal, pemacu keadaan pepejal (solid-state drive), bagi menyokong pusat data dengan kelajuan akses lebih pantas berbanding pemacu cakera keras (hard disk drive).
Pelaburan Micron dalam kilang baru itu akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun.
Jumlah keseluruhan pelaburan Micron sejak mula beroperasi di Singapura pada 1998 kini melebihi AS$60 bilion.
Ini termasuk pelaburan terbaru ini, serta pelaburan dalam pembinaan sebuah kemudahan bernilai AS$7 bilion yang diumumkan pada 2025 bagi meningkatkan pengeluaran cip memori jalur lebar tinggi.
Kemudahan Nand itu dijangka mewujudkan sekitar 1,600 pekerjaan dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan operasi.
Bersama kilang cip memori jalur lebar tinggi, bilangan pekerjaan baru dijangka mencecah 3,000.
Singapura merupakan pangkalan pengeluaran utama Micron bagi cip memori kilat Nand.
Cip ini telah menyumbang sekitar 20 peratus daripada pendapatan syarikat, atau AS$2.7 bilion, pada suku pertama tahun kewangan 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang menghadiri majlis perasmian tapak kemudahan baru itu pada 27 Januari, berkata ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan pesat teknologi telah mengubah cara syarikat global mengambil pendekatan dalam pelaburan, pengeluaran, inovasi, dan pengurusan risiko dalam rantaian bekalan yang rumit.
“Di sinilah Singapura menempatkan dirinya. Kami berhasrat menjadi hab dipercayai di mana syarikat terkemuka global boleh menjalankan aktiviti penting syarikat dengan yakin, walaupun keadaan global kekal tidak menentu,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.
“Pelaburan Micron dalam kemudahan pemasangan wafer baru ini penting bukan sahaja kerana skala pelaburannya, malah kerana ia mengukuhkan peranan Singapura dalam perkilangan cip memori kilat maju Nand,” tambahnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Micron Technology, Encik Sanjay Mehrotra, berkata:
“Dengan perkembangan AI, memori dan storan bukan lagi sekadar komponen dalam sesebuah sistem. Ia telah menjadi aset strategik yang memperkasa potensi AI.”
Beliau menambah bahawa permintaan terhadap cip memori kini berada pada tahap “belum pernah berlaku sebelum ini”, sambil merujuk kepada kekurangan cip memori yang dijangka berlanjutan melebihi 2026.
Kemudahan cip Nand dua tingkat itu adalah yang pertama seumpamanya di Singapura, yang menurut Encik Sanjay, akan memanfaatkan penggunaan tanah dengan menyediakan lebih banyak ruang bilik bersih.
Encik Gan pula menyifatkan AI sebagai pemacu pertumbuhan yang mapan dan berterusan untuk industri semikonduktor Singapura, sambil menambah bahawa kilang Nand ini akan menjana peluang pekerjaan yang berkualiti.
Beliau turut menyatakan Micron telah menjalin kerjasama erat dengan institusi pendidikan tempatan, dan ini akan membuka ruang kepada pelajar untuk menyertai latihan industri, bimbingan, serta menimba pengalaman pembelajaran secara langsung di syarikat itu.

