Sebuah kilang baru syarikat pembuat cip, Micron Technology, bernilai AS$7 bilion ($8.9 bilion) yang sedang dibina di Singapura akan menyokong rancangan syarikat itu untuk menghasilkan cip semikonduktor termaju yang diperlukan bagi aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Diumumkan awal tahun 2025, pembangunan yang terletak di Woodlands itu akan memulakan penghasilan pada 2026, dan mewujudkan sekitar 1,400 pekerjaan pada peringkat awal pembukaannya, sebelum meningkat kepada sekitar 3,000 pekerjaan dalam tahun-tahun kemudian.
Kilang baru itu akan membolehkan syarikat Amerika Syarikat itu untuk meningkatkan pengeluaran cip memori lebar jalur tinggi (HBM), kata Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Perniagaan Micron, Encik Sumit Sadana.
Cip tersebut mengandungi beberapa lapisan yang membentuk satu kiub, membolehkan data disimpan dan diproses dengan lebih cepat, serta menggunakan kurang tenaga berbanding cip biasa.
Ia membolehkan unit pemprosesan grafik dan pemecut yang dibuat oleh syarikat seperti Nvidia dan AMD memproses beban kerja AI generatif di pusat data.
Pasaran cip HBM bernilai sekitar AS$35 bilion, namun Micron menjangkakan nilainya akan mencecah hampir AS$100 bilion menjelang 2030, lapor The Straits Times (ST).
“Ia satu pertumbuhan besar dalam pasaran cip HBM.
“Bagi memenuhi jangkaan pertumbuhan ini, kami merancang mengembangkan kapasiti cip HBM,” kata Encik Sadana, dalam satu taklimat dalam talian pada 2 Julai.
Micron kini giat meningkatkan kapasiti pengeluaran cip HBM di kilangnya di Taiwan, namun kapasiti tersebut dijangka akan mencapai tahap penggunaan maksimum dalam masa terdekat.
Oleh itu, ia memerlukan lebih banyak kemudahan bagi memenuhi permintaan untuk beberapa tahun akan datang.
“Kami akan kehabisan ruang di kemudahan kami di Taiwan dalam masa terdekat.
“Oleh itu, kilang di Singapura ini sangat penting untuk terus meningkatkan pengeluaran cip HBM kami,” kata Encik Sadana.
“Kami amat teruja dengan peluang yang dibawa AI dan Singapura dan pastinya ini akan memainkan peranan penting dalam banyak inovasi berasaskan AI yang sedang kami lakukan,” tambahnya.
Micron, pembuat cip memori terbesar di Amerika, mengumumkan penyusunan semula unit perniagaannya pada April, bagi memanfaatkan pertumbuhan yang dirangsang AI iaitu daripada pusat data sehingga ke peranti seperti komputer dan telefon bimbit.
Syarikat itu telah mewujudkan empat unit perniagaan baru, termasuk satu unit perniagaan memori awan, yang memberi tumpuan kepada pelanggan perniagaan awan berskala besar dan cip HBM bagi pelanggan pusat data.
Menurut Encik Sadana, Singapura akan terus menjadi pangkalan utama syarikat itu bagi pengeluaran cip memori Nand, yang digunakan dalam pemacu USB dan telefon bimbit.
Laporan pada awal 2025 menyatakan bahawa Micron telah menggajikan sekitar 9,000 pekerja di Singapura.
Ini termasuk tugas dan peranan seperti pemasangan, operasi pengujian dan pembangunan pembungkusan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg