Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Milenial dijangka golongan teramai paling kaya di S’pura

Aug 11, 2024 | 5:30 AM
Laporan HSBC pada 2022 mengenai peningkatan kekayaan Asia meramalkan jumlah jutawan di Singapura meningkat kepada 700,000 orang menjelang 2030.
Laporan HSBC pada 2022 mengenai peningkatan kekayaan Asia meramalkan jumlah jutawan di Singapura meningkat kepada 700,000 orang menjelang 2030. - Foto BT

Mereka yang telah menonton filem Crazy Rich Asians mungkin teringat adegan perbelanjaan yang tidak kena tempatnya, seperti mengubah Chijmes menjadi pelantar perkahwinan dengan ciri air dan bunga, serta sebuah kapal kargo dengan kontena diubah menjadi kolam renang peribadi dan lantai tarian.

Walaupun plott ini hanya di dalam filem, tetapi ia menonjolkan kuasa sosioekonomi yang akan membentuk Singapura dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Saya melihatnya sebagai sekumpulan anak muda Singapura yang ‘kaya gila’ bersiap sedia untuk menggerakkan momentum pemindahan kekayaan besar daripada sejuta golongan baby boomer (lahir antara 1946 dengan 1964, yang membentuk kira-kira satu pertiga daripada penduduk Singapura) kepada milenial (lahir antara 1981 dengan 1996) dan Gen Z (antara 1997 dan 2012).

Laporan bank DBS 2019 menganggarkan magnitud pemindahan kekayaan di Singapura melebihi $2 trilion.

Dengan sebahagian besar kekayaan ini melibatkan golongan milenial, mereka akan menjadi generasi terkaya yang pernah ada.

Laporan Kekayaan Global UBS 2024 pula meletakkan jumlah jutawan di Singapura seramai 333,204 pada 2023.

Mereka mempunyai aset bersih – tunai, saham, harta kediaman tanpa hutang – sekurang-kurangnya AS$1 juta ($1.3 juta).

Menurut laporan Bandar Terkaya Dunia 2024 oleh Henley & Partners’ menyebut bahawa terdapat 336 centi-millionaire atau golongan yang sangat kaya, masing-masing dengan minimum AS$100 juta.

Laporan itu juga menyebut bahawa terdapat 30 jutawan, yang masing-masing mempunyai sekurang-kurangnya AS$1 bilion yang boleh dilaburkan.

Jika kita mendarabkan kekayaan paling rendah yang boleh dilabur mereka dengan bilangan mereka, jumlah minimum kekayaan yang tersedia untuk peralihan di Singapura berjumlah AS$396.4 bilion.

Dengan mengandaikan hanya 30 peratus daripadanya adalah milik generasi baby boomer, angkanya mencecah AS$118.9 bilion – cukup untuk mentadbir Bulgaria atau memulakan syarikat penerbangan dengan 528 pesawat Boeing 787 Dreamliners baru.

Jumlah jutawan di Singapura dijangka meningkat kepada 375,725 orang menjelang 2028, menurut Laporan Kekayaan Global UBS – tambahan 42,521 dalam tempoh empat tahun akan datang.

Laporan 2022 HSBC mengenai peningkatan kekayaan Asia meramalkan bilangan jutawan di Singapura meningkat kepada 700,000 menjelang 2030.

Justeru, kita boleh mengandaikan bahawa ramai daripada jutawan baru ini bangkit daripada kalangan rakyat kelas menengah atas dan pertengahan.

Mereka mungkin tidak mempunyai Bentley emas dan Banglo Kelas Baik (GCB), tetapi kebanyakannya memiliki flat awam atau kondominium tanpa gadai janji, saham, simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan wang tunai bernilai lebih $1 juta, yang akan diserahkan sepenuhnya kepada anak-anak mereka kelak.

Meskipun tidak kaya secara individu, jumlah kolektif mereka adalah gegaran dalam anjakan kewangan dalam masyarakat Singapura.

Jumlah pemindahan kekayaan juga akan berlaku di peringkat baby boomer berpendapatan sederhana atas dan sederhana.

HSBC telah pun menyaksikan pertumbuhan dalam bilangan pelanggan untuk segmen mewahnya dari 2019 hingga 2023, dan membuka tiga pusat kekayaan di Singapura menjelang suku pertama 2025.

Terdapat juga Pusat Kekayaan AIA Singapura, yang didedikasikan untuk memberi perkhidmatan kepada individu dan keluarga kaya serantau dan domestik sebagai tindak balas strategik kepada lonjakan yang diunjurkan dalam populasi mewah Singapura.

Peralihan kekayaan di Singapura yang hebat akan mewujudkan generasi yang terbiasa dengan pemberian daripada ibu bapa tetapi miskin dalam pengetahuan kewangan peribadi dan terdedah kepada perbelanjaan berlebihan.

Penyelidikan 2023 Euromonitor International mendapati isi rumah Gen Z dan milenial membelanjakan purata AS$106,045 dan AS$92,528, berbanding baby boomer iaitu AS$58,468.

Walaupun ibu bapa baby boomer diketahui menyimpan kekayaan, jutawan milenial dan Gen Z mungkin sudah memanfaatkan warisan mereka.

Daya saing tenaga kerja Singapura juga mungkin berada dalam keadaan kritikal apabila lebih ramai golongan milenial dan mungkin juga beberapa Gen Z berhenti kerja kerana harta yang diwarisi sudah mencukupi.

Jika jumlah itu ketara, fenomena persaraan awal beramai-ramai oleh anak muda Singapura ini akan memberikan cabaran kepada Perdana Menteri Lawrence Wong dan pasukannya dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Di peringkat sosioekonomi, impak kolektif jutawan muda terhadap masyarakat Singapura akan dirasai lebih awal, bukan dirasa kemudian, dan kesannya bergantung pada sikap individu ini terhadap wang, pendidikan kewangan peribadi mereka, dan pelaburan kekayaan semula ke dalam ekonomi.

Menguruskan pembahagian kekayaan yang terhasil dan memastikan keterangkuman kewangan bagi segmen berpendapatan rendah akan menjadi satu lagi cabaran bagi pemerintah Singapura.

Menyentuh sama ada kekayaan akan dibazirkan untuk golongan muda, ia banyak bergantung sama ada ibu bapa baby boomer telah mendidik dan menyiapkan diri mereka, serta anak-anak mereka, untuk peralihan kekayaan.

Meskipun sesetengah keluarga yang mempunyai nilai bersih sangat tinggi telah menyediakan sistem dan program untuk memastikan keturunan mereka mewarisi dengan berkesan, ramai yang tidak pernah bercakap mengenai wang.

Namun baby boomer di Singapura sudah mula menyerahkan aset kepada anak-anak mereka.

Kanak-kanak milenial mewarisi pangsapuri persendirian, manakala Gen Z mendapat kereta mewah.

Nota: Penulis adalah pakar kewangan peribadi dengan The Better Foundation. Artikel ini pertama kali diterbitkan Business Times pada 2 Ogos 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg