Jika anda melihat seorang lelaki yang mirip mantan presiden Afghanistan, Encik Hamid Karzai, di pusat kewangan Singapura, beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Pengurusan Kekayaan Asia Indosuez yang keluar pejabat untuk makan tengah hari.
Encik Omar Shokur, 48 tahun, ialah warga Switzerland yang dilahirkan di Kabul, Afghanistan, dibesarkan di Italy dan kembali buat beberapa tahun ke Kabul yang dilanda perang saudara.
Lima tahun kemudian, beliau dibawa ke Switzerland oleh ibu bapanya untuk melarikan diri daripada perang saudara di Afghanistan itu.
Ayahnya pernah menjadi diplomat Afghanistan di Rome dan Encik Omar berpindah ke bandar itu ketika baru berusia setahun.
Apabila keluarga itu kembali ke Afghanistan pada 1990 sebagai pelarian, keadaan mereka berubah dengan ketara.
Apabila meningkat dewasa, beliau bekerja dengan menghantar makanan dari rumah ke rumah.
Begitulah pasang surut kehidupan yang melahirkan daya tahan, kata Encik Omar tentang kehidupannya di Kabul.
“Apabila rakan baik anda di sekolah tidak muncul pada suatu pagi kerana dia telah terkorban akibat bom atau apabila bekalan kuasa anda berkurang sehingga satu jam seminggu di rumah, kehidupan anda tentunya berubah,” ceritanya, lapor The Straits Times.
“Kanak-kanak menyesuaikan diri, belajar menikmati kehidupan dengan cara yang berbeza,” tambah Encik Omar, ayah dua anak lelaki, berusia 11 dan lima tahun.
Indosuez, anak syarikat induknya perbankan Perancis Credit Agricole (CA), baru-baru ini telah mengambil dua pertiga kepentingan dalam Degroof Petercam Belgium, sekali gus meletakkannya sebagai “pengurusan kekayaan paling maju di Eropah”.
Soalnya, bagaimanakah seorang pengurus kekayaan ini – dengan teras CA adalah dalam koperasi pertanian Perancis – mencari alasan bertapak di ruang pengurusan kekayaan yang sesak di Asia, bersaing dengan Goldman Sachs dan JP Morgans di satu pihak dan bank tempatan yang agresif di satu pihak yang lain?”
UOB, terkecil daripada tiga bank Singapura, mencatatkan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak $176 bilion pada akhir 2023, manakala DBS dilaporkan mempunyai dua kali ganda daripada itu.
Indosuez, yang digabungkan dengan Degroof Petercam, mempunyai AUM sebanyak 200 bilion euro atau kurang daripada $300 bilion.
Indosuez kukuh dalam ekuiti privet, pelaburan Eropah, pembiayaan dan hartanah selain daripada rangkaian antarabangsanya.
Pemerolehan Degroof Petercam menambah kekuatannya dalam khidmat nasihat kepada usahawan, ditambah nasihat pelaburan dan tawaran dana kepada pelanggan dan keluarga bernilai tinggi – khususnya, persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dan keupayaan perkhidmatan dana.
Encik Omar, yang membahagikan masanya antara Singapura dengan Hong Kong, berkata pelanggan utama Asianya ialah “penduduk Singapura” dan ini juga merupakan segmen pelanggan yang paling pesat berkembang.
Indosuez telah melihat pertumbuhan AUM “melebihi 10 peratus” di Asia sejak dua tahun lalu, katanya.
Beliau berkata adalah satu kepuasan bahawa bank itu berkembang dengan cara mampan, mampu menarik pelanggan baru dan pertumbuhan berkembang dengan baik dan bukannya datang daripada beberapa tawaran besar.
“Apabila anda lebih kecil, anda cenderung untuk merebut bahagian pasaran daripada yang lain. Apa yang penting ialah ini datang daripada sejumlah besar bank dan pelanggan baru,” ujar Encik Omar.
Indosuez berada buat jangka panjang di Asia, kawasan yang dianggapnya sebagai enjin pertumbuhan bagi institusi itu. Tetapi pertumbuhan itu mesti datang dengan cara yang betul.
Justeru tiada pengumuman besar seperti pengambilan dua dozen karyawan pengurusan kekayaan.
Malah, sejak mengambil alih tugas, Encik Omar telah mengurangkan hampir separuh barisan depannya.
Indosuez mempunyai sekitar 80 pengurus kekayaan, majoriti di Singapura.
Mengendalikan kekayaan terbukti sangat menguntungkan bank.
Menurut The Wealth Report yang diterbitkan oleh Knight Frank dan Douglas Elliman, bilangan individu yang mempunyai nilai bersih sangat tinggi di dunia berjumlah kira-kira 626,000 orang pada 2023.
Ramai daripada mereka berada di Asia dan bilangan mereka dijangka meningkat dengan India dan China mengetuai kumpulan itu.
Hanya bank yang mempunyai skala yang boleh memenuhi tahap permintaan ini dengan berkesan, kata Encik Omar sambil menyatakan pihak bank memerlukan saiz dan merebut pasaran global untuk maju ke depan.
Kebanyakan kekayaan global bersedia berpindah daripada generasi boomer kepada milenium dan pengurus kekayaan perlu bersiap untuk peralihan ini.
“Anda akan melihat lebih banyak trend seperti ini berlaku di Asia. Semakin ramai (orang muda) terlibat dalam perbualan ini, lebih baik untuk mereka dan kami. Saya melihat generasi akan datang mendorong ibu bapa mereka melabur dalam ekuiti privet,’’ kata Encik Omar lagi.
Menurutnya, orang Asia lebih memahami pelaburan mereka.
Orang Eropah secara umum menyerahkan budi bicara kepada bank dan mendaftar masuk sekali atau dua kali setahun dan mengubah suai arahan mereka.
“Pelabur Asia lebih bijak. Mereka cenderung untuk menjejaki pasaran dengan lebih dekat”, katanya sambil menambah bahawa perkara lain tentang mereka ialah “hartanah ialah kelas aset penting bagi mereka”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg