Kedua-dua bilangan jawatan kosong dan kadar pengangguran meningkat pada suku pertama 2025, menyebabkan nisbah antara kedua-dua kadar tersebut kekal tidak berubah.
Demikian menurut Laporan Pasaran Buruh oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 27 Jun.
Jumlah pekerjaan bagi penduduk dan bukan penduduk meningkat dengan lebih perlahan berbanding suku sebelumnya, menurut laporan itu yang merupakan kemas kini kepada penerbitan awal pada 28 April.
Namun, MOM menyatakan bahawa peningkatan jumlah jawatan kosong pada suku pertama masih belum mencerminkan kesan pengumuman tarif yang dibuat Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 2 April.
Dalam tinjauan yang dijalankan selepas pengumuman tarif, syarikat “masih bersikap berhati-hati dalam penilaian mereka untuk perancangan tenaga kerja”, kata MOM.
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, berkata dalam taklimat media bahawa kenaikan sedikit dalam kadar pengangguran menunjukkan majikan kekal berhati-hati dalam pengambilan pekerja di tengah ketidaktentuan sejagat yang semakin meningkat.
“Kami menjangka sikap berhati-hati ini akan berterusan dan permintaan pengambilan pekerja akan tumbuh secara sederhana dengan lebih lanjut, terutama dengan kesan tarif Hari Pembebasan Amerika,” ujar Dr Tan.
Namun, beliau meyakinkan rakyat Singapura bahawa “masih ada peluang pekerjaan yang baik,” terutama dalam sektor yang sedang berkembang.
Pemerintah akan terus memantau keadaan tarif bersama anggota Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), serta mengkaji langkah tambahan bagi membantu perniagaan dan pekerja menghadapi ketidaktentuan itu, tambah Dr Tan.
Pemerintah juga sedang bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IHL) untuk meningkatkan akses lulusan baru kepada peluang pekerjaan.
Pada suku pertama, pekerjaan bagi penduduk meningkat sebanyak 300, jauh lebih rendah berbanding kenaikan 1,400 pada suku keempat.
Pekerjaan bukan penduduk pula meningkat sebanyak 2,000, berbanding 6,300 pada suku sebelumnya, lapor The Business Times (BT).
Kenaikan pekerjaan bukan penduduk didorong pemegang permit kerja, terutama dalam pekerjaan “yang kurang diminati penduduk,” seperti pemandu bas atau lori, jelas MOM.
Jumlah keseluruhan pertumbuhan pekerjaan merosot kepada 2,400, berbanding 7,700 pada suku keempat.
Menurut Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Statistik Tenaga Manusia MOM, Encik Ang Boon Heng, penurunan itu disebabkan oleh faktor bermusim dan struktur.
Singapura dijangka tidak mengalami peningkatan pekerjaan yang “sangat besar” kerana kadar penyertaan tenaga kerja sudah berada pada tahap tinggi, tambah beliau.
Sebarang kesan daripada tarif Amerika dijangka akan kelihatan pada suku kedua atau ketiga, “bergantung kepada bagaimana keadaan itu berkembang,” kata Encik Ang.
Terdapat 81,100 jawatan kosong pada Mac, meningkat daripada 77,500 pekerjaan pada Disember 2024.
Namun, memandangkan kadar pengangguran turut meningkat, nisbah jawatan kosong bagi setiap penganggur kekal pada 1.64.
MOM menggambarkan nisbah tersebut sebagai petunjuk pasaran buruh kekal ketat.
Peningkatan jawatan kosong berlaku merentas sektor, namun MOM menyatakan terdapat tanda-tanda permintaan lebih perlahan dalam sektor pengilangan yang mencata 8,000 jawatan kosong pada Mac, turun berbanding 8,200 pada Disember 2024.
Jawatan kosong yang “berkemungkinan besar akan diisi penduduk” meningkat kepada 59,400 berbanding 53,800 pada suku sebelumnya, terus merangkumi sekitar 70 peratus daripada jumlah keseluruhan jawatan kosong.
Jawatan kosong tersebut tertumpu pada sektor berkembang seperti kesihatan dan perkhidmatan sosial, perkhidmatan profesional, maklumat dan komunikasi, serta perkhidmatan kewangan dan insurans.
Kadar pengangguran meningkat pada Mac dalam semua kategori berbanding suku sebelumnya: 2 peratus secara keseluruhan (daripada 1.9 peratus), 2.9 peratus untuk penduduk (daripada 2.8 peratus), dan 3.1 peratus untuk warganegara (daripada 2.9 peratus).
Kadar pengangguran jangka panjang bagi penduduk meningkat sedikit kepada 0.9 peratus, daripada 0.8 peratus sebelum ini, tetapi masih setanding dengan kadar ketika ekonomi berada dalam keadaan stabil, menurut MOM.
Namun, kadar pengangguran bagi penduduk dan warganegara menunjukkan sedikit penurunan pada April, masing-masing turun kepada 2.8 peratus dan 3 peratus.
“
“Kami menjangka sikap berhati-hati ini akan berterusan dan permintaan pengambilan pekerja akan tumbuh secara sederhana dengan lebih lanjut, terutama dengan kesan tarif Hari Pembebasan Amerika Syarikat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg