Pasaran pekerja Singapura terus berkembang pada 2024, disokong oleh prestasi ekonomi yang kukuh dan sentimen perniagaan yang positif, walaupun menghadapi risiko ketidaktentuan global pada 2025.
Namun, pada suku keempat 2024, pemberhentian pekerja meningkat dan nisbah jawatan kosong menurun.
Jumlah penduduk yang bekerja meningkat sebanyak 8,800 orang pada 2024, berbanding penurunan 4,600 orang pada 2023, menurut laporan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 19 Mac, lapor The Straits Times (ST).
Warga Singapura membentuk majoriti besar, sekitar 85 peratus, daripada penduduk di sini.
Walaupun lebih ramai penduduk mendapat pekerjaan, pasaran pekerja tetap ketat, menurut MOM.
Pada Disember 2024, terdapat 1.64 jawatan kosong untuk setiap orang yang menganggur, meningkat daripada 1.32 pada September 2024, tetapi lebih rendah berbanding 1.76 pada Disember 2023.
Jumlah jawatan kosong meningkat daripada 61,500 pada September 2024 kepada 77,500 pada Disember 2024.
Sekitar 70 peratus daripada jawatan kosong adalah untuk jawatan yang lebih mahir dan tinggi gaji, seperti penganalisis kewangan dan pemaju perisian, kata pengarah jabatan penyelidikan tenaga kerja dan statistik MOM, Encik Ang Boon Heng.
“Ini menunjukkan bahawa penduduk tempatan mengisi jawatan yang lebih mahir dan lebih tinggi gajinya,” kata Encik Ang pada 19 Mac.
Jumlah pekerja asing yang diambil meningkat sebanyak 35,700 pada 2024, tetapi ini adalah kurang separuh daripada 83,500 pada 2023.
Pertumbuhan terbesar datang daripada pemegang permit kerja, yang meningkat sebanyak 39,300 pada 2024.
Pemegang permit kerja mengisi pekerjaan yang kurang diambil oleh penduduk, menurut MOM.
Sementara itu, jumlah pemegang Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S menurun pada 2024 selepas kenaikan besar pada 2022.
MOM menyatakan ini disebabkan oleh penyesuaian syarikat dengan Rangka Kerja Penilaian Pelengkap (Compass) dan syarat gaji lebih tinggi untuk EP dan Pas S.
Pertumbuhan pekerjaan bersih sebanyak 8,800 dalam kalangan penduduk didorong oleh sektor kemahiran tinggi, termasuk dalam perkhidmatan kewangan dan insurans, teknologi maklumat (IT) dan komunikasi, dan lain-lain.
Pada 2024, pekerjaan penduduk di sektor kemahiran rendah seperti makanan dan minuman (F&B), serta perkhidmatan pentadbiran masing-masing menurun sebanyak 2,100 dan 700 pekerja.
Jumlah pekerjaan meningkat 44,500 pada 2024, berbanding 78,800 pada 2023.
Kadar pengangguran kekal rendah pada 1.9 peratus secara keseluruhan, 2.8 peratus bagi penduduk, dan 2.9 peratus bagi rakyat Singapura.
Kadar pengangguran jangka panjang penduduk kekal pada 0.8 peratus.
Pemberhentian pekerja pula menurun kepada 13,020 pada 2024, berbanding 14,590 pada 2023.
Pada suku tahunan, pemberhentian pekerja meningkat dari 3,050 pada Julai hingga September kepada 3,680 pada Oktober hingga Disember, terutamanya dalam sektor kewangan dan insurans, akibat kos tinggi.
Jumlah pekerja dalam minggu kerja pendek atau pemecatan sementara meningkat kepada 660, namun masih rendah berbanding prapandemik.
Kadar kemasukan semula pekerja yang diberhentikan dalam enam bulan menurun sedikit dari 60.4 peratus kepada 58.1 peratus.
MOM menjangka pasaran pekerja akan terus berkembang pada 2025, sekurang-kurangnya untuk suku pertama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg