Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia catat pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan
GDP naik 5.5% bagi tempoh tiga bulan sehingga Sep, namun masih dibayangi risiko AI
M’sia catat pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas berbanding anggaran awal pada suku ketiga, disokong permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) serta perbelanjaan domestik yang berdaya tahan.
Pada masa sama, para pegawai memaklumkan mereka sedang menilai kesan peraturan baharu Amerika Syarikat terhadap AI.
Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) meningkat 5.5 peratus dalam tempoh tiga bulan sehingga September, melebihi anggaran awal 5.3 peratus oleh jabatan perangkaan.
Pakar ekonomi sebelum ini menjangkakan tiada semakan semula dibuat terhadap angka tersebut.
Pertumbuhan melonjak kepada 6.9 peratus pada September, menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan.
“Ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus memacu momentumnya pada 2027,” kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, dalam satu taklimat pada 18 November, sambil meramalkan pertumbuhan melebihi 5 peratus bagi 2026.
“Risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan termasuk kemungkinan konflik di Timur Tengah kembali memuncak serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” tambahnya.
Satu lagi risiko penurunan adalah sekiranya pulangan daripada pelaburan AI mengecewakan, kata Datuk Abdul Rasheed, meskipun beliau meramalkan kitaran peningkatan teknologi “akan berterusan sehingga tahun depan (2027), namun pada kadar lebih sederhana berbanding kadar yang telah kita saksikan”.
Sebagai pengeksport bersih tenaga, Malaysia mampu mengekalkan antara kos bahan api terendah di dunia meskipun berdepan kesan perang Iran, sekali gus melindunginya daripada harga tenaga tinggi yang dihadapi negara jiran seperti Thailand dan Filipina.
Namun, data tersebut menggariskan kebergantungan ekonomi negara terhadap lonjakan AI.
Ini tatkala Amerika sedang meneliti sama ada negara Asia Tenggara membenarkan China mengakses cip dan ‘server’ AI canggih.
Pengendali pusat data di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brazil akan memerlukan lesen daripada pemerintah Amerika untuk membeli cip AI canggih daripada Nvidia dan pengeluar Amerika lain, menurut peraturan sementara yang dikeluarkan pada 16 November oleh Jabatan Perdagangan negara itu.
Langkah tersebut bertujuan menyekat China dan seteru Amerika lain daripada mengakses kuasa pengkomputeran luar pesisir yang menggunakan pemproses rekaan Amerika.
“Ini merupakan satu contoh (kesan) geopolitik yang kita semua sedang hadapi,” kata Datuk Abdul Rasheed, sambil menyatakan masih terlalu awal untuk mengetahui kesan daripada perubahan peraturan tersebut.
“Dari segi kesan terhadap pelaburan pusat data, berdasarkan anggaran kami bagi projek yang sedang berjalan dan yang telah dirancang, ia dijangka kekal kukuh sehingga 2028,” tambahnya.
Meskipun pertumbuhan suku tahunan itu lebih perlahan berbanding kadar suku kedua sebanyak 6 peratus, ia kembali meningkat dengan pantas kepada 6.9 peratus pada September.
Datuk Abdul Rasheed turut menyatakan bahawa perniagaan di negara itu telah berjaya menyesuaikan diri dengan gangguan bekalan, meskipun berdepan kos lebih tinggi.
Menurut bank pusat itu, firma kekal optimis terhadap prospek perniagaan sehingga 2027, didorong oleh faktor peluasan perniagaan, aktiviti pelancongan, permintaan sektor elektronik serta harga komoditi.
Datuk Abdul Rasheed berkata rekod tempahan sedia ada bagi firma elektrik dan elektronik kekal kukuh, sekali gus mencerminkan permintaan yang memberangsangkan.
Nilai ringgit melanjutkan penyusutan awal apabila ia menyusut 0.6 peratus berbanding dolar Amerika, mencatat prestasi lebih rendah berbanding mata wang Asia lain pada 18 November.
Indeks penanda aras saham Kuala Lumpur turut mengekalkan kerugian awalnya dengan penyusutan 0.3 peratus.
Pertumbuhan suku ketiga itu “tepat seperti unjuran kami dan bukan sahaja mempamerkan daya tahan luar biasa, malah menunjukkan keupayaan ekonomi dalam mengharungi pelbagai kejutan luaran,” kata pakar ekonomi Nomura Holdings, Encik Euben Paracuelles.
Inflasi dijangka “mencatat trend lebih tinggi namun kekal terkawal” pada 2026 dan 2027, menurut BNM pada 18 November. – Agensi berita.