Ringgit cecah paras tertinggi berbanding dolar S’pura sejak 2021
Ringgit cecah paras tertinggi berbanding dolar S’pura sejak 2021
Didorong harga tenaga lebih tinggi; M’sia untung sebagai pengeksport tenaga bersih
Ringgit Malaysia melonjak ke paras tertinggi berbanding dolar Singapura dalam tempoh lima tahun.
Kenaikan itu didorong oleh harga tenaga yang lebih tinggi, menguntungkan Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih, serta optimisme pasaran terhadap kecerdasan buatan (AI).
Pada 18 Mac, ringgit mengukuh 0.2 peratus kepada 3.0615 berbanding mata wang Singapura, paras tertinggi sejak Mac 2021.
“Ringgit dijangka menjadi antara mata wang berprestasi terbaik di Asia pada 2026,” kata ahli strategi Goldman Sachs Group, termasuk Encik Danny Suwanapruti, dalam nota bertarikh 14 Mac.
“Memandangkan gangguan di Selat Hormuz, dan kemungkinan harga gas asli cecair (LNG) yang lebih tinggi, kami berpendapat Malaysia berada dalam kedudukan terbaik di rantau ini untuk mengharungi kejutan tenaga sejagat.”
“Kami masih yakin dengan prestasi ringgit dan mengekalkan strategi dagangan yang memihak kepada ringgit berbanding dolar Singapura.”
Sebagai pengeksport tenaga bersih, mata wang Malaysia mendapat sokongan daripada jangkaan harga minyak Brent kekal tinggi, terutama apabila pelabur memantau kesan konflik Iran terhadap pergerakan minyak di seluruh dunia.
Sebaliknya, kebanyakan ekonomi Asia, termasuk Singapura, adalah pengimport minyak bersih. Oleh itu, mata wang mereka cenderung menyusut apabila kos tenaga meningkat.
Ringgit turut menerima dorongan daripada pelaburan langsung asing berkaitan AI dan pertumbuhan
Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) yang mengatasi ramalan.
Pasangan dolar Singapura-ringgit amat signifikan kerana kedua-dua negara berkongsi hubungan perdagangan yang akrab.
Selain itu, sempadan darat antara mereka dikenali sebagai salah satu lintasan tersibuk di dunia. – Agensi berita.
“
“Memandangkan gangguan di Selat Hormuz, dan kemungkinan harga gas asli cecair (LNG) yang lebih tinggi, kami berpendapat Malaysia berada dalam kedudukan terbaik di rantau ini untuk mengharungi kejutan tenaga sejagat.”
