Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

Netflix henti lapor bilangan pelanggan, tumpu pada pendapatan

Apr 19, 2024 | 03:19 PM



LOS ANGELES: Syarikat perintis khidmat penstriman video Netflix pada 18 April membuat pengumuman tidak dijangka bahawa ia akan berhenti melaporkan bilangan pelanggan syarikat itu pada setiap suku tahun.


Keputusan tersebut dilihat sebagai petanda bahawa penambahan bilangan pelanggan yang dicatat semasa perang penstriman selama bertahun-tahun kini semakin berkurangan.

Harga saham Netflix jatuh selepas syarikat itu melaporkan berjaya menarik bilangan besar pelanggan baru pada suku pertama, namun memberi ramalan pendapatan lebih rendah daripada jangkaan penganalisis.

Saham Netflix didagangkan pada AS$585.41 ($797) selepas waktu dagangan, turun 4.2 peratus daripada harga penutupnya.

Netflix berkata pelan penstriman syarikat itu yang disokong iklan berjaya menarik 9.3 juta pelanggan baru, hampir seganda lebih tinggi daripada ramalan penganalisis yang ditinjau Kumpulan Bursa Saham London.

Ini menjadikan jumlah pelanggannya di seluruh dunia mencecah 269.6 juta pada akhir Mac.

Pegawai eksekutif Netflix menggesa pelabur untuk menumpukan perhatian kepada pendapatan dan margin operasi apabila menilai kemajuan syarikat tersebut, dan bukannya penambahan pelanggan.

Netflix memaklumkan ia akan berhenti mendedahkan bilangan pelanggan baru pada setiap suku tahun bermula suku pertama 2025.

Sebaliknya, syarikat itu akan hanya mengumumkan perangkaan tersebut apabila ia berjaya mencatat pencapaian penting.

“Perubahan ini didorong oleh keinginan memberi tumpuan kepada metrik utama yang kami fikir paling penting untuk perniagaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Netflix, Encik Greg Peters, dalam satu video selepas pengumuman pendapatan syarikat itu.

Penganalisis berkata keputusan syarikat itu untuk berhenti melaporkan bilangan pelanggan pada setiap suku tahun, mungkin menimbulkan rasa marah dan kecewa dalam kalangan pelabur, selain menyukarkan penganalisis Wall Street untuk memodelkan perniagaan syarikat itu pada masa depan.

Mereka juga berpandangan bahawa kini kurang jelas apakah daya tarikan yang boleh membuat lebih ramai pelanggan baru melanggani Netflix, selepas ia berjaya menarik ramai pengguna, hasil tindakan kerasnya menghalang perkongsian kata laluan antara pengguna.

“Kami tidak tahu apakah pemangkin seterusnya selepas (tindakan) itu yang dapat menambah pelanggan,” kata penganalisis penyelidikan ekuiti kanan M Science, Cik Magalie Grossheim.

Banyak syarikat lain juga berhenti melaporkan metrik yang biasa didengar, contohnya “pengguna aktif bulanan” bagi syarikat Facebook dan wadah sosial X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), sedang rentak pertumbuhan pelanggan menjadi lebih perlahan.

Dalam surat kepada pemegang sahamnya, Netflix menyatakan ia akan memacu pertumbuhan masa depan dengan berusaha menambah kepelbagaian dan mutu hiburan serta meningkatkan perniagaan iklan. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >