Bisnes Melayu perlu terus langkah keluar zon selesa
Dalam suasana ekonomi global yang semakin mencabar dan dipacu teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), perniagaan Melayu Islam di Singapura perlu berani keluar daripada zon selesa dan memikirkan strategi pertumbuhan jangka panjang.
Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, dalam podcast BHerbual Berita Harian berkata semakin ramai usahawan muda Melayu/Islam kini meneraju firma yang bersifat terbuka dan merentas sektor.
Bagi kelompok ini, cabarannya ialah memperkukuh kemahiran serta memahami konteks pasaran global agar dapat bersaing dalam sektor bernilai tambah tinggi.
Encik Saktiandi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC), Kewangan dan Perdagangan dan Perusahaan diundang ke BHerbual untuk mengulas laporan Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) dan kesannya kepada masyarakat termasuk usahawan Melayu/Islam.
Bagi perniagaan yang tertumpu kepada pasaran domestik pula, Encik Saktiandi berkata mereka perlu menilai bagaimana produk dan perkhidmatan boleh disepadukan ke dalam rantaian bekalan (supply chain) baru.
“Bagaimana mereka dapat memahami strategi ini dan masuk kepada rantaian bekalan yang baru? Bagaimana mereka dapat menggunakan geran dan program baru yang pemerintah akan kelolakan untuk meningkatkan keupayaan mereka?” ujarnya.
Encik Saktiandi turut menekankan bahawa AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman.
“Saya rasa perbincangan dalam kalangan firma kita mengenai AI harus tertumpu bukan kepada bagaimana AI akan menyebabkan pembuangan pekerja, tetapi sebaliknya menggunakan AI untuk meningkatkan produktiviti dan mengembangkan perniagaan dan daya saing,” tegasnya.
Beliau menggariskan tiga fokus utama: kepemimpinan Melayu/Islam dalam syarikat arus utama perlu memperkukuh representasi sambil menarik bakat; perniagaan berlandaskan masyarakat pula perlu meneroka sektor baru seperti peralihan tenaga dan teknologi; manakala pekerja Melayu Islam perlu meningkatkan kemahiran melalui pembelajaran sepanjang hayat.
“Peningkatan kemahiran untuk meningkatkan semua orang itu amat penting sekali,” katanya.

