Jawatankuasa semakan ekon S’pura bentang 7 saranan kekalkan pertumbuhan, jamin pekerjaan
Jawatankuasa semakan ekon S’pura bentang 7 saranan kekalkan pertumbuhan, jamin pekerjaan
Ini sedang dunia hadapi cabaran geopolitik, tarif Amerika, AI; pemerintah bakal beri respons semasa bahas Belanjawan, laporan penuh keluar pada pertengahan 2026
Dalam menghadapi persekitaran global yang semakin rumit dan mencabar, Singapura perlu memperkukuh kedudukan sebagai peneraju global dalam sektor pertumbuhan utama sambil membantu perniagaan dan pekerja memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi merebut peluang baru.
Langkah tersebut merupakan antara tujuh saranan utama yang dibentangkan oleh lima jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) dalam kemas kini pertengahannya – sejak ESR dilancarkan pada Ogos 2025 – yang bertujuan menetapkan strategi bagi hala tuju jangka panjang ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat.
Jawatankuasa tersebut melaporkan diri pada Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), yang diterajui Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Pemerintah akan memberi respons terhadap beberapa saranan tersebut semasa perbahasan Belanjawan, dan laporan penuh akan diterbitkan pada pertengahan 2026.
Mengumumkan saranan tersebut dalam satu wawancara pada 29 Januari, Encik Gan berkata Singapura kini memasuki fasa baru dalam perjalanan ekonomi, dengan pelbagai cabaran yang dihadapi termasuk ketegangan geopolitik, persaingan kuasa besar serta fahaman perlindungan yang semakin meningkat.
Sementara itu, kemajuan teknologi seperti AI juga telah mewujudkan cabaran bagi syarikat dan pekerja yang perlu mempelajari dan mendakap teknologi baru. Ini ditambah pula dengan isu perubahan iklim, dan juga penduduk Singapura yang semakin menua.
Sebagai sebuah ekonomi yang agak matang, pertumbuhan akan menjadi lebih sukar dicapai pada masa hadapan, kata Encik Gan, sambil memberi amaran bahawa Singapura tidak lagi boleh menganggap bahawa pertumbuhan ekonomi secara automatik akan menghasilkan pekerjaan.
“Kita perlu terus mengembangkan ekonomi di bawah persekitaran global amat mencabar ini. Kedua, kita perlu memastikan ekonomi kita mewujudkan pekerjaan baik agar rakyat Singapura boleh terus mempunyai pekerjaan dengan mata pencarian mencukupi dan stabil dan terus melihat pertumbuhan, prospek dan peluang dalam perjalanan ekonomi ini,” kata Encik Gan.
“Dengan saranan jawatankuasa ini, kami berharap dapat mendorong pertumbuhan kita ke arah tahap lebih tinggi dalam anggaran pertumbuhan 2 peratus hingga 3 peratus bagi dekad akan datang,” kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam catatan Facebook pada 30 Januari berkata Singapura perlu memikirkan semula dan memperbaharui strategi ekonomi untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang berubah.
“Keutamaan kita jelas: untuk menjamin pertumbuhan dan pekerjaan baik untuk rakyat Singapura.
“ESR telah mengemukakan idea-idea yang berguna – daripada melanjutkan kepimpinan kita dalam kelompok industri utama, hingga ke meletakkan Singapura sebagai hab AI global, hingga ke menjadikan pembelajaran sepanjang hayat lebih praktikal, dan mereka semula serta mempertingkat pekerjaan merentasi pelbagai sektor yang lebih luas,” kata beliau.
Antara saranan yang dikemukakan adalah untuk memperluas kepimpinan global dalam sektor pertumbuhan utama, termasuk industri perkilangan maju seperti semikonduktor, kewangan dan perkhidmatan moden yang berasaskan kepercayaan seperti keselamatan siber dan jaminan AI.
Selain itu, Singapura digesa untuk berani mengejar teknologi baru muncul seperti kuantum, teknologi penyahkarbonan, dan teknologi angkasa, untuk memacu sempadan pertumbuhan ekonomi.
Dalam bidang AI, ia dicadangkan agar Singapura meletakkan dirinya sebagai lokasi pilihan bagi syarikat dan bakat terbaik untuk membangunkan serta menguji huraian AI yang berimpak tinggi.
Ini termasuk membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) mendakap dan memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti dan transformasi perniagaan.
Bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif, mereka turut menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, dengan model latihan dan kemahiran perlu berubah supaya latihan dapat menjadi lebih tangkas dan responsif terhadap keperluan industri dan pekerja.
Sebagai sebahagian daripada strategi pengantarabangsaan, ia disarankan agar Singapura memperkukuh hubungan dengan pasaran global dan menyokong firma peneraju tempatan secara agresif untuk berkembang ke luar negara bagi mengatasi pasaran domestik yang kecil.
Ini sekali gus akan memastikan negara ini kekal sebagai pusat global yang dipercayai dan membawa pulang hasil tambahan serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi di sini dan di luar negara buat rakyat.
Turut hadir semasa wawancara itu ialah Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow; dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo – masing-masing pengerusi bagi jawatankuasa ESR mengenai daya saing sejagat dan modal insan.
Encik Siow menekankan pentingnya Singapura membina kekuatan di atas asas yang sedia ada, sambil menyarankan untuk terus menggandakan usaha dalam sektor-sektor di mana negara ini mempunyai kelebihan.
“Jika kita dapat melakukan dua langkah utama ini dengan betul: pertama, memperkukuh kekuatan, dan kedua, melangkaui sempadan pertumbuhan kita, maka hasilnya adalah Singapura akan beralih daripada landasan untuk pelaburan asing kepada landasan untuk melancarkan syarikat-syarikat global. Itulah objektif kami,” kata beliau.
Bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif, Encik Neo menekankan bahawa pekerja harus dilengkapi dengan kemahiran untuk mengharungi gangguan teknologi, sambil menambah bahawa AI akan mengubah cara kerja dalam semua sektor.
“Oleh itu, kita perlu menyokong rakyat dan perniagaan kita dalam semua sektor untuk membantu mereka mengemudi perubahan ini. Kita perlu melakukan ini supaya pertumbuhan kita inklusif, dan kemajuan dikongsi oleh semua,” kata beliau.

