KUALA LUMPUR: Rangkaian kafe kopi premium milik anak tempatan, Richiamo Coffee Sdn Bhd merancang untuk meluaskan lagi sayapnya ke peringkat antarabangsa dengan menyasarkan lima hingga 10 pasaran global dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah urusan kumpulannya, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah, berkata sebagai permulaan, syarikatnya akan membuka cawangan di Phnom Penh, Kemboja dan Melbourne, Australia pada September 2025.
Beliau berkata bermula tahun lalu (2024) syarikat itu mula aktif menyertai ekspo di peringkat antarabangsa untuk mengintai pasaran yang berpotensi.
“Antara ekspo yang kita sertai termasuk di Melbourne, Australia dan di Riyadh, Arab Saudi pada 2024.
“Kita juga menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada November 2024.
“Pada 2025 ini pula, kita akan pergi ke Osaka, Jepun dan Jerman,” katanya dalam program Bual Bisnes, Bernama TV yang disiarkan pada Sabtu.
Menurutnya, Richiamo Coffee juga menerima minat dari Uzbekistan dan telah berjaya memeterai satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pihak berkepentingan di negara itu.
“Bagi operasi di peringkat global, Richiamo Coffee berminat untuk bekerjasama dengan pelabur yang ingin membuka dapur pusat di negara terbabit bagi mengurangkan kos produksi dan logistik.
“Langkah ini juga mampu mengurangkan duti import produk,” katanya.
Bagi pengembangan pasaran tempatan, Datuk Muhamad Zamry berkata syarikat itu merancang untuk meningkatkan jumlah cawangan kepada 350 dalam tempoh terdekat.
Sejak penubuhannya pada 2016, Richiamo Coffee telah mencatat pertumbuhan pesat dengan memiliki 220 cawangan di seluruh Malaysia.
Manakala, Richiamo Mart, cabang perniagaan runcit baharu di bawah kumpulan tersebut, kini telah memiliki 20 cawangan.
“Kami merancang untuk meningkatkan inovasi produk dengan memperkenalkan produk baru setiap tiga bulan bagi menarik pelanggan baharu dan mengekalkan pelanggan sedia ada,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg