Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua cef orak langkah berani niaga masakan Melayu Nusantara

Hidangan khas ‘Nasi Mangkreng’ tawar keunikan masakan tradisional
Apr 26, 2025 | 5:30 AM
Cef Muhammad Fadzil Abdul Kadir, Muhammad Zulfadli Normed, Nusantara
Pengasas Geni, Cef Muhammad Fadzil Abdul Kadir (kiri), dan Cef Muhammad Zulfadli Normedi, menampilkan hidangan ciptaan mereka, ‘Nasi Mangkreng’. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Bagi Cef Muhammad Zulfadli Normedi, 35 tahun, dan Cef Muhammad Fadzil Abdul Kadir, 36 tahun, memasak bukan sekadar kerjaya, ia satu luahan cinta.

Selepas bertahun-tahun mengetuai pasukan dapur yang sibuk di bawah jenama restoran, The Black Hole Group, pasangan itu membuat keputusan pada 2025 untuk meninggalkan kestabilan kerjaya demi mengejar impian membina sesuatu hasil titik peluh sendiri.

Impian itu adalah Geni, perniagaan dari rumah (HBB) yang berteraskan apa yang mereka sifatkan sebagai ‘masakan Melayu tanpa sempadan’ atau ‘borderless Malay cuisine’.

Hidangan khas Geni ialah Nasi Mangkreng, nasi ala kampung yang meriah dengan pelbagai ciri atau lauk, menawarkan perisa dari serata Nusantara.

“Konsep makanan Melayu sangat luas,” kata Cef Zulfadli.

“Ia bukan hanya satu kategori. Ia boleh merangkumi Melayu Singapura, Jawa, Bawean, Kelantan, malah Indonesia.

“Bagi kami, semua itu secara teknikalnya (serumpun) Melayu. Jadi kami tidak mahu mengehadkan diri kami.

“Dengan Geni, kami memasak apa yang kami suka dan apa yang kami kenali semasa membesar. Tiada sempadan, tiada (terkurung dalam mana-mana) ‘kotak’,” tambahnya.

Kededua cef itu memulakan Geni pada 2024 apabila mereka masih bekerja di cawangan masing-masing di bawah restoran The Black Hole Group.

Namun mereka membuat keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada Geni pada 2025.

“Kami sedar kami semakin kurang melakukan apa yang kami suka, iaitu memasak.

“Mengurus operasi, menyelia kedai – ia membawa kami jauh dari dapur. Kami merindui rasa, teknik, kepuasan mencipta sesuatu,” kata Cef Zulfadli.

Lantas mereka menetapkan garis masa, menabung dan akhirnya mengambil risiko untuk bergerak sendiri.

Hari ini, mereka mengendalikan Geni dari dapur rumah masing-masing, menggunakan teknik yang diperhalusi selama bertahun-tahun dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Ciptaan khas mereka ialah Nasi Mangkreng, hidangan yang dinamakan sempena perkataan slanga Jawa yang bermaksud “sekali anda mula, anda tidak boleh berhenti”.

Mempunyai pelbagai lauk seperti nasi ambeng, Nasi Mangkreng terdiri daripada nasi kukus, ayam bakar kicap, lemak pucuk paku, babat goreng Madura, udang sambal Kalimantan, bergedel, ulam raja, sambal belacan mangga dan ikan kering.

“Kami tidak terlalu bercita-cita tinggi. Kami hanya mahu menghidangkan makanan yang terasa seperti (masakan) di rumah. Kami membesar dengan hidangan ini yang dimasak keluarga kami,” kata Cef Zulfadli.

Mempersiapkan semuanya bukanlah sesuatu yang mudah.

Rempah dan bumbu dibuat lebih awal, manakala bahan utama seperti ayam diawet menggunakan garam dan diperap semalaman untuk ‘membangkitkan’ rasa.

Proses memasak bermula awal setiap pagi untuk memastikan kesegaran bagi tempahan makan tengah hari dan makan malam.

Proses menghasilkan Nasi Mangkreng secara keseluruhan mengambil masa dua hari.

Kegiatan yang bermula sebagai percubaan hujung minggu pada 2024 kini telah berkembang menjadi usaha niaga sepenuh masa pada 2025.

Mereka mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada orang lama.

“Mereka melihat hidangan seperti pucuk paku dan ulam, dan mereka sangat teruja,” kongsi Cef Zulfadli.

“Ia mengingatkan mereka pada masakan rumah.

“Sementara itu, generasi muda mempunyai sikap ingin tahu – sesetengah daripada mereka tidak pernah merasa hidangan tradisional.

“Itulah antara sebab kami memulakan Geni, untuk berkongsi Nasi Mangkreng kepada mereka,” jelasnya.

Tetapi rancangan Geni tidak berhenti setakat itu.

Dengan dapur pusat yang akan dibuka pada pertengahan Mei, pasukan itu berharap dapat meningkatkan pengeluaran, sambil menawarkan lebih banyak variasi serta melancarkan perkhidmatan katering secara rasmi.

Geni telah menerima beberapa tempahan bufet Hari Raya untuk rakan dan keluarga.

Mereka kini mengusahakan set hidangan individu yang boleh diagihkan pada Jumaat.

Bagi Cef Zulfadli, beliau juga mempunyai impian untuk menyediakan hidangan untuk majlis perkahwinan.

“Saya selalu ‘cemburu’ dengan jurugambar perkahwinan,” katanya sambil ketawa.

“Mereka boleh menjadi sebahagian daripada hari istimewa itu.

“Saya mahu kita melakukannya juga melalui makanan, dengan mencipta kenangan dengan hidangan yang bermakna.”

Walaupun masa depan dipenuhi dengan ketidakpastian, kedua-dua cef itu jelas tentang satu perkara – ini adalah apa yang mereka inginkan dalam kerjaya kulinari mereka.

“Beralih kepada HBB memang memberi tekanan kepada kami. Tiada jaminan, tiada gaji bulanan seperti yang biasa kami terima.

“Namun kebebasan mencipta, meluahkan diri, berhubung dengan orang ramai melalui hidangan, ia amat berbaloi.

“Kami bukan sekadar membina perniagaan. Kami sedang membina sesuatu yang kami percayai,” ujar Cef Zulfadli.

[ο] Instagram: Genisingapore

[ο] Harga:

– Nasi Mangkreng Ayam Bakar (dua orang): $35

– Nasi Mangkreng Ikan Bakar (dua orang): $40

– Nasi Mangkreng Ayam Bakar (empat orang): $65

– Nasi Mangkreng Ikan Bakar (empat orang): $74

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg