Topik diikuti
Pergi ke BHkuJualan runcit S’pura terus tumbuh buat 4 bulan berturut-turut
Jualan runcit S’pura terus tumbuh buat 4 bulan berturut-turut
Namun perbelanjaan pada Mei lebih perlahan berbanding April
Jualan runcit S’pura terus tumbuh buat 4 bulan berturut-turut
Pengguna terus meningkatkan perbelanjaan mereka pada Mei 2026 berbanding tempoh yang sama pada 2025, sekali gus mendorong pertumbuhan jualan runcit kepada bulan keempat berturut-turut.
Namun peningkatan itu lebih kecil berbanding April lalu, dan perbelanjaan pada Mei tampak lebih perlahan berbanding April.
Jualan runcit meningkat 3 peratus tahun ke tahun kepada anggaran $4.5 bilion pada Mei, turun daripada pertumbuhan 5.4 peratus yang dicatatkan pada April, menurut data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat) pada 6 Julai.
Jika tidak mengambil kira kenderaan bermotor, alat ganti dan aksesori, jualan runcit meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun, menyederhana daripada peningkatan 4.5 peratus yang dicatatkan pada April.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan pula, jualan runcit pada Mei lebih lemah berbanding April, jatuh 2.3 peratus selepas mengambil kira faktor bermusim.
Jika tidak mengambil kira kenderaan bermotor, alat ganti dan aksesori, jualan pada Mei merosot 1.8 peratus berbanding April.
Transaksi dalam talian menyumbang 15.1 peratus daripada jumlah jualan runcit, meningkat daripada 14.7 peratus bagi April.
Kebanyakan syarikat industri runcit mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun, diterajui oleh penjualan barangan rekreasi, di mana jualan melonjak 23.6 peratus.
Penjualan jam tangan dan barang kemas meningkat 11.7 peratus, manakala stesen minyak mencatatkan peningkatan 9.5 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh harga petrol yang lebih tinggi.
Sebaliknya, jualan runcit makanan dan alkohol jatuh 3.7 peratus, manakala gedung serbaneka mencatatkan penurunan jualan sebanyak 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya (2025).
Namun, secara bulanan, kebanyakan industri runcit mencatatkan jualan yang lebih lemah.
Jualan pakaian dan kasut mencatatkan penurunan paling ketara pada 4.9 peratus, diikuti oleh kenderaan bermotor, alat ganti dan aksesori pada 4.8 peratus, dan peruncit makanan dan alkohol pada 4.6 peratus.
Sebaliknya, barangan rekreasi melonjak 11.6 peratus pada Mei berbanding April, manakala jualan perabot dan peralatan rumah pula meningkat 3.2 peratus.
Sementara itu, khidmat makanan dan minuman (F&B) tidak berubah berbanding tahun lalu (2025), selepas meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus pada April. Berdasarkan pelarasan bermusim, jualan merosot 0.6 peratus daripada bulan sebelumnya.
Jumlah jualan F&B dianggarkan sebanyak $1.7 bilion pada Mei, dengan transaksi dalam talian menyumbang 19.8 peratus daripada jualan, sedikit lebih rendah daripada 19.9 peratus yang dicatatkan pada April.
Dalam sektor ini, kedai makanan segera mencatatkan pertumbuhan dari tahun ke tahun yang paling kukuh pada 2.6 peratus, diikuti oleh katerer makanan pada 1.9 peratus dan restoran pada 1.8 peratus.
Kafe menyaksikan jualan merosot 0.5 peratus, manakala medan selera dan tempat makan lain menyaksikan jualan jatuh 5.3 peratus.
Berdasarkan tempoh bulan ke bulan, kedai makanan segera mencatatkan penurunan jualan sebanyak 3.7 peratus dan katerer makanan mencatat penurunan 2.8 peratus.
Jualan di restoran meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus dan jualan di kafe meningkat 1.2 peratus.
