Inflasi teras Singapura kekal pada Mei, namun pihak berkuasa memberi amaran kos tenaga lebih tinggi dijangka meningkatkan kos pengeluaran dan pengangkutan bagi lebih banyak barangan dan perkhidmatan import dari semasa ke semasa.

Inflasi teras – yang tidak termasuk pengangkutan privet dan penginapan bagi menggambarkan perbelanjaan isi rumah dengan lebih tepat – kekal pada 1.4 peratus pada Mei, tiada perubahan dari April.

Inflasi keseluruhan kekal pada 1.8 peratus pada Mei, sama seperti April.

Menurut kenyataan bersama pada 23 Jun, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menyatakan inflasi pengangkutan privet dan penginapan yang lebih tinggi, seiring kenaikan inflasi makanan serta runcit dan barangan lain, sebahagian besarnya diimbangi oleh inflasi perkhidmatan yang lebih rendah.

Menurut pihak berkuasa, kos tenaga dunia, yang masih lebih tinggi berbanding 2025, belum sepenuhnya dicerminkan dalam harga tempatan.

“Apabila kos tenaga yang lebih tinggi meresap ke dalam rantaian bekalan dunia dengan sedikit kelewatan, ia dijangka meningkatkan kos pengeluaran dan pengangkutan bagi lebih banyak barangan dan perkhidmatan import Singapura,” katanya.

Inflasi pengangkutan privet mencatat kenaikan terbesar, daripada 8.1 peratus pada April kepada 8.6 peratus pada Mei, didorong oleh kenaikan harga kereta dan motosikal.

Inflasi makanan meningkat 0.2 mata peratusan kepada 1.8 peratus, apabila harga makanan mentah dan perkhidmatan makanan meningkat pada kadar lebih pantas.

Inflasi runcit dan barangan lain naik sedikit kepada 1.6 peratus daripada 1.5 peratus, berikutan kenaikan pantas harga peralatan penjagaan diri serta peralatan teknologi maklumat dan komunikasi.

Kadar sewa lebih tinggi menaikkan inflasi penginapan kepada 0.5 peratus pada Mei daripada 0.4 peratus pada April.

Inflasi perkhidmatan berkurang kepada 1.3 peratus pada Mei daripada 1.5 peratus pada April, disebabkan penurunan harga perkhidmatan telekomunikasi yang lebih ketara.

Selain itu, harga elektrik dan gas susut 3 peratus pada Mei, sama seperti April, namun angka itu tidak menggambarkan kelewatan dalam penetapan tarif.

Tarif elektrik suku tahunan yang dikawal selia ditetapkan berdasarkan purata harga gas asli dalam dua setengah bulan pertama suku sebelumnya.

Oleh itu, kenaikan harga tenaga dunia pada April dan Mei hanya akan dicerminkan dalam tarif suku ketiga bermula Julai.

MAS dan MTI mengekalkan ramalan yang dibuat pada April lalu bahawa inflasi keseluruhan dan inflasi teras akan mencatat purata antara 1.5 peratus dengan 2.5 peratus pada 2026.

Menurutnya, pemulihan bekalan tenaga dunia yang lebih perlahan daripada jangkaan atau sebarang kekurangan bahan perantaraan utama dalam rantaian bekalan serantau boleh meningkatkan lagi kos import Singapura.

Pada masa sama, mereka mengingatkan bahawa keadaan kewangan sedunia yang lebih ketat daripada jangkaan boleh memperlahankan kegiatan ekonomi dan seterusnya menurunkan inflasi.