Syarikat pelaburan Singapura, Temasek, mencatat Nilai Portfolio Bersih (NPV) sebanyak $434 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2025.
Ini merupakan peningkatan $45 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Kenaikan tersebut didorong terutamanya oleh prestasi kukuh pelbagai syarikat dalam portfolio Temasek yang disenaraikan di Singapura, serta pelaburan langsung di China, Amerika Syarikat dan India, menurut syarikat itu pada 9 Julai.
NPV sebanyak $434 bilion itu juga merupakan paras tertinggi yang pernah dicapai, lapor The Straits Times (ST).
Nilai portfolio bersih merujuk kepada jumlah nilai pasaran bagi aset tersenarai dan nilai buku (‘book value’) aset tidak tersenarai dalam sesebuah portfolio pelaburan, setelah ditolak liabiliti.
Ia memberi gambaran jelas mengenai nilai sebenar portfolio tersebut pada satu-satu masa.
Dalam ukuran prestasi portfolio jangka panjang Temasek, kadar pulangan pemegang saham keseluruhan (TSR) 20 tahun kekal pada 7 peratus, bagi dua tahun berturut-turut.
TSR setahun, yang lebih tidak menentu, mencapai 11.8 peratus, meningkat daripada 1.6 peratus bagi tahun kewangan 2024, didorong oleh prestasi mantap pelbagai syarikat dalam portfolio Temasek yang berpangkalan di Singapura, selain pulangan tinggi daripada pelaburan di Amerika, China dan India.
TSR 10 tahun pula mencapai 5 peratus, turun sedikit berbanding 6 peratus pada tahun sebelumnya, kerana pulangan tinggi dari Mac 2015 – tahun yang mencatat prestasi pasaran menggalakkan – tidak lagi diambil kira dalam tempoh pengiraan semasa.
Dengan menilai semula aset tidak tersenarai mengikut harga pasaran (atau ‘mark-to-market’ – MTM), nilai portfolio bersih Temasek meningkat kepada $469 bilion, iaitu kenaikan sebanyak $35 bilion berbanding tahun sebelumnya.
MTM adalah kaedah perakaunan yang digunakan untuk mengukur nilai sesebuah aset mengikut harga pasaran semasa, dan bukannya berdasarkan nilai buku atau kos asal.
Syarikat pelaburan tersebut mula mendedahkan nilai MTM bagi aset tidak tersenarainya sejak 2024.
Pelaburan Temasek dalam syarikat tersenarai membentuk 51 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburannya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Temasek, Encik Chia Song Hwee, berkata prestasi kukuh syarikat-syarikat dalam portfolio Temasek yang berpangkalan di Singapura pada 2025 menunjukkan kemajuannya dalam melaksanakan strategi yang sejajar dengan “sasaran yang ditetapkan”.
“Ini mengesahkan usaha berterusan kami berinteraksi secara aktif dengan syarikat-syarikat itu bagi memperkukuh asas perniagaan mereka, membuat perubahan hala tuju, dan mengurangkan risiko jika perlu, serta mendorong usaha mencipta nilai.
“Kami telah mempertingkat disiplin pelaburan melalui pengurusan portfolio yang lebih aktif, dan akan mengekalkan pendekatan tegas ini bagi menambahkan pulangan jangka panjang,” ujar beliau.
Daripada keseluruhan portfolio Temasek, sebanyak 41 peratus adalah syarikat yang berpangkalan di Singapura, termasuk jenama terkenal seperti DBS Bank, Singapore Airlines dan Singtel.
Sebanyak 36 peratus lagi portfolio Temasek melibatkan pelaburan langsung dalam syarikat sejagat, iaitu syarikat peneraju yang sudah lama bertapak atau sedang membangun, yang selaras dengan empat trend struktur utama, iaitu pendigitalan, kehidupan mampan, masa depan penggunaan, dan jangka hayat lebih panjang.
Firma itu termasuk syarikat induk Shopee, Sea; dan syarikat pelaburan BlackRock.
“
“Ini mengesahkan usaha berterusan kami berinteraksi secara aktif dengan syarikat-syarikat itu bagi memperkukuh asas perniagaan mereka, membuat perubahan hala tuju, dan mengurangkan risiko jika perlu, serta mendorong usaha mencipta nilai. Kami telah mempertingkat disiplin pelaburan melalui pengurusan portfolio yang lebih aktif, dan akan mengekalkan pendekatan tegas ini bagi menambahkan pulangan jangka panjang.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg