Gergasi hiburan Nintendo mengumumkan pada 27 November bahawa ia akan mengambil alih Bandai Namco Studios Singapore, studio tempatan syarikat multinasional Jepun yang menerbit dan membangunkan permainan video, Bandai Namco.
Nintendo memiliki rangkaian francais permainan video gergasi, termasuk siri seperti Mario, The Legend of Zelda dan Pokémon.
Pada September, ia telah mengumumkan penubuhan entiti tempatan di Singapura dengan matlamat memacu perniagaan Nintendo di Asia Tenggara”, lapor The Straits Times (ST).
Nintendo berkata dalam satu kenyataan di laman webnya bahawa langkah terbarunya itu adalah “bagi tujuan mengukuhkan struktur korporatnya”.
Hasil daripada pengambilalihan saham tersebut, Bandai Namco Studios Singapore, yang terletak di Media Circle, akan menjadi anak syarikat Nintendo dan meneruskan operasi pembangunan di bawah jenama baru, Nintendo Studios Singapore.
“Bandai Namco Studios Singapore ditubuhkan sebagai salah satu pangkalan luar negara Kumpulan Bandai Namco dan merupakan syarikat pembangunan dengan kepakaran kukuh dalam penghasilan aset seni dalam permainan,” kata Nintendo dalam kenyataannya.
“Ia telah menyumbang kepada pembangunan judul Nintendo, termasuk siri Splatoon, dan mempunyai hubungan perniagaan yang berterusan dengan Nintendo.”
Nintendo bercadang untuk mengambil alih 80 peratus saham Bandai Namco Studios Singapore pada 1 April 2026, manakala baki saham akan “diserap sepenuhnya selepas tempoh tertentu” apabila operasi anak syarikat itu telah kukuh.
“Pengambilalihan ini dijangka hanya memberi impak minimum terhadap prestasi kewangan Nintendo bagi tahun fiskal ini,” jelas kenyataan itu.
Bandai Namco Studios Singapore ditubuhkan pada 2013 sebagai anak syarikat luar negara yang berfokus kepada pembangunan permainan, termasuk penghasilan aset seni dalam permainan.
Setakat ini, syarikat itu telah menyumbang kepada pembangunan permainan seperti Ace Combat 7, Soul Calibur VI, Splatoon 3, Tekken 7 dan Tekken 8, mengendalikan aspek seni, ilustrasi, pemodelan watak dan animasi, antara elemen lain dalam permainan-permainan tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg