NTUC Enterprise akan terus menyokong syarikat penyedia insurans, Income Insurance, dan memastikan ia berada di landasan betul untuk memenuhi matlamat sosialnya, walaupun selepas penjualan kepentingan besar kepada syarikat insurans Jerman, Allianz.
Demikian dinyatakan Pengerusi NTUC Enterprise, Encik Lim Boon Heng, pada 25 Julai.
Income Insurance akan terus menyediakan pilihan insurans dimampui dan mudah diperoleh kepada pelanggan yang kurang mendapat perlindungan dan bergaji rendah melalui produk seperti polisi LUV dan SilverCare, menurutnya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa Income Insurance akan terus menyertai program insurans nasional dengan kerjasama Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Selain itu, produk insurans juga akan ditawarkan pada harga premium “sangat bersaing”, lapor The Straits Times (ST).
“NTUC Enterprise juga akan terus menjadi pemegang saham aktif Income Insurance untuk memastikan ia memenuhi matlamatnya dan memberikan komitmen sosial kepada pemegang polisi,” kata Encik Lim.
Menurut beliau, Allianz, pemain perkhidmatan insurans di peringkat sedunia, dibawa masuk untuk membantu Income Insurans bersaing dengan lebih baik.
“Penguasaan pasaran insurans hayat Income Insurance kurang daripada 10 peratus sepanjang 10 tahun lalu.
“Tawaran Allianz untuk menjadi pemegang saham majoriti akan membolehkan Income Insurance menjadi lebih relevan dan berdaya tahan pada jangka panjang, untuk berkhidmat kepada keluarga di Singapura, dan memenuhi kewajipannya kepada pemegang polisi,” ujar Encik Lim.
Beliau menambah bahawa gerakan buruh di sini telah menyediakan modal kepada Income Insurance untuk perniagaannya selama ini.
Contohnya, NTUC Enterprise memberi suntikan modal pada 2020 untuk “membantu kemampuan bayar” Income Insurance semasa kemuncak pandemik Covid-19.
“Kekuatan kedudukan kewangan Allianz akan memberi sokongan tambahan kepada Income Insurance jika diperlukan,” katanya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Income Insurance menyatakan NTUC Enterprise, sebagai pemegang saham besar berikutan perjanjian itu, akan terus komited kepada Income Insurance dan pemegang kepentingannya, termasuk pemegang polisi dan pemegang saham.
Syarikat itu menegaskan walaupun dengan Allianz sebagai pemegang saham majoriti, ia akan meneruskan komitmennya, termasuk komitmen sosial, seperti yang dinyatakan dalam pengumuman tawaran pra-syarat pada 17 Julai.
Ini bermakna Allianz akan terus menyertai program insurans nasional, melabur dalam masyarakat Singapura, mengiktiraf kesatuan, dan menegakkan prinsip hubungan pengurusan buruh yang baik.
Ini juga bermakna Allianz akan melaksana ikrar untuk melabur $100 juta sepanjang 10 tahun mulai 2021 untuk menggalak mobiliti sosial bagi golongan bergaji rendah, menyokong kesejahteraan warga emas dan memperjuang usaha alam sekitar.
Kenyataan syarikat insurans itu dan NTUC Enterprise dibuat di tengah-tengah kebimbangan dalam kalangan ramai rakyat Singapura mengenai soal sama ada penjualan kepentingan majoriti dalam Income Insurance akan melemahkan misi sosialnya dan mengakibatkan premium lebih tinggi.
Dalam satu catatan Facebook pada 23 Julai, Duta Kelana, Profesor Tommy Koh, mengkritik penjualan tersebut.
“Saya tidak fikir ia adalah idea baik untuk menjual Income. Ia diasaskan untuk memenuhi matlamat sosial dan keperluan sosial. Ia kekal relevan sehingga ke hari ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg