NTUC lancar inisiatif lengkapi pekerja, firma pacu AI dalam ekon
NTUC lancar inisiatif lengkapi pekerja, firma pacu AI dalam ekon
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah melancarkan inisiatif AI-Ready SG di Festival Kerjaya NTUC pada 13 Februari.
Inisiatif mempunyai matlamat untuk melengkapkan para pekerja dan syarikat agar berkembang maju dalam ekonomi yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, dalam ucapannya sewaktu pelancaran tersebut berkata berdasarkan satu tinjauan, kebimbangan kian meningkat dalam kalangan para pekerja, lantaran kemunculan AI yang ditakuti akan mengambil alih tempat mereka.
Meskipun begitu, Encik Ng menegaskan: “Inisiatif AI-Ready SG ini merupakan satu komitmen untuk terus mendampingi para pekerja dan membantu mereka mengharungi perubahan dalam menuju masa depan berpaksikan AI.
“Matlamat AI-Ready SG ini adalah untuk mempersiapkan baik golongan muda atau tua dalam menguasai asas teknologi, sekali gus menyepadukan AI dalam kehidupan dan pekerjaan,” tambah Encik Ng.
Inisiatif tersebut mempunyai tiga teras iaitu ‘Better Workers’ (pekerja lebih baik); ‘Better Jobs’ (pekerjaan lebih baik); dan ‘Better Matching’ (padanan lebih baik); dalam mengatasi kegusaran pekerja dan syarikat yang rasa terancam dengan kehadiran AI.
Bagi membentuk ‘pekerja lebih baik’, inisiatif itu memperkenalkan sokongan dana dan subsidi kepada pekerja NTUC untuk melanggani peralatan AI.
Akses yang lebih baik kepada peralatan AI itu akan bantu meningkatkan produktiviti pekerja dalam kerja penulisan dan penciptaan kandungan.
Usaha tersebut akan turut didukung dengan laluan latihan AI dan Program Bimbingan Kerjaya NTUC LearningHub.
Latihan dan program tersebut direka mengikut keperluan khusus para pekerja daripada sektor yang pelbagai.
Ia bagi memastikan para pekerja mempunyai titik mula dan hala tuju yang jelas dalam membangunkan kemahiran AI mereka.
Program bimbingan itu juga akan menghubungkan golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) dengan mentor berpengalaman untuk memberi panduan yang wajar lagi berstruktur.
Demi mendorong jaminan pekerjaan buat para pekerja, transformasi perniagaan dan penstrukturan semula pekerjaan turut dititikberatkan bagi mencapai ‘pekerjaan lebih baik’.
Inisiatif itu berlandaskan gerak kerja Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) dan Geran CTC yang dikelolakan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC.
Usaha itu terpancar jelas dengan peningkatan jumlah syarikat pada 2025 yang telah memanfaatkan Geran Projek CTC berkaitan dengan AI.
Hal demikian menandakan adanya peningkatan minat dan pelaburan syarikat dalam teknologi AI.
Secara tidak langsung, ini akan mengukuhkan kemahiran AI para pekerja, lantas, meneguhkan jaminan pekerjaan mereka.
Selain itu, buku panduan AI mengikut sektor turut dilancarkan bagi mempercepat kecelikan dan kecekapan AI bagi para pekerja.
Ini juga untuk memastikan syarikat terpandu dalam menjalani transformasi perniagaan.
Pada peringkat awal, buku panduan AI itu memberi perhatian khusus kepada sektor yang paling terjejas dan tergugat dengan kemunculan AI seperti sektor elektronik, maritim dan kejuruteraan, hospitaliti dan perniagaan pengguna, serta perkhidmatan domestik penting.
Di samping meningkatkan kemahiran pekerja dan pekerjaan, usaha padanan yang baik juga menjadi aspek yang ditekankan dalam inisiatif AI-Ready SG.
Padanan yang lebih baik itu merujuk kepada penyaluran pekerja yang telah meningkat kemahirannya kepada pekerjaan yang bersedia hadapi masa depan.
Lantaran itu, Festival Kerjaya NTUC, yang telah dilaksanakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, mencerminkan daya usaha tersebut dalam menawarkan laluan perkembangan perniagaan dan peluang pekerjaan di bawah satu bumbung.
Bagi mendukung lujuan inisiatif itu juga, satu Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani e2i NTUC dan institut pengajian tinggi, khususnya Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Institut Teknologi Singapura (SIT).
MOU itu melambangkan kerjasama yang memberi perhatian pada ketersediaan kerjaya dan sokongan peluang pekerjaan bagi para lulusan baru melalui usaha padanan pekerjaan secara bersama.
“
“Inisiatif AI-Ready SG ini merupakan satu komitmen untuk terus mendampingi para pekerja dan membantu mereka mengharungi perubahan dalam menuju masa depan yang berpaksikan AI (kecerdasan buatan). Matlamat AI-Ready SG ini adalah untuk mempersiapkan baik golongan muda atau tua dalam menguasai asas teknologi, sekali gus menyepadukan AI dalam kehidupan dan pekerjaan.”
