Usaha dakap AI perlu lonjakan minda, bantuan pemerintah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha dakap AI perlu lonjakan minda, bantuan pemerintah

Feb 12, 2026 | 8:30 PM

Usaha dakap AI perlu lonjakan minda, bantuan pemerintah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Seorang pelajar Sekolah Menengah Fuchun menggunakan aplikasi ChatGPT bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Fuchun menggunakan aplikasi ChatGPT bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. - Foto ST

Dengan hanya petikan jari di telefon bimbit, rakyat Singapura hari ini boleh periksa skim manakah yang mereka layak dapatkan sokongan berdasarkan profil pengguna di aplikasi LifeSG – yang menyediakan akses kepada lebih 100 khidmat pemerintah di dalam satu tempat.

Di jalan raya pula, sistem lampu isyarat pintar Glide melaraskan lampu isyarat secara automatik berdasarkan masa nyata untuk mengurangkan kesesakan.

Sementara itu, di klinik kesihatan, doktor kini menggunakan teknologi imbasan yang diperkasakan oleh kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan risiko penyakit kronik bertahun-tahun lebih awal.

Inilah realiti kehidupan di Singapura hari ini – AI bukan lagi sekadar teknologi yang dibayangkan dalam filem cereka sains, tetapi adalah satu alat penting, atau ‘pembantu senyap’, yang telah meningkatkan mutu kehidupan.

Bahkan, teknologi AI berkembang maju dengan sangat pesat, dan dijangka akan menjejas pelbagai aspek daripada ekonomi hingga ke perniagaan, pekerjaan dan kehidupan harian.

Di peringkat sejagat, negara-negara sedang berlumba dalam bidang AI ini, bersaing bukan sekadar untuk kemajuan teknologi, tetapi untuk menentukan standard etika, keselamatan, dan kedaulatan ekonomi dunia.

Singapura tidak terkecuali. Bagi negara kecil seperti Singapura, usaha bersepadu ini bukan pilihan, tetapi keperluan strategik untuk memastikan kita tidak terpinggir daripada rantaian bekalan sejagat yang semakin bergantung kepada kecerdasan mesin.

Bahkan, pengumuman strategi dan inisiatif AI dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, pada 12 Februari menunjukkan usaha terlaras di pihak pemerintah untuk memastikan Singapura tidak ketinggalan dalam perkembangan AI.

Antaranya, penubuhan sebuah Majlis AI Kebangsaan, yang akan dipengerusikan Encik Wong sendiri, membuktikan satu perkara: Singapura tidak boleh sekadar menjadi penonton, tetapi mesti menjadi peneraju AI.

Namun, mengapakah perlu ada pelaburan besar dalam AI dan juga majlis baru di bawah pimpinan Perdana Menteri sendiri?

Jawapannya terletak pada daya saing.

AI bakal mengubah ekonomi secara asasnya, di mana cara perniagaan dijalankan serta sifat pekerjaan akan berubah dengan masa. Ini bermakna jika Singapura tidak mendakap AI, pekerja boleh terlepas peluang baru dan hilang pekerjaan, dan perniagaan pula boleh hilang keuntungan daya penghasilan.

Bahkan, AI sudah pun mempengaruhi peranan kerja merentas industri, bukan sahaja pekerjaan teknologi tetapi juga kerja pentadbiran, kreatif dan analitik, kata Cik Hamidah Aidillah Mustafa, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma teknologi dan penyelidikan pasaran, Parrot Social.

“Pekerja yang tidak meraih kemahiran AI berisiko menjadi kurang berdaya saing dalam pasaran kerja… Walaupun tanpa penggunaan yang disengajakan, AI akan tetap mengubah pekerjaan – mengubah tugas, jangkaan dan aliran kerja.

“Pekerja yang tidak disokong dalam menyesuaikan diri mungkin akan hilang pekerjaan atau melakukan kerja yang tidak memanfaatkan kemahiran dan keupayaan mereka sepenuhnya,” kata beliau, yang juga Naib Presiden Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME).

Sementara itu, syarikat yang tidak mendakap AI pula berisiko ketinggalan di belakang pesaing yang memanfaatkan teknologi itu untuk berinovasi, mengurangkan kos dan meningkatkan pengalaman pelanggan, tambah Cik Hamidah.

“Kurangnya sokongan nasional bagi aspek penggunaan dan latihan akan melebarkan lagi jurang antara firma yang sedia AI dengan firma yang ketinggalan, sekali gus mungkin mengecilkan pertumbuhan daya penghasilan keseluruhan Singapura,” tambah Cik Hamidah.

Oleh itu, para pengamat dan pakar industri mengalu-alukan inisiatif dan sokongan berhubung AI yang diumumkan Encik Wong dalam Belanjawan 2026.

Selain penubuhan sebuah Majlis AI Kebangsaan baru, Encik Wong mengumumkan pelbagai sokongan bagi perniagaan dan pekerja mendakap dan menyesuaikan diri dengan AI.

Ini seperti program Peneraju AI baru untuk menyokong transformasi perniagaan dan Skim Inovasi Perusahaan (EIS) yang diperluas untuk merangkumkan perbelanjaan AI sebagai kegiatan yang layak untuk syarikat menerima potongan cukai.

Selain itu, laman SkillsFuture akan direka semula supaya lebih mudah dan cepat bagi rakyat Singapura mencari kursus AI yang padan dengan keperluan kerja dan tahap kecekapan mereka.

Naib Presiden (Penyelidikan Kegunaan) di Institut Teknologi Singapura (SIT), Profesor Susanna Leong, berkata Belanjawan 2026 menandakan langkah tegas dalam perjalanan AI Singapura, dengan langkah-langkah konkrit seperti penubuhan Majlis AI Kebangsaan.

Ini di samping sokongan lebih kukuh bagi perusahaan memanfaatkan AI melalui program disasarkan dan insentif cukai.

“Secara keseluruhan, ini memberikan isyarat peralihan daripada pembinaan keupayaan kepada penggunaan AI yang terlaras di seluruh ekonomi,” kata beliau.

Sementara itu, Cik Eileen Chua, pengarah urusan di firma sofwe perniagaan dan AI, SAP Singapore, pula berkata evolusi strategi AI negara ini yang seterusnya, seperti yang didedahkan dalam Belanjawan, sememangnya memberi tumpuan kepada pelaksanaan pada skala besar.

Apa yang akan menentukan fasa nilai yang seterusnya adalah persediaan, dengan tumpuan Belanjawan pada kecelikan AI dan laluan pembelajaran yang lebih jelas, termasuk peningkatan SkillsFuture, adalah sejajar dengan apa yang diperlukan perniagaan untuk maju ke hadapan dengan yakin.

“Kekuatan Singapura bukan sahaja terletak pada cita-cita, tetapi juga pada pelaksanaannya. Dengan gabungan betul sokongan dasar, program transformasi perusahaan dan akses kepada alat AI yang bertanggungjawab, Singapura dapat memperdalam kelebihan daya saing yang telah muncul dalam sektor seperti khidmat kewangan, logistik dan perkilangan,” kata beliau.

Berkongsi pandangan, pengasas syarikat teknologi dan arkitek data, Encik Muhammad Shamir Abdul Rahim, berkata secara pragmatik, Singapura memerlukan usaha bersepadu dalam AI kerana negara ini mempunyai sumber terhad.

Lebih penting, sebuah agenda AI yang membina dan bersepadu adalah isyarat penting dalam mendakap AI sebagai sebuah negara, untuk secara kolektif memikirkan cara mengejar arus AI bersama dan tidak terbeban dengannya, tambah beliau.

AI semakin menggantikan fungsi kerja, dan secara rasional, jika “lapan dalam 10 fungsi kerja seorang pekerja boleh diautomasikan AI, maka pekerjaan ini kemungkinan menjadi tidak perlu”, kata beliau.

Namun, jika pekerja yang menggunakan AI boleh mengautomasikan 30 fungsi kerja yang sebelum ini dilakukan tiga pekerja, “maka pekerja ini kini tiga kali lebih cekap dan tentunya lebih berharga sebagai karyawan”.

Seperti yang dikatakan Encik Wong dalam ucapan Belanjawan, Singapura mesti bertindak dengan jelas dan tegas.

Ia bukan sahaja tentang kecanggihan mesin, tetapi tentang memastikan setiap warga Singapura juga bersedia mendakap dan menyesuaikan diri dengan perubahan dibawa AI, serta mampu meraih manfaat dalam ekonomi digital dunia.

AI adalah alatnya, tetapi kesejahteraan rakyat tetap menjadi matlamat utamanya, seperti kata Encik Wong: “Kita akan memastikan manfaatnya dikongsi secara meluas dalam kalangan masyarakat”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg