Topik diikuti
Pergi ke BHkuNWC saran beri kenaikan gaji 6-8% bagi pekerja gaji rendah
NWC saran beri kenaikan gaji 6-8% bagi pekerja gaji rendah
Pekerja bergaji rendah yang menerima gaji bulanan sehingga $2,800 harus diberikan kenaikan gaji sebanyak 6 hingga 8 peratus, atau sekurang-kurangnya $120, menurut Majlis Gaji Kebangsaan (NWC).
Majikan yang mencatat prestasi perniagaan yang baik pula harus memberikan kenaikan gaji sekurang-kurangnya $135 hingga $170 kepada pekerja mereka, menurut garis panduan majlis tersebut mengenai isu gaji dan pekerjaan.
Perniagaan yang mencatat prestasi kurang baik, dan mencatat keuntungan, harus memberikan kenaikan gaji asas kepada pekerja bergaji rendah pada kadar yang lebih rendah dalam julat 6 hingga 8 peratus, atau sekurang-kurangnya $120, mengikut mana yang lebih tinggi.
Sementara itu, dalam kategori baharu yang diperkenalkan dalam garis panduan NWC tahun ini (2026), majikan yang mencatat prestasi kurang baik dan mengalami kerugian harus memberikan kenaikan gaji sekurang-kurangnya $120.
Berucap pada satu sidang media di bangunan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) di Havelock Road pada 19 Oktober, Pengerusi NWC, Encik Hsieh Fu Hua, berkata majlis tersebut menggesa majikan mengambil pendekatan yang “cenderung ke arah positif” dalam memberikan kenaikan gaji, meskipun prestasi perniagaan dan pertumbuhan produktiviti tidak konsisten merentas sektor.
Garis panduan itu telah diterima pemerintah tetapi tidak diwajibkan, dan ia disyorkan bagi tempoh 1 Disember 2026 hingga 30 November 2027.
“Justeru, NWC menggesa majikan supaya melakukan lebih banyak usaha dengan memberikan kenaikan gaji yang lebih tinggi apabila berkemampuan, serta meneruskan kemajuan dalam merapatkan jurang gaji antara pekerja bergaji rendah dengan pekerja median.
“Berdasarkan prestasi ekonomi dan prospek bagi tahun ini, majikan yang mencatatkan prestasi baik mempunyai lebih banyak ruang untuk berkongsi keuntungan yang diraih dengan pekerja bergaji rendah.
“Oleh itu, NWC mengesyorkan julat peratusan kenaikan gaji yang lebih tinggi serta jumlah minimum kenaikan gaji dalam nilai dolar yang lebih tinggi bagi golongan pekerja ini,” jelas Encik Hsieh.
Menyentuh tentang kadar majikan yang menerapkan garis panduan itu, Setiausaha Tetap MOM, Encik Stanley Loh, berkata sekitar 20 peratus daripada majikan telah menerapkan garis panduan NWC pada 2025, yang telah menyarankan kenaikan gaji antara 5.5 peratus dan 7.5 peratus bagi pekerja bergaji rendah.
Mengulas lebih lanjut tentang kategori baharu itu, Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (Snef), Encik Kuah Boon Wee, pula berkata banyak syarikat menyuarakan kesukaran untuk memberikan pekerja kenaikan gaji sebanyak 5.5 hingga 7.5 peratus yang disyorkan pada 2025.
“20 peratus pekerja dalam sistem kita menerima gaji sebanyak $2,800 dan ke bawah.
“Justeru, kami memperkenalkan satu kategori yang diharapkan dapat meningkatkan kadar penerimaan garis panduan ini dalam kalangan majikan,” kongsinya.
Sementara itu, NWC menyeru majikan dan pekerja agar membangunkan keupayaan yang diperlukan untuk terus maju dalam ekonomi yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI).
Ini memandangkan peratusan majikan yang menyediakan latihan berstruktur kepada pekerja turun daripada 66.4 peratus pada 2024 kepada 64.0 peratus pada 2025, menurut data daripada tinjauan latihan yang disokong majikan oleh MOM.
Begitu juga, peratusan pekerja yang menerima latihan berstruktur turut merosot daripada 52.6 peratus pada 2024 kepada 48.1 peratus pada 2025.
“AI menawarkan peluang besar untuk meningkatkan produktiviti, mewujudkan sumber nilai baharu dan memperkukuh daya saing Singapura,” kongsi NWC dalam garis panduan tersebut.
“Pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) bagi baki tahun ini (2026) akan disokong oleh segmen berorientasikan luaran serta sektor yang berkait rapat dengan kitaran teknologi AI, meskipun kelemahan berterusan dijangka dalam sektor yang terjejas oleh gangguan bekalan di Timur Tengah.”
Encik Loh menekankan sokongan pemerintah terhadap seruan NWC agar majikan mengambil pendekatan proaktif untuk melabur dalam transformasi perusahaan, manakala pekerja pula perlu meningkatkan kemahiran mereka.
Meskipun sedemikian, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik K. Thanaletchmi, menggesa majikan agar turut menyokong latihan pekerja dengan menyediakan masa khusus yang diperuntukkan untuk mengikuti latihan.
“Secara praktikal, ini bermakna majikan perlu merancang beban kerja dan aturan kerja supaya pekerja dapat mengikuti latihan yang relevan tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab kerja mereka atau bergantung sepenuhnya pada masa peribadi,” kongsi beliau.