Topik diikuti
Pergi ke BHkuMOM: Majikan digalak benarkan kerja dari rumah dengan keadaan jerebu semasa
Gesa majikan buat persiapan awal bagi ubah aturan kerja dan langkah perlindungan sebelum jerebu memburuk
MOM: Majikan digalak benarkan kerja dari rumah dengan keadaan jerebu semasa
Majikan digalakkan membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah sekiranya tugas mereka mengizinkan, terutama golongan yang lebih mudah terjejas akibat jerebu yang sedang melanda Singapura, kata Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau, pada 16 Oktober.
Beliau menggesa majikan membuat persiapan awal bagi perubahan aturan kerja dan langkah perlindungan sebelum jerebu memburuk, dan dalam masa yang sama akur masalah jerebu mewujudkan cabaran dalam urusan harian di rumah.
Cabaran itu termasuk kemungkinan anak jatuh sakit, ibu bapa warga emas yang memerlukan lebih penjagaan, atau sekolah yang mungkin beralih kepada Pembelajaran Dari Rumah (HBL) pada notis singkat.
Di bawah Garis Panduan Tiga Pihak mengenai Permohonan Aturan Kerja Fleksibel, majikan perlu mempertimbangkan sebarang permohonan dengan wajar, seperti aturan bekerja dari rumah, termasuk daripada ibu bapa yang anak mereka menjalani HBL.
Namun, Cik Lau berkata pemerintah menyedari aturan kerja fleksibel mungkin tidak dapat dilaksanakan buat semua pekerjaan, dan dalam keadaan sedemikian, beliau menggesa majikan agar membenarkan pekerja mengambil cuti.
Bercakap semasa sidang media di Pusat Akhbar Nasional yang turut disertai Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; dan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, Cik Lau berkata:
“Sesetengah pekerjaan hanya boleh dilakukan di lokasi kerja, dan dalam kes sedemikian, kami menggesa majikan agar membenarkan pekerja mereka menggunakan cuti tahunan atau cuti penjagaan anak di mana bersesuaian.
“Sekiranya cuti tersebut telah habis digunakan, kami turut menggalakkan majikan untuk bersikap fleksibel dengan memberikan cuti bergaji, atau membenarkan pekerja menggunakan cuti tahunan bagi tahun hadapan lebih awal, tanpa menjejas gaji mereka.
“Pekerja yang tidak sihat hendaklah berjumpa doktor. Cuti sakit terpakai seperti biasa.”
Cik Lau menambah bahawa keadaan semasa ini adalah di luar kebiasaan, dan beliau meminta agar majikan dan pekerja berbincang lebih awal bagi mencari penyelesaian yang bersesuaian untuk kedua-dua pihak.
Singapura mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) pada tahap tidak sihat setiap hari sejak 5 Oktober.
Ini menandakan sudah 12 hari berturut-turut mutu udara buruk berterusan, yang paling lama dialami negara ini sejak krisis jerebu 2015.
Dalam sidang media tersebut, Cik Fu menyatakan bahawa keadaan jerebu di negara ini berisiko mencapai tahap berbahaya, dengan bacaan PSI melebihi 300 dalam beberapa hari mendatang dek keadaan cuaca.
Namun, tempoh peralihan monsun, yang dijangka bermula dalam tempoh tiga hingga empat minggu, kemungkinan besar akan membaiki mutu udara.
Menurut Cik Lau, usaha melindungi pekerja daripada jerebu bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan atau merupakan satu pilihan.
Sejak September, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) telah menjalankan lebih 400 pemeriksaan di tapak kerja sejak September, dan “kebanyakan majikan telah melakukan perkara yang betul” dalam melindungi pekerja mereka daripada kesan jerebu.
Bagaimanapun, sekitar 25 peratus daripada syarikat tersebut tidak memenuhi piawaian dan telah diarah agar memperbetulkan keadaan.
Cik Lau berkata majikan perlu mematuhi garis panduan yang diberikan MOM untuk menjalankan penilaian risiko dan melaksanakan langkah yang bersesuaian.
Contohnya, jika ramalan PSI 24 jam melebihi 200 – iaitu dalam julat sangat tidak sihat – kerja di luar bangunan yang berpanjangan atau berat hendaklah dielakkan.
Bagi pekerja yang mudah terjejas, seperti warga emas, wanita hamil, dan mereka yang menghidap penyakit paru-paru atau jantung kronik, majikan hendaklah meminimumkan atau mengelakkan kerja luar buat mereka.
Di samping itu, pelitup N95 perlu disediakan bagi pekerja yang perlu bekerja di luar bangunan untuk tempoh masa yang berpanjangan.
Sekiranya ramalan PSI melebihi 300 dan memasuki julat berbahaya, majikan perlu meminimumkan kerja di luar bangunan, dan kerja luar yang tidak penting hendaklah ditangguhkan, walaupun bagi pekerja yang sihat.
“Majikan perlu merancang langkah ini sekarang, supaya mereka bersedia jika keadaan bertambah buruk,” kata Cik Lau.
Beliau menambah bahawa MOM akan mengeluarkan nasihat tambahan bagi membantu majikan merujuk bacaan PM2.5 sejam, termasuk bila mereka mungkin perlu menghentikan sepenuhnya kerja luar bagi kakitangan yang mudah terjejas.