Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

OCBC tubuh pasukan di S’pura, M’sia sokong SME niaga di zon ekon

Pasukan itu akan turut bantu SME di Indonesia, China dan Hong Kong rebut peluang di Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-S’pura
Dec 12, 2024 | 6:30 PM
Pasukan khusus telah dibentuk di kedua-dua Singapura dan Malaysia oleh Bank OCBC bagi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) merebut peluang di Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura.
Pasukan khusus telah dibentuk di kedua-dua Singapura dan Malaysia oleh Bank OCBC bagi membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) merebut peluang di Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura. - Foto REUTERS

Bank OCBC telah membentuk pasukan khusus di kedua-dua Singapura dan Malaysia untuk menyokong pelanggan syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam pasaran terasnya di dua negara itu dan juga Indonesia, China dan Hong Kong bagi merebut peluang di Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura.

Bank itu dalam kenyataannya pada 11 Disember berkata dua pasukan itu akan merangkumi 25 jurubank berpengalaman dengan purata lebih 10 tahun pengalaman menyokong SME di rantau ini dengan aspirasi perniagaan mereka.

Mereka akan menyediakan khidmat nasihat untuk membantu SME memulakan dan mengembangkan perniagaan, serta menghubungkan syarikat tersebut dengan rakan yang sesuai dalam SEZ.

OCBC menjangkakan lebih banyak pasukan akan dibentuk di luar Singapura dan Malaysia pada masa depan.

Bank itu berkata SEZ bakal menjadi pemangkin kukuh bagi prospek ekonomi Johor, dengan pengumuman zon itu telah menggalak pelaburan dalam sektor binaan dan hartanah, dibantu oleh kemajuan yang dicapai pada prasarana fizikal seperti Sistem Transit Laju (RTS).

“Kelebihan geografi pelabuhan Johor, kedekatan kepada pangkalan pengilangan mantap Singapura, kos sara hidup yang diurus dengan baik dan sejarah keputusan dasar ekonomi yang berhemat adalah bermanfaat untuk masa depan sedang ia memulakan pembangunan SEZ Johor-Singapura,” kata bank itu.

Sebagai sebahagian daripada usaha menyokong SME, OCBC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) sama-sama telah menganjurkan lawatan ke Forest City dan hab perindustrian dan komersial bersepadu Taman Perniagaan EcoWorld di Johor Bahru pada 11 Disember bagi 28 perusahaan saiz sederhana Singapura dan China dalam sektor pengilangan.

Satu sesi perbincangan meja bundar turut diadakan, dengan Mida berkongsi tentang peluang pelaburan yang ada dan landskap perniagaan di Malaysia.

Sementara itu, syarikat Wiwynn Technology Service Malaysia dan Huirui Polymers Sdn Bhd pula berkongsi pengalaman mereka dalam menjalankan perniagaan di Malaysia.

OCBC dalam kenyataannya berkata bank itu mempunyai rekod baik dalam membantu SME menubuhkan operasi di Malaysia.

Bank itu menjangkakan ia telah menyokong sekitar 260 perusahaan saiz pertengahan baru dari rantau ini – terutama dalam sektor perkhidmatan, binaan, pengilangan dan perdagangan borong serta runcit – menubuhkan perniagaan di Malaysia pada 2024.

Ia menjangkakan jumlah itu naik sebanyak 20 peratus pada 2025 dengan minat yang semakin meningkat dalam SEZ.

Ketua Perbankan Borong Global, OCBC, Encik Tan Teck Long, berkata meskipun butiran SEZ itu belum dikongsi, bank itu telah menerima banyak pertanyaan daripada SME di rantau ini untuk menubuhkan perniagaan di sana.

“Dengan membentuk pasukan khusus di kedua-dua belah Koswe, kami berada dalam kedudukan baik untuk menyokong minat semakin meningkat daripada SME serantau untuk memasuki pasaran Johor dan pasaran Malaysia yang lebih luas.

“Perkembangan geopolitik baru-baru ini, peningkatan berterusan Asean bagi kepelbagaian dan daya tahan rantaian bekalan, dan pertumbuhan besar pelaburan langsung asing ke dalam Malaysia dalam dua tahun ini akan memperkasakan lagi potensi SEZ Johor-Singapura,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg