KUALA LUMPUR: Pemeteraian perjanjian antara Malaysia dengan Singapura untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) di Johor mungkin ditangguhkan ke Januari, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 4 Disember.
Pemeteraian itu, yang asalnya dirancang pada 9 Disember semasa rahat tahunan pemimpin kedua-dua negara, terpaksa dibatalkan selepas Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, dijangkiti Covid-19 minggu ini, kata Datuk Anwar kepada Dewan Negara.
Pada 3 Disember, Encik Wong dalam hantaran di Facebook berkata beliau mengasingkan diri di rumah selepas disahkan positif Covid-19 buat kali pertama.
“Pada mulanya saya fikir ia mungkin hanya selesema biasa.
“Tetapi saya menjalani ujian untuk kepastian. Ternyata, saya akhirnya tunduk kepada Covid selepas bertahun-tahun ini!
“Namun, saya berasa sihat secara keseluruhan dan akan mengasingkan diri semasa bekerja dari rumah,” kata Encik Wong.
Pada Januari, Singapura bersetuju membangunkan SEZ di Johor yang bertujuan menarik pelaburan dan membebaskan pergerakan barangan dan manusia.
Cadangan untuk projek itu termasuk sistem pelepasan imigresen tanpa pasport, serta kerjasama dalam bidang tenaga yang boleh diperbaharui dan memudahkan kelulusan perniagaan.
Semasa ucapan di Dewan Negara pada 4 Disember, Datuk Anwar berkata:
“Kerajaan Malaysia (dijadualkan) menandatangani perjanjian dengan Singapura mengenai SEZ Johor-Singapura pada 9 Disember.
“Tetapi malam tadi, Encik Wong memaklumkan kepada saya bahawa (beliau menghidap) Covid-19 dan dengan itu, pemeteraian perjanjian itu akan ditangguhkan ke Januari.
“Ini adalah maklumat terkini yang saya ada, beliau memberitahu saya bahawa beliau tidak mahu penyakit ini menjangkiti saya atau (isteri saya) Azizah.”
Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia dijadualkan diadakan dari 8 Disember hingga 9 Disember di Putrajaya.
Ini adalah penyertaan kali pertama Encik Wong selaku Perdana Menteri Singapura.
Awal sebelum ini, Encik Wong melawat Bangkok atas jemputan rakan sejawatannya dari Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra.
Sebelum itu pula, beliau menghadiri sidang puncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Peru dan sidang puncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.
Menurut laporan media Malaysia, penangguhan itu akan membolehkan kedua-dua pihak memajukan perbincangan mengenai pelbagai perkara, termasuk SEZ, isu alam sekitar serta kesalinghubungan.
Dalam kiriman yang dimuatnaik di laman media sosialnya pada 4 Disember, Encik Wong mengucapkan terima kasih kepada Datuk Anwar dan isterinya kerana mengirimkan “pakej cepat sembuh” berupa bakul, antaranya berisi buah-buahan segar.
“Saya sepatutnya ke Kuala Lumpur untuk Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia, tapi ia terpaksa ditangguhkan selepas saya dijangkiti Covid-19. Kami kini sedang mencari tarikh baru.” – Reuters, agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg