Syarikat teknologi Oracle berkata pada 19 Mac ia akan menyediakan cabang teknologi pertahanan Singapura dengan perkhidmatan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) “terpencil”, dalam perjanjian pertama syarikat itu di Asia Tenggara.
Pemerintah negara Asia Tenggara sering menjadi sasaran kempen pengintipan siber dan menghadapi serangan rantaian bekalan yang semakin meningkat, menurut para penyelidik keselamatan.
Di bawah perjanjian itu, firma Amerika Syarikat itu akan menyediakan satu prasarana pengkomputeran awan terpencil kepada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) melalui jurang udara (air gapped), bermakna ia akan diasingkan daripada Internet dan sebaliknya disambungkan ke rangkaian rahsia melalui peranti tersulit, atau encrypted.
“Kami membawa alat AI generatif kami merentasi jurang udara dan ke dalam persekitaran terpencil itu,” kata ketua pegawai teknologi pertahanan global Oracle, Encik Rand Waldron.
Beliau menekankan bahawa teknologi itu termasuk data AI dan keupayaan imejan, termasuk keupayaan bagi AI menganalisis strim video untuk mencari wajah manusia, plat nombor atau butiran kereta.
Oracle enggan mengulas mengenai saiz perjanjian itu.
Oracle telah meningkatkan kegiatannya di Asia Tenggara.
Ia mengumumkan rancangan melabur lebih daripada AS$6.5 bilion ($8.66 bilion) untuk menubuhkan satu rantau awan di Malaysia pada Oktober. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg