Untuk benar-benar meraih faedah teknologi kecerdasan buatan (AI), perniagaan perlu memainkan bahagian mereka untuk menggunakan bukan sahaja penyelesaian AI, bahkan mengubah proses dan integrasi perniagaan mereka.
Pada masa yang sama, adalah penting untuk memastikan pekerja dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam ekonomi yang dipacu AI.
Semasa perbahasan Belanjawan 2025 pada 26 Februari, beberapa anggota parlimen (AP) dalam ucapan masing-masing menyentuh isu berkaitan AI.
Dalam Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengumumkan bahawa hingga $150 juta akan diperuntukkan kepada Inisiatif Pengkomputeran Perusahaan bagi membolehkan perusahaan yang layak bekerjasama dengan penyedia khidmat awan besar dan mengakses alat AI serta kuasa pengkomputeran.
Cik Jessica Tan (GRC East Coast) menyambut baik inisiatif tersebut sambil mengatakan bahawa tanpa sokongan tersebut, akses kepada peralatan AI dan kuasa pengkomputeran, serta kepakaran khusus daripada penyedia perkhidmatan awan global tidak akan tersedia atau terlalu mahal bagi perusahaan.
“Untuk benar-benar meraih faedah AI, perniagaan perlu memainkan bahagian mereka. Apa yang akan menjadi kunci bagi mereka bukan hanya penggunaan penyelesaian AI tetapi transformasi proses perniagaan dan integrasi,” kata Cik Tan.
Namun, beliau menambah bahawa maklum balas daripada pemimpin perniagaan ialah skim sokongan yang tersedia kadangkala agak rumit untuk dinavigasi, diaplikasikan dan digunakan.
“Pemimpin perniagaan meminta penyelarasan skim sokongan. Ia akan menjadi bantuan yang besar bagi syarikat jika mereka boleh melibatkan diri dengan satu titik perhubungan untuk mendapatkan sokongan yang lebih bersepadu dan diselaraskan semasa mereka memohon dan menggunakan pelbagai skim,” ujar Cik Tan.
Dalam pada itu, Cik Foo Mee Har (GRC West Coast) menegaskan bahawa sedang penggunaan AI semakin meningkat di tempat kerja, adalah penting untuk menangani kesannya terhadap tenaga kerja, terutamanya kepada pekerja kurang berpengalaman yang paling terdedah kepada automasi.
“Sedang model AI terus berkembang pesat, ia bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti tetapi juga akan menjadikan kemahiran berharga dan mengautomasikan tugas.
“Selalunya kakitangan muda yang tidak berpengalaman atau mereka yang terlibat dalam tugas rutin yang menghadapi risiko terbesar kehilangan pekerjaan,” kata Cik Foo.
Oleh itu, beliau menekankan bahawa penerimaan AI mesti seiring dengan strategi komprehensif untuk mengurus perpindahan pekerjaan, latihan semula dan transformasi industri untuk memastikan pekerja dilengkapi dengan kemahiran untuk menyesuaikan diri dan berkembang maju dalam ekonomi dipacu AI.
Cik Foo menyarankan agar pendedahan kepada peralatan AI industri diintegrasikan ke dalam semua kurikulum di institut pendidikan tinggi.
Turut menyarankan agar pelajar didedahkan kepada AI, Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) berkata dalam ucapannya bahawa Kementerian Pendidikan (MOE) mesti memastikan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai peluang mempelajari AI dan mempunyai akses kepada model AI yang bermutu.
“Kita mesti mendemokrasikan akses kepada AI. Ia mestilah AI untuk orang ramai, tidak kira sama ada anda dilahirkan dalam keluarga yang celik teknologi dengan wang dan sumber, atau anda membesar dengan sumber yang kurang.
“AI juga tidak seharusnya untuk perusahaan besar dengan wang yang banyak, tetapi juga untuk firma kecil, bahkan perniagaan dari rumah juga,” kata Dr Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg