Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan MAS: Ekonomi S’pura dijangka tumbuh 2.6% pada 2025

Ekonomi dipengaruhi ketegangan geopolitik, termasuk tarif lebih tinggi
Dec 11, 2024 | 4:46 PM
Ramalan 2.6 peratus untuk 2025 oleh ahli ekonomi menunjukkan sedikit peningkatan daripada ramalan awal 2.5 peratus dalam tinjauan September 2024.
Ramalan 2.6 peratus untuk 2025 oleh ahli ekonomi menunjukkan sedikit peningkatan daripada ramalan awal 2.5 peratus dalam tinjauan September 2024. - Foto fail

Ekonomi Singapura dijangka berkembang 2.6 peratus pada 2025, menurut pakar ekonomi sektor swasta, dengan ketegangan geopolitik, termasuk tarif yang lebih tinggi, menjadi penyebab utama penurunan ekonomi.

Ini merupakan penurunan sedikit berbanding pertumbuhan 3.6 peratus yang dijangka pada 2024, menurut tinjauan suku tahunan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 11 Disember.

Pada November, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) mengemas kini anggaran pertumbuhannya untuk 2024 kepada “sekitar 3.5 peratus” – peningkatan daripada ramalan awal 2 hingga 3 peratus.

Pada masa yang sama, MTI menjangkakan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan kepada 1 hingga 3 peratus pada 2025.

Ramalan 2.6 peratus untuk 2025 oleh pakar ekonomi menunjukkan sedikit peningkatan daripada ramalan awal 2.5 peratus dalam tinjauan September lalu, lapor The Straits Times (ST).

Dalam tinjauan terkini MAS, hasil pertumbuhan 2025 adalah antara 2.5 dengan 2.9 peratus, sama seperti tinjauan sebelumnya. 

Ketegangan geopolitik disebut sebagai risiko utama penurunan ekonomi oleh 100 peratus responden, berbanding 66.7 peratus dalam tinjauan September.

Presiden terpilih Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bertekad akan menaikkan tarif sehingga 20 peratus ke atas barang import dari seluruh dunia, dan sehingga 60 peratus ke atas barangan dari China.

Encik Trump akan memulakan tugas sebagai presiden Amerika pada 20 Januari 2025.

Selain itu, pertumbuhan yang lebih lemah di China dan tekanan kos domestik yang mungkin membebani ekonomi turut disebut sebagai risiko.

Bagi risiko kenaikan terhadap prospek Singapura, persekitaran pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan dipilih sebagai faktor utama oleh 64 peratus responden.

Mereka turut menyebut pertumbuhan lebih kukuh di China dan peningkatan berterusan dalam kitaran teknologi mampan sebagai faktor yang berpotensi memberi dorongan positif.

Menurut tinjauan MAS, inflasi di Singapura dijangka terus menurun pada 2025.

Pakar ekonomi meramalkan inflasi keseluruhan untuk 2024 pada 2.5 peratus, turun berbanding 2.6 peratus dalam tinjauan September.

Mereka juga menurunkan anggaran untuk inflasi teras – yang tidak termasuk kos pengangkutan privet dan penginapan – kepada 2.8 peratus, berbanding ramalan awal 2.9 peratus.

Untuk 2025, inflasi keseluruhan dijangka menurun kepada 1.9 peratus, manakala inflasi teras turun kepada 1.8 peratus.

Kebanyakan pakar ekonomi menjangka pendirian MAS akan kekal sama dalam semakan dasar kewangan akan datang, tetapi sesetengah jangkakan pelonggaran.

Berbeza dengan bank pusat lain yang menggunakan kadar faedah, MAS mengawal inflasi melalui kadar pertukaran kerana inflasi Singapura banyak dipengaruhi harga barangan dan perkhidmatan import.

Bagi pasaran pekerjaan, kadar pengangguran Singapura dijangka turun kepada 2 peratus pada akhir 2024, berbanding ramalan awal 2.1 peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg