Selepas menunggu berbulan-bulan, bekas pekerja syarikat e-dagang Lazada, yang diberhentikan pada Januari, akhirnya dimaklumkan mengenai jumlah pampasan tambahan yang akan mereka terima.
Sebilangan mereka akan mendapat tambahan gaji dua minggu bagi setiap tahun perkhidmatan, yang akan dibayar sekitar dua minggu lagi, manakala yang lain akan hanya menerima “sokongan latihan” sebanyak $1,200, yang akan dibayar pada Ogos, menurut beberapa bekas pekerja Lazada yang tidak mahu nama mereka disiarkan.
Bekas pekerja tersebut berkhidmat dengan Lazada Singapura dan Lazada Asia Tenggara, lapor The Straits Times (ST).
Mereka pada mulanya menerima gaji dua minggu bagi setiap tahun perkhidmatan – jumlah pampasan yang kurang daripada norma industri.
Dalam jawapannya kepada pertanyaan media, Presiden Kesatuan Gabungan Pekerja Makanan dan Minuman (FDAWU), Cik Julie Cheong, berkata bayaran pampasan itu mengambil kira tempoh perkhidmatan pekerja dengan Lazada, gred tugas mereka, dan sama ada mereka anggota FDAWU.
FDAWU telah berunding dengan Lazada untuk mendapatkan faedah tambahan bagi pekerja yang diberhentikan itu.
Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, berkata dalam catatan Facebook pada 21 Mei bahawa NTUC telah menyelesaikan urusan membantu anggota kesatuan terjejas yang layak.
“Ia telah berhubung secara langsung dengan anggota yang terjejas, mengumpul dan mengesahkan semua maklumat yang diperlukan, dan menentukan pendekatan pemberian (pampasan) optimum kepada anggota kesatuan.
“FDAWU telah melakukan lebih banyak lagi untuk memperjuang kepentingan anggotanya dalam tempoh ini.”
Pada Januari, Lazada memberhentikan sebilangan kakitangannya di Singapura tanpa memaklumkan kesatuan sekerja mereka.
Beberapa sumber mendedahkan bahawa Lazada merancang mengurangkan antara 25-50 peratus jumlah pekerjanya di Asia Tenggara, manakala laporan media membuat spekulasi bahawa sekurang-kurangnya 100 pekerja Lazada diberhentikan di Singapura.
Pemberhentian pekerja itu merangkumi pelbagai jabatan di seluruh syarikat itu serta pejabat serantaunya dari negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Sebelum ini, pekerja yang diberhentikan ditawarkan gaji dua minggu bagi setiap tahun perkhidmatan.
FDAWU kemudian menyatakan ia sedang berunding dengan Lazada untuk mendapatkan faedah lebih baik bagi pekerja yang terjejas.
Perbincangan itu dipermudahkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Dalam satu kenyataan bersama pada 4 Februari, NTUC, FDAWU dan Lazada menyatakan bahawa satu “penyelesaian secara baik” telah dicapai untuk membantu pekerja yang diberhentikan.
Encik Ng secara berasingan berkata bahawa anggota kesatuan yang layak akan mendapat “pakej sokongan dipertingkat yang mencerminkan norma kesatuan sekerja”.
Ini biasanya bermakna pampasan gaji sebulan bagi setiap tahun perkhidmatan akan diberikan kepada pekerja yang terjejas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg